Yeszaaa! Akhirnya, selepas 8 minggu berjuang dalam program BIG STAGE, penyanyi Sarah Suhairi telah berjaya dijulang sebagai juara program Big Stage musim pertama. Budiey tak pernah miss atau ketinggalan untuk buat liputan event ni. Setiap Ahad Budiey akan datang ke Shah Alam untuk menyediakan content video untuk saluran Youtube. Gigih kan?
Tahniah Budiey ucapkan buat Sarah Suhairi. Memang tak sangka sebenarnya Sarah akan menang. Budiey ingatkan Syafiq Farhain akan menang. Tapi memandangkan prestasi dan lagu yang dinyanyikan oleh Syafiq nampaknya sangat sukar nak menang. Markah untuk TikTok juga sangat rendah berbanding Sarah Suhairi yang jauh ke depan.
Berdasarkan peningkatan dari minggu ke minggu, Sarah menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan.
Gamat dan riuh Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam tadi dengan peminat dan penyokong semua finalis.
Berikut Senarai Pemenang BIG STAGE Musim Pertama:
Tempat Pertama: Sarah Suhairi
Tempat Kedua: Syafiq Farhain
Tempat Ketiga: Afiq Syazwan
Tempat Ke-empat: Wani Kayrie
Tempat Ke-lima: Baby Shima
Kemenangan juara malam tadi membolehkan Sarah membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi. Wow banyak tu. Pasti akan ada soalan dari media, nak buat apa dengan duit kemenangan tersebut. Sarah jawab, dia akan membahagikan wang tersebut untuk menghantar ibu bapanya menunaikan umrah. Simpan dalam bank dan membelanjakan untuk keperluan.
Sarah menerusi ucapan kemenangannya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya terutama peminat sehingga membolehkan dia bergelar juara.
“Alhamdulillah, kemenangan ini atas sokongan semua yang tak henti-henti memberi semangat sepanjang saya di pentas ini,” – Sarah
Pada pentas akhir itu, Sarah menyanyikan lagu Awan Terpilu nyanyian asal Ning Baizura dan lagu baharu berjudul Jiwa dan Raga.
Naib juara dimenangi oleh Shafiq Farhain dan tempat ketiga oleh Afieq Shazwan. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.
Manakala, tempat keempat dan kelima menjadi milik Wani Kayrie dan Baby Shima.
Peringkat akhir itu menyaksikan kesemua lima peserta perlu mendendangkan sebuah lagu pilihan dan single terbaharu mereka.
Shafiq Farhain menyampaikan lagu Antara Hujan Dan Air Mata nyanyian asal Sudirman dan lagu baharu, Aku Jatuh Cinta, Baby Shima (Police Entry / Elizabeh Tan, Sirna), Wani Kayrie (Pematah Hati / Nabila Razali, Saat Terindah) dan Afieq Shazwan (Footloose / Kenny Loggin, Darjat).
Kesemua peserta dihakimi oleh dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir serta juri undangan Mas Idayu dan Mark Adam.
Keputusan pemenang ditentukan daripada 70 peratus pemarkahan juri dan 30 peratus undian aplikasi TikTok.
Malam kemuncak itu turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Alec Benjamin menerusi lagu Let Me Down Slowly.
Big Stage disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan ia dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad.