in

Senarai Pencalonan Top 10 GOLDEN AWARDS 2012

SENARAI CALON TOP 10 GOLDEN AWARDS 2012 KINI DIUMUMKAN!

Saingan sengit di antara finalis bermula

Ini mungkin merupakan tahun kedua Golden Awards – anugerah berprestij dan diiktiraf di dalam industri televisyen Cina Malaysia dianjurkan namun saingan tahun ini adalah lebih hebat dan sengit daripada ramalan awal yang dibuat.

Pengumuman 10 calon teratas bagi setiap kategori yang dipertandingkan hari ini meletakkan tiga teraju utama pelakon wanita – Debbie Goh, Chris Tong dan Yenn Teoh dalam saingan merebut anugerah “Pelakon Wanita Terbaik”.

Golden Awards 2012 Top 10 Announcement PC - artists2

Bagi Chris dan Yenn, ini merupakan kali pertama nama mereka dicalon dalam kategori tersebut. Manakala Debbie pula pernah dicalonkan sebelum ini tetapi kalah dengan pesaing terdekatnya, Yeo Yann Yann di dalam Golden Awards yang diadakan pada tahun 2010 yang lalu. Calon lain yang turut tersenarai di dalam kategori ini adalah Remon Lim, Tiffany Leong, Aenie Wong dan Loo Aye Keng.

Sejumlah 23 anugerah akan dianugerahkan di dalam tiga kategori utama – Drama, Bukan Drama dan Pilihan Penonton. Anugerah yang dikelolakan ntv7 itu bakal memberi pengiktirafan kepada hasil kerja terbaik buat tenaga-tenaga kerja yang telah berpenat lelah sama ada di hadapan kamera mahupun di sebalik tabir.

L-R Chris Tong, Yenn Teoh, Debbie Goh, Yeo Yann Yann, Cheryl Lee

Selain memberi penghormatan kepada bakat-bakat tanahair, anugerah yang dianjurkan setiap dua tahun ini turut membawa industri televisyen Cina Malaysia ke tahap mutu yang lebih tinggi selain daripada menjadi anjakan baru buat pemenangnya di negara ini dan sebagai latar pencapaian mereka di luar negara.

Seperti anugerah televisyen yang lain, kategori “Drama” sudah semestinya bakal mendapat tumpuan dengan 9 pecahan kategori di dalamnya termasuklah Drama Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Baru Terbaik, Lagu Tema Drama Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon-layar Asal Terbaik. Sebanyak 179 penyertaan telah diterima di dalam kategori ini.

Menepati ramalan adalah drama “Age of Glory 2” , “A Time to Embrace” dan “Time FM” mendapat sembilan pencalonan, manakala dua lagi siri popular, “Footprints in the Sand” dan “Forget Me Not” masing-masing mendapat lapan pencalonan. Sementara itu, William San dan Coby Chong yang memainkan watak dua beradik di dalam drama “Forget Me Not” bakal bersaing di dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik di samping pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Dan Pelakon Paling Popular Golden Awards 2010, Melvin Sia melalui wataknya dalam “Goodnight DJ 2”.

Airin Zainul - Group GM of ntv7 & 8TV

Pastinya sukar buat juri untuk membuat keputusan dalam memilih pemenangnya kerana ketiga-tiga pelakon ini berjaya membawa watak yang sememangnya mengagumkan penontonnya. William membawa wataknya yang lebih serius manakala Coby pula membuktikan lakonannya yang serba boleh sebagai lelaki berusia 28 tahun yang memiliki mentaliti seorang kanak-kanak dan Melvin pula pernah merangkul anugerah yang dipertaruhkan itu.

Walaupun pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Golden Awards 2010, Yeo Yann Yann kali ini hanya akan bersaing di dalam kategori “Pelakon Pembantu Wanita Terbaik” dengan dua pencalonan menerusi drama bersiri “Time FM” dan “A Time to Embrace” dan bakal bersaing dengan seorang lagi pelakon veteran hebat yang memenangi kategori ini tahun lalu, Seck Fook Yee. Sementara itu, Jordan Voon dan Gary Yap yang pernah dicalonkan di dalam Asian Television Awards tahun lalu untuk watak mereka dalam “Footprints in the Sand” dan “A Time to Embrace” akan berhadapan dengan Laurens Teo yang mendapat dua pencalonan dalam kategori “Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik”.

Acara tahun ini juga bakal tertumpu kepada Adrian Tan yang memegang peranan utama di dalam siri sitkom popular, Time FM. Pelakon yang juga penyanyi ini tercalon di dalam tiga kategori – “Pelakon Lelaki Terbaik”, “Pelakon Baru Terbaik” dan Lagu Tema Drama Terbaik. Adrian juga dianggap sebagai calon yang mempunyai peluang cerah untuk memenangi kategori “Pelakon Baru Terbaik” diantara calon lain seperti bekas ratu cantik Soo Wincci, pengacara TV popular, Belinda Chee dan pelakon kanak-kanak berumur 9 tahun, Crystal Lee.

Antara pencalonan lain yang tidak kurang hebatnya adalah pengarah, Tham Siew Ngoy yang tercalon dalam kategori “Pengarah Terbaik” untuk tiga siri drama arahannya – “Forget Me Not”, “The Adjusters”, dan “Age of Glory 2”.

Bagi kategori “Bukan Drama”, lapan pecahan kategori pada asalnya dipertaruhkan – Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik, Pengacara Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik, Rancangan Berita dan Hal Ehwal Semasa Terbaik, Penyampai Rancangan Berita dan Hal Ehwal Semasa Terbaik, Pembaca Berita Terbaik, Rancangan Majalah Terbaik, Pengacara Rancangan Majalah Terbaik dan Rancangan Perayaan Terbaik. Namun kerana kurang penyertaan untuk Penyampai Rancangan Berita dan Hal Ehwal Semasa Terbaik, tiada anugerah diperuntukkan untuk kategori ini. Kategori Bukan Drama ini telah menerima sebanyak 170 jumlah penyertaan.

Pemenang anugerah “Rancangan Realiti Terbaik” untuk Golden Awards 2010, Ultimate Power Group terus berjaya menarik perhatian juri dan mendapat empat pencalonan buat musim kedua rancangan itu. Tiga pengacara pertandingan realiti nyanyian ini – Gary Yap, Natalie Ng dan Yoon Ng turut bertanding untuk mendapat gelaran “Pengacara Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik” . Turut bersaing untuk kategori sama adalah Cheryl Lee (Hot Chef Musim 1) dan Jia Hui (The Perfect Gentleman). Natalie dan Cheryl yang sama-sama terkenal sebagai pengacara TV juga bakal bertempur dalam kategori “Pengacara Rancangan Majalah Terbaik” dimana Cheryl mendahului dengan mendapat dua pencalonan.

Chan Wei Wei yang merangkul anugerah “Pengacara Rancangan Majalah Terbaik” tahun lalu turut tercalon dalam tiga kategori kali ini iaitu “Pengacara Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik”,”Pembaca Berita Terbaik” dan “Pengacara Rancangan Majalah Terbaik”.

Sementara itu, pemenang lepas untuk anugerah “Rancangan Berita dan Hal Ehwal Semasa Terbaik”, Siasat Mandarin yang menerima dua pencalonan kali ini akan bersaing hebat dengan “Eyes on You” yang menerima tiga pencalonan. Kategori seangkatan dengannya adalah “Pembaca Berita Terbaik” yang didominasi oleh pembaca berita wanita termasuklah Chan Wei Wei, Tiang Kah Chee, Ong Ching Yee dan Liew Li Li. Manakala pembaca berita lelaki hanya diwakili Tan Chia Yong. Owen Yap yang sebelum ini memenangi kategori “Penyampai Rancangan Hal Ehwal Semasa Terbaik” dan “Pengacara Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik” baru-baru ini menyatakan bahawa dia tidak akan bersaing lagi untuk mana-mana kategori ini atas alasan peribadinya sendiri.

Pencalonan “The Superb Match Makers” di dalam kategori “Rancangan Perayaan Terbaik” ternyata bukan suatu kejutan kerana telemovie itu mendapat sambutan baik dan rating yang tinggi selain dinobatkan sebagai “rancangan yang paling banyak ditonton pada slot masa siarannya” pada hari pertama Tahun Baru Cina serta turut tercalon di anugerah Asian Television Awards yang ke-16. Memberi saingan di dalam pencalonan ini antaranya adalah “Muslim in China 2011” dan “Mr. Siao’s Mandarin Class CNY Special”.

Selain 16 pecahan anugerah buat kategori Drama dan Bukan Drama, penonton TV juga berpeluang untuk menentukan siapakah yang layak untuk memenangi kategori “Pilihan Penonton”. Kesemua pencalonan Top 10 untuk kategori “Pelakon Lelaki/Wanita Terbaik”, “Pelakon Baru Terbaik” dan “Drama Terbaik” akan secara automatiknya layak untuk anugerah “Pelakon Lelaki/ Wanita Paling Popular” dan “Drama Paling Popular” manakala pencalonan 10 teratas bagi kategori “Pengacara TV Terbaik” dan “Pembaca Berita Terbaik” bagi kategori Bukan Drama pula secara automatiknya tersenarai di dalam pencalonan “Pengacara TV Paling Popular” dan “Pembaca Berita Paling Popular”. Para penonton boleh mengundi pelakon dan pengacara kegemaran mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan menerusi internet pada bulan Ogos.

Sementara itu penjurian buat pusingan kedua akan dilakukan pada bulan Jun dalam menentukan 5 calon finalis teratas yang akan diumumkan pada sidang akhbar ketiganya pada Julai nanti.

Jawatankuasa penganjur Golden Awards 2012 juga turut memaklumkan Bengkel Golden Awards yang buat pertama kali diperkenalkan merupakan sebuah lagi inisiatif baru bertujuan untuk mencari bakat-bakat baru yang masih mentah untuk menyumbang kepada industri televisyen Cina Malaysia. Bengkel ini akan berlangsung dari 22 – 24 Jun di Grand Lexis, Port Dickson dan terbuka kepada semua warga Malaysia berumur 16 hingga 45 tahun yang fasih berbahasa Cina dan mampu untuk menulis bahasa itu.

Peserta yang berminat haruslah menghantar sebuah karangan yang tidak melebihi 100 patah perkataan yang menceritakan mengenai diri mereka dan hantarkan kepada [email protected] sebelum 31 Mei. Hanya 80 peserta terpilih sahaja yang akan menghadiri bengkel tersebut. Peserta yang terpilih akan diberitahu melalui telefon sebelum 8 Jun. Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada laman rasmi di www.ntv7.com.my/goldenawards.

Anugerah ini juga sudahpun mendapat rating tertinggi sebagai rancangan anugerah Cina pada tahun 2010 dengan seramai 1.2 juta penonton. (724,000 penonton untuk acara malam gilang gemilang itu dan 500,000 penonton untuk acara karpet merah) dengan anggaran seramai 50% agihan pasaran penonton Cina – yang sama sekali jumlah yang tinggi untuk rancangan muzikal Cina/hiburan.

Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV berkata bahawa pihak jawatankuasanya akan meneruskan usaha mereka untuk mendpatkan pencapaian yang sama atau lebih lagi untuk acara penganugerahan itu.

“Golden Awards merupakan rancangan yang hebat dan kami sentiasa cuba menguatkan lagi komitmen kami dalam memberi pengiktirafan kepada pencapaian hebat bakat-bakat tempatan, begitu juga dalam mendapatkan pendedahan di dalam negara dan juga antarabangsa buat mereka”.

“Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran Toyota dan berterima kasih kepada mereka kerana hadir sebagai kereta rasmi dan penaja utama di karpet merah. Saya juga turut ingin meluahkan rasa berterima kasih kepada Poh Kong Holdings Berhad yang sudi menaja barangan kemas mereka untuk Golden Awards 2012. Tidak lupa juga kepada one FM kerana sokongan mereka yang tiada henti sebagai stesen radio rasmi acara anugerah berprestij ini,” tambah Airin.

Golden Awards 2012 akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September 2012. Sila layari www.ntv7.com.my/goldenawards untuk mengetahui lebih lanjut mengenai acara gilang gemilang ini atau sertai ntv7 di Facebook dan Twitter.

Best Actor, Best Newcomer, Best Drama Theme Song Nominee, Adrian Tan

Best Actor, Best Newcomer, Best Drama Theme Song Nominee, Adrian Tan

L-R Mayjune Tan & Lim She Ting

L-R Mayjune Tan & Lim She Ting

L-R Coby Chong & Henley Hii

L-R Coby Chong & Henley Hii

L-R Chris Tong & Debbie Goh

L-R Chris Tong & Debbie Goh

L-R Tiffany Leong, Yenn Teoh, Aenie Wong

L-R Tiffany Leong, Yenn Teoh, Aenie Wong

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Photo Dingdong Dantes di Malaysia

Najwa Latif Duta Rasmi Portal e-Pembelajaran uniCLIQ