[dropcap]S[/dropcap]eingat Budiey, semasa mula-mula diperkenalkan lagu Terukir Di Bintang dan mendengarnya beberapa kali, Budiey dah meramal lagu ciptaan sepenuhnya oleh Yuna dan susunan muzik pula dibuat bersama AG Coco, lagu ini akan dinobatkan sebagai juara sekalian juara di Anugerah Juara Lagu ke-27.
Ternyata, kata-kata ramalan yang Budiey pernah tweet di Twitter menjadi realiti. Ternyata, pihak juri begitu bijak dan adil untuk menghukumi lagu Terukir Di Bintang dan sekaligus menjadikan Yuna sebagai juara di AJL27.
Budiey baru sahaja menerima berita pengesahan dari Universal Music Malaysia yang mengesahkan Yuna telah dilamar untuk merakam album yang diterbit oleh seorang music genius terkenal di Amerika Syarikat iaitu David Foster di bawah label syarikat rakaman Verve Label. Tahniah sekali lagi Yuna!
Berita ini dijuga disiarkan di Twitter milik David Foster sendiri dengan mengatakan:
“I’m really excited about the next hot artist to join @vervemusic. Stay tuned & keep an eye out for @yunamusic in 2013”
Pergh! Hot artis tuuuu, kata David Foster, ko mampu?
Ternyata sekali, isu kontroversi di awal pemilihan siapa yang layak membawa lagu ini bukan satu petanda buruk atau juri akan menolak untuk meletakkan lagu ke tempat teratas. Hanya 10% sahaja penilaian untuk penyanyi yang membawa lagu ini.
Budiey suka menyentuh persembahan bersahaja dari Aizat Amdan semalam. Sempat tweet sebab mengingatkan Budiey dengan gaya lagenda seni negara, Allahyarham P.Ramlee. Dengan imej bermisai nipis sambil memegang secawan kopi, Budiey kira persembahan ini sangat epik dan bakal dikenang dalam sejarah AJL.
[pullquote align=”right”]Lagu klasik moden Terukir Di Bintang memang best dan Budiey suka layan lagu ini. Korang rasa macamana?[/pullquote]
Budiey ucapkan sekalung tahniah buat Yunalis Zarai kerana bergelar juara tempat pertama di Anugerah Juara Lagu ke-27. Sekaligus dengan kemenangan lagu yang dnyanyikan oleh Aizat Amdan ini melayakkan beliau membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM35,000. Wow, banyak tu, dengan duit itu, Yuna boleh beli tiket kapal terbang untuk berulang alik dari Malaysia – Amerika Syarikat beberapa kali. Kalau buat kenduri makan-makan, jangan lupa jemput Budiey ya, beb.
Berlangsungnya, Anugerah Juara Lagu ke-27 di Stadium Putra Bukit Jalil malam semalam dengan konsep Ekspresi Seni yang mana Budiey boleh anggap adalah yang terbaik dari segi persembahan keseluruhan. Boleh dikatakan semua persembahan finalis begitu beria-ia dan bersungguh-sungguh tampil dengan idea kreatif bagi merealisasikan tema dan konsep Ekspresi Seni. Tidak sebagaimana tahun lepas, hanya beberapa finalis sahaja yang mengikut tema persembahan yang ditetapkan.
Budiey ingin mengucapkan tahniah buat semua krew dan produksi TV3 khususnya yang begitu bekerja keras bagi memastikan Anugerah Juara Lagu ke 27 berjalan dengan lancar dan yang penting tiada sebarang kecacatan. Walaupun ada kelemahan tapi ia langsung tak menjejaskan. Cuma, Budiey harap untuk tahun akan datang, AJL27 akan jadi lebih baik dari tahun ini.
[pullquote]Tahniah buat semua pemenang AJL27! Yang tak berjaya, jangan putus asa, okay?[/pullquote]
Terukir Dibintang telah berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain iaitu Lagu (Bedroom Sanctuary), Teman Pengganti (Black dan RJ), Patah Seribu (Shila Amzah), Pelangi Senja (Stacy), Ombak Rindu (Hafiz dan Adira), Tanpamu (Amir Jahari).
Sementara bagi naib juara dimenangi oleh lagu Idola ciptaan Audi Mok serta lirik oleh Azlan yang dinyanyikan oleh Azlan & The Typewriter sekaligus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.
Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga berjaya dimenangi oleh lagu Ku Akui ciptaan sepenuhnya Ajai nyanyian Hafiz yang turut berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM12,000.
Seperti yang dijangka, penyanyi kelahiran Sarawak, Hafiz Suip terus mendominasi kategori vokal dan membawa pulang trofi vokal terbaik dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000. Ini adalah kemenangan kali ketiga buat penyanyi kelahiran Sabah itu untuk kategori tersebut.
Bagi pemenang persembahan terbaik diraih oleh Black dan RJ menerusi lagu Teman Pengganti menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000. Semua hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.
Persembahan 12 finalis AJL27 diadili seramai 10 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik diantaranya Hetty Koes Endang, Yasin, Aubrey Suwito, Edrie Hashim, Helen Yap, Azmeer dan Ad Samad.
Penjurian dilakukan berdasarkan markah sebanyak 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala 20 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.
Sementara itu, bagi kategori Anugerah ‘Juara Mobile’ yang pertama kali diperkenalkan tahun lalu bagi mengiktiraf lagu yang mendapat muat turun Nada Dering Pemanggil (Call-Me-Tones) terbanyak menerusi The Cube dimenangi oleh lagu Ombak Rindu ciptaan sepenuhnya oleh Nurzaidi Rahman yang dinyanyikan Hafiz dan Adira.
Pertandingan bertemakan ‘Ekspresi Seni’ memaparkan grafik seperti kaleidoskop, pop-up art, doodle art, light trail, typography, papercraft, pencil sketch dan imej 3 Dimensi (3D) yang memberikan impak mendalam pada persembahan.
Acara tersebut dihoskan oleh gandingan dua pengacara hebat iaitu Faizal Ismail dan Cheryl Samad.
Selain menyaksikan finalis-finalis yang bertanding, AJL turut menjemput penyanyi tersohor, Ziana Zain, Misha Omar dan Royal FT Force untuk persembahan pembukaan yang hebat dan memukau.
Manakala segmen interlud menampilkan empat lagenda Rock Malaysia iaitu Rahmat (Mega), Aris Ariwatan, Joey (Bumiputera Rockers) dan Ramli Sarip.
Menyampaikan lagu-lagu seperti Bayangan Gurauan, Lamunan Terhenti, Seribu Tahun Takkan Mungkin dan Kamelia, segmen ‘Rock Kapak’ itu turut menampilkan empat gitaris iaitu, Rodi (Kristal), AG Coco, Edrie Hashim dan Man Kidal.
Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS mengetuai persembahan pada malam itu.
Artis yang melalui karpet ungu semalam, tidaklah semeriah tahun lepas. Tahun ini Budiey rasa tak ramai selebriti yang mahu berjalan di karpet ungu.