Pada hari Ahad lalu, Budiey berkesempatan untuk buat liputan di Konsert 3 Juara Minggu Ke-5 yang diadakan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Rata-rata peserta mempunyai mutu persembahan yang setanding tapi ada dua tiga orang yang lebih ke depan. Apa-apa pun, perjuangan enam orang peserta perlu ditamatkan juga setelah lima minggu bersaing secara ‘battle’.
Mereka yang tersingkir mendapat kutipan markah terendah daripada setiap kumpulan genre muzik yang diwakili. Mereka ialah Ayien dan Arul daripada genre rock, Tyka dan Zayani mewakili irama Malaysia serta Eeza dan Azumi daripada genre balada.
Penerbit Eksekutif 3 Juara, Muhammad Sufian Che Isa berkata, enam peserta yang tersingkir itu gagal memberikan persembahan konsisten sepanjang minggu ‘battle’.
“Format pertandingan ini berbeza daripada kebanyakan program realiti lain yang menyaksikan penyingkiran setiap minggu. Bagaimanapun, berbeza dengan 3 Juara, kami memberi peluang kepada 18 peserta daripada tiga genre muzik ini bersaing secara ‘battle’ selama lima minggu.
“Justeru, mereka perlu menunjukkan kehebatan dan bakat masing-masing.Disebabkan persaingan sengit, tiada istilah peserta kegemaran. Cuma mereka perlu mempamerkan persembahan konsisten bagi meraih markah daripada juri profesional, penerbit dan undian ‘online’.
“Enam peserta yang tersingkir itu tidak konsisten sehingga gagal mengutip markah. Secara peribadi mereka semua bagus sehingga juri dan penerbit setiap genre muzik itu sukar membuat penilaian pada setiap minggu.”
Menurut Sufian, perbezaan markah yang begitu hampir daripada setiap peserta menjadikan 3 Juara sebagai program realiti kendaliannya yang sangat hebat. Malah, dia beranggapan semua peserta program itu jauh lebih berkualiti sepanjang 13 tahun dia menerbitkan rancangan realiti di TV3. Pada persaingan minggu kelima kelmarin, undian online secara keseluruhan mencecah 150,000.
Meneruskan persaingan pada peringkat separuh akhir ialah 12 peserta iaitu empat peserta mewakili genre muzik masing-masing. Masih mengekalkan format sama, mereka akan bersaing secara ‘battle’ selama tiga minggu sebelum memilih dua peserta terbaik ke peringkat akhir.
Program ini menampilkan tiga penerbit muzik, Edrie Hashim (rock), Ajai (balada) dan Pak Ngah (irama Malaysia). Tiga juri profesional pula ialah, Awie (rock), Datuk Rossa (balada) dan Noraniza Idris (irama Malaysia).
3 Juara dihoskan Mira Filzah, Issey dan Ammar.
Bukan rezeki
Peserta kategori balada, Eeza atau nama sebenarnya Nur Shafreeza Zainal Abidin, 23, menganggap penyingkirannya sebagai tiada rezeki.
“Saya sudah memberikan persembahan terbaik, malah Abang Ajai pun memuji persembahan ‘battle’ saya dengan Azumi. Apapun ini bukan rezeki meskipun pada awalnya saya menaruh harapan tinggi untuk sampai ke peringkat lebih jauh.
“Bagi saya konsep 3 Juara sangat kuat yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental. Kalau tak bersedia memang susah dan saya akui tak kuat dari segi itu. Apatah lagi jika mendapat lawan yang jauh lebih bagus,” katanya.
Eeza yang juga pemenang tempat ketiga program Bintang RTM 2016 menyifatkan ‘battle’ yang paling susah untuknya ketika berdepan April. Berbeza dengan Arul, 26, iaitu peserta kategori rock yang kecewa dengan penyingkirannya itu.
“Sejujurnya saya meletakkan harapan tinggi dalam program ini. Apabila tersingkir memang saya kecewa. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan setiap komen yang diberikan juri dan penerbit,” katanya.
Arul atau nama sebenarnya Kamarul Gamari yang juga penyanyi ‘busker’ menyifatkan persaingan minggu kelima lebih selesa untuknya berbanding empat minggu sebelum ini.
Sementara itu, peserta irama Malaysia, Tyka atau nama sebenarnya Nur Amierazatyka Ayob, 21, yakin kerjaya nyanyiannya tidak terhenti setakat itu.
“Adat pertandingan ada menang dan kalah. Saya okey dan percaya dengan rezeki Allah. Penyingkiran ini tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan perjuangan dalam bidang nyanyian.
“Insya-Allah selepas ini saya mahu fokus dalam bidang ini meskipun menyanyi secara sambilan,” katanya yang juga bekas peserta program realiti Seiras Seirama.
Sumber: Harian Metro