10 Telemovie Terbaik Hayati Aidiladha di RTM
Sepuluh drama terbaik dijanjikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam menghayati Aidiladha yang dijangka disambut umat Islam pada 26 Oktober depan. Dari kisah penghijrahan seseorang ke arah kebaikan hinggalah plot kisah pengalaman watak mahu mengerjakan ibadah haji, semuanya boleh disaksikan penonton RTM sepanjang Aidiladha ini.
Keseluruhan sepuluh drama disiarkan menerusi saluran TV1 bermula drama “Adinda”, yang disiarkan mengisi slot Nurani pada 26 Oktober 2012, jam 10.30 pagi diikuti dengan drama Jihad Umairah (27 Oktober 2012, jam 3.05 petang), Menanti Saat Itu (27 Oktober 2012, jam 10.05 malam) dan Pteromerhano (28 Oktober 2012, jam 10.00 pagi).
Menerusi saluran TV2 pula, saksikan drama Tali (25 Oktober 2012, jam 10.30 malam), Kasih Karmila (26 Oktober 2012, jam 1.30 petang) dan Sejadah Dari Mekah (27 Oktober 2012, jam 10.00 pagi). Turut tidak ketinggalan TVi (Saluran 180 Astro) dengan tiga drama menarik bertajuk Mencari Wali (26 Oktober 2012, jam 12.00 tengah hari), Cahaya Keinsafan (27 Oktober 2012, jam 12.00 tengah hari) dan 8 Bahagian (28 Oktober 2012, jam 12.00 tengah hari).
Terbitan Unit Drama TV RTM, drama “Adinda” menggandingkan pelakon Khir Rahman, Wan Shramila dan Rashid Jaafar sarat dengan kisah kekeluargaan bila mana seorang gadis lumpuh yang kematian ibunya tinggal bersama ayah tiri yang suka berhutang dan berjudi. Pelbagai dugaan terpaksa dihadapi oleh Adinda hingga dia dijadikan alat tebus hutang oleh bapa tirinya.
“Menanti Saat Itu” pula mengisahkan Khatijah (Fauziah Nawi) hidup dalam gelisah apabila anak-anaknya Iqbal (Rusdi Ramli) dan Anisah (Aida Aris) mendesar supaya dia mengerjakan haji sedangkan pada waktu sama dia dihantui oleh pelbagai cerita-cerita menakutkan tentang pembalasan Allah S.W.T terhadap jemaah haji yang pernah melakukan dosa besar. Setiap kali Iqbal mendesak, jawapan Khatijah hanya; saat itu belum sampai. Apakah dosa Khatijah hingga dia takut untuk ke Mekah?
Kongsikan kisah “Pteromerhano”, merujuk kepada satu penyakit perasaan fobia atau takut naik kapal terbang. Pak Cik Zahari dan isterinya sangat gembira kerana dapat menunaikan haji. Tetapi ada sesuatu yang mengganggu perasaan Pak Cik Zahari menyebabkan dia menjadi murung selepas mendapat surat menunaikan haji. Ini menyebabkan isteri dan anak-anaknya risau dengan perubahan Pak Cik Zahari. Drama ini dibintangi oleh Harun Salim Bachik, Khaty Azean, Zack Taipan dan Kamal Bakar.
Tiga telemovie menerusi TV2 pula termasuklah bertajuk “Tali” lakonan Sabri Yunus, Syed Aiman dan Asrulfaizal mengisahkan Che Soh yang berhasrat untuk mempereratkan kembali hubungan adik beradik antara Zaki dan Azhar yang semakin renggang melalui lembu korban yang diselenggaranya. Namun usaha Che Soh tidak semudah yang direncana apabila lembu yang ingin dijadikan korban terlepas dari ikatan dan hanya tinggal tali. Tercapaikah hasrat Che Soh menyatukan kembali hubungan kekeluargaan mereka?
Kisah pengajaran, “Sejadah Dari Mekah” juga tidak kurang menariknya tentang pengorbanan seorang ayah terhadap anak-anaknya lakonan berkesan Nasir Bilal Khan, Izreen Azminda dan Eira Shazira.
Menampilkan gandingan Shahrizal Jazle dan Jue Aziz, drama Mencari Wali menarik untuk ditonton kerana realiti kisahnya berlaku dalam kehidupan sebenar bila mana seorang gadis cuba menjejak wali yang juga bapa kandungnya untuk bernikah. Namun konflik berlaku bila bapanya enggan mewalikan anaknya itu hingga terbongkar rahsia yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuan semua.
Menyusul drama Cahaya Keinsafan kisah Dato’ Osman mula mendalami ilmu agama setelah melihat rakan baiknya Dato’ Izuddin telah dijemput menghadap ilahi sebelum berkesempatan untuk menunaikan haji. Ia dibintangi oleh Hafizuddin Fadzil, Kasmadiana, Rosalinda Abdullah dan Baharuddin Haji Omar.
Tontoni sepuluh drama khas Aidiladha ini hanya di RTM.