Dengan lebih 1,400 penyertaan dari 20 buah negara, pertandingan hafazan Al-Quran antarabangsa, ‘Omar & Hana Little Huffaz’ melabuhkan tirainya Sabtu (12 Disember) lalu dengan pengumuman pemenang di mana negara Malaysia mengungguli kategori umur 3–4 tahun dan juara bagi kategori umur 5–8 tahun pula dimenangi oleh peserta dari Indonesia.
Juara kategori umur 3-4 tahun, Rumaysa Amira Muhammad Rezwan (4 tahun, Malaysia) yang menghafaz surah Al-Falaq memenangi sebuah trofi, barangan eksklusif jenama Omar & Hana serta e- sijil. Manakala tempat kedua dan ketiga membawa pulang barangan eksklusif jenama Omar & Hana serta e-sijil.
Bagi kategori umur 5-8 tahun pula, juaranya Sulthan Abdussalam (8 tahun, Indonesia) yang menghafaz surah Ad-Dhuha, memenangi USD500 dan sebuah trofi. Tempat kedua pula menerima USD350, tempat ketiga USD250, USD150 bagi tempat keempat dan USD100 untuk tempat kelima (sila rujuk senarai pemenang di bahagian lampiran). Setiap pemenang juga membawa pulang barangan eksklusif jenama Omar & Hana serta e-sijil.
Penerbit Omar & Hana, Fadilah A. Rahman berkata, “Pertandingan Hafazan ‘Omar & Hana Little Huffaz’ ini dilancarkan dengan tujuan menggalakkan kanak-kanak menanam rasa cinta terhadap ayat suci Al-Quran. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan, bukan sahaja dari peminat Omar & Hana di Malaysia, malah kami juga menerima penyertaan dari negara Indonesia, Mesir, United Kingdom, dan Amerika Syarikat. Semua peserta sangat berbakat dan memberi inspirasi buat kita semua. Tambah menarik, mereka tidak hanya menghafaz surah dengan baik, malah juga membaca dengan tajwid dan tarannum yang betul. Besar harapan kami untuk menjadikan pertandingan penuh manfaat ini acara tahunan bagi jenama Omar & Hana.”
Program yang dihoskan oleh Azhar Hilmi dan Hana Al-Mauzah itu disiarkan di saluran Astro Oasis (126) dan Oasis HD (106) serta YouTube rasmi Omar & Hana, dan menyaksikan 3 finalis bagi kategori berumur 3-4 tahun dan 5 finalis bagi kategori berumur 5-8 tahun yang telahpun dipilih untuk bertanding di peringkat akhir.
Penilaian setiap finalis adalah berdasarkan hafalan, kefasihan, tajwid dan kreativiti oleh barisan juri antarabangsa termasuklah Qari Ish’haaq, Qari Youssef Dedghouch, dan Mimi Jamilah, bersama juri utama Malaysia, Ustaz Don Daniyal dan Furqan Fawwas.
Pertandingan ‘Omar & Hana Little Huffaz’ ditaja oleh Saji dan Mu’min, serta disokong oleh ILuvQuran dan National Huffaz Association UK.
Berikut Merupakan Senarai Pemenang Lengkap Bagi Setiap Kategori:
Siri animasi Omar & Hana bersiaran di Astro Ceria (631) dan Ceria HD (611) pada setiap hari Jumaat, jam 11.00 pagi. Ikuti perkembangan terkini Omar & Hana di Instagram, langgan saluran YouTube rasmi Omar & Hana bagi video-video menarik, atau layari www.ohlittlehuffaz.com untuk maklumat lanjut!
Mengenai Digital Durian
Digital Durian (DD) adalah sebuah syarikat animasi Malaysia yang terkemuka, berpengalaman lebih daripada 10 tahun dalam penciptaan kandungan ‘edutainment’ yang menyeronokkan dan bermanfaat kepada kanak-kanak pra-sekolah di seluruh dunia. Dengan jenama ‘Didi & Friends’ dan ‘Omar & Hana’ yang telah menunjukkan perkembangan positif, Digital Durian bersedia untuk mencapai tahap baharu, meluaskan jangkauan dan mendalamkan lagi impak mereka. Kedua-dua jenama ini telah menembusi Asia, Eropah, Amerika Syarikat, Timur Tengah dan juga Afrika.