Pelbagai komen diutarakan oleh penonton program Separuh Akhir Muzik Muzik 30 minggu terakhir malam tadi di laman sosial. Apabila 12 buah lagu terbaik layak ke Anugerah Juara Lagu 30 (AJL 30) diumumkan di kaca TV3 seperti biasa, ramai netizen seolah mahu menidakkan keputusan juri. Ada juga penonton yang redha dan faham tentang konsep rating dan tuntutan populariti stesen TV.
Budiey rasa tidak terkejutlah dengan keputusan tersebut. Kekadang kita ni sebenarnya hanya tahu mendengar sesebuah lagu namun tidak tahu dan tak reti langsung nak menyelongkar apakah keistimewaan sebenar lagu yang bertanding. Menang kalah adat pertandingan. Tapi seni tetap seni. Dan seni ada tanggungjawabnya.
Senario dan perkara ini berlaku saban tahun. Lagu yang korang semua anggap entah apa-apa itu dapat berjaya membolos diri diangkat ke AJL. Juri sebenarnya ada alasan dan sebab mengapa lagu itu layak walaupun lagu yang dipilih itu dianggap kosong oleh pendengar kita.
Dengar khabarnya, pemilihan lagu untuk ke AJL pada kali ini agak lain di mana kriteria lagu perlu, bukan sekadar lagu yang terbaik namun pada masa yang sama lagu tersebut popular.
Dipendekkan dan diringkaskan kata, jika lagu tersebut tidak berjaya masuk ke carta lagu, agak sukar untuk memboloskan ke senarai Top 12. Juri juga mahu memilih pelbagai genre lagu agar AJL kali ini berlaku adil dan ianya seronok untuk ditonton. Tidaklah semua lagu itu adalah lagu balada atau pop semata-mata. Jadi, komposer genre lain pun nak rasa jadi Top 12. Macam tu lah kiranya.
Konsep kalau 8 lagu balada dapat markah tinggi daripada 30 lagu, mungkin empat sahaja yang dipilih sebab mahu bagi peluang kepada lagu genre lain.
Apa-apa pun, Budiey nak ucapkan kepada komposer dan pencipta lagu yang telah layak ke AJL 30. Bukan mudah. Ada yang lagi tak disangka dapat masuk. Selepas berentap di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 30 yang disiarkan secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam Ahad maka inilah hasilnya.
AJL 30 akan diadakan pada 24 Januari 2016 iaitu hari Ahad.
Senarai Penuh 12 Lagu Berjaya Ke Anugerah Juara Lagu AJL 30
Sampai Mati (Hazama)
Potret (Akim & The Majistret)
Assalamualaikum (Faizal Tahir)
Biarkanlah (Drama Band)
Hanya Namamu (Caliph Buskers)
Knock Knock (Elizabeth Tan)
Malam Ini Kita Punya (Bunkface)
Angin Kencang (Noh Salleh)
Bukan Hal Aku (Kaka Azraff dan Aliff)
Mana Mungkin (Black)
Not For Sale (Stacy)
Tak Pernah Menyerah (Dayang Nurfaizah)
Separuh Akhir Muzik Muzik 30 minggu ketiga ini turut menyaksikan persembahan lagu Dikoyak Waktu (Ronnie Hussein), Al Nura Yang 5 Dan 6 ( Mawi, Hazama dan Dali Filsuf), Siapa Diriku (Ayda Jebat), Kau Tercipta (Lah Ahmad), Nyawaku (Azmil) dan Linangan Terakhir (Forteen).
Separuh Akhir Muzik Muzik 30 minggu ketiga turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Monalyssa dan Aizat Amdan menerusi lagu Dua Kaki Berlari.
Program ini telah bersiaran selama tiga minggu berturut-turut yang bermula 22 November lalu dengan menyaksikan persaingan 30 buah lagu terbaik sepanjang tahun 2015.
Kesemua lagu dalam peringkat separuh akhir dinilai oleh barisan juri professional iaitu Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri, Helen Yap, Edry Hashim, Louque, Jennifer Thompson, Azmeer dan Taja (Meet Uncle Hussein).
Bagi Budiey, sesuatu lagu yang dikatakan terbaik adalah berdasarkan kepada mesej positif yang ada nilai dan pada masa yang samapa ia sampai melekat ke dalam hati pendengar. Ianya berjaya disampaikan dengan baik. Saya sukakan lagu yang ringkas, mudah difahami, tapi padat dengan perisian, nasihat atau pemerhatian. Yang penting, kalau boleh setiap lagu yang melangkah ke AJL itu mengangkat bahasa Melayu kita. Jika tidak mendaulatkan atau mengangkat martabat bahasa sendiri siapa lagi nak angkat ye dok? Semoga AJL kali ini terus memperkasakan bahasa Melayu, bahasa Malaysia.
Apa pula kata anda tentang perkara ini?