Anugerah yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada karyawan-karyawan seni tanah air ini bukan sahaja memberi ruang kepada penggiat seni untuk memperkembangkan lagi bakat seni, malah menggalakkan mereka berusaha dengan lebih gigih untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi sekali gus memartabatkan hasil seni negara. Kini, pengiktirafan kepada karyawan seni diteruskan lagi dengan penganjuran Anugerah Skrin 2011 yang bakal diadakan pada bulan November bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Anugerah Skrin Kembali
Bagi menyemarakkan lagi debaran Anugerah Skrin 2011, TV3 bakal menayangkan semula sebahagian daripada telefilem yang tercalon ke Anugerah Skrin 2011. Ia akan disiarkan setiap Ahad, jam 10.00malam – 12.00tengah malam mulai 11 September 2011 hingga 30 Oktober 2011.
8 Telefilem Terpilih Pencetus Demam Anugerah Berprestij
Seperti tahun sebelumnya, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad yang terdiri daripada TV3, NTV7, 8TV dan TV9, pihak penganjur juga turut menjemput stesen televisyen RTM dan ASTRO untuk sama-sama menyertai anugerah yang berprestij ini. Kesemua rangkaian televisyen ini layak untuk menghantar penyertaan bagi terbitan drama dan terbitan dalaman yang pernah disiarkan di stesen televisyen mereka untuk merebut anugerah bagi kategori yang dipertandingkan mengikut syarat yang telah ditetapkan.
“Anugerah Skrin sudah pun memasuki tempoh usia matang di mana ianya dinanti-nantikan oleh para karyawan dan artis tanah air untuk menjulang nama mereka setelah berhempas pulas memberikan yang terbaik untuk industri. Seperti yang pernah kami tegaskan sebelum ini, Anugerah Skrin bukanlah pertandingan antara stesen televisyen, tetapi drama dan terbitan yang disiarkan melalui stesen-stesen ini yang dipertandingkan. Kami berasa bangga kerana pada tahun ini ASK 2011 turut mendapat kerjasama dan sokongan positif dari rakan-rakan stesen televisyen yang lain dan menerima banyak pencalonan yang menampilkan muka-muka baru dalam bidang ini. Ia merupakan satu petanda positif dalam meningkatkan mutu seni tanah air yang mana dengan adanya anugerah seperti ini, ia dapat menggalakkan penggiat-penggiat seni untuk berusaha lebih gigih lagi agar hasil karya mereka dihargai dan mendapat pengiktirafan.”
– Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9
“Untuk makluman, pihak kami akan mengumumkan dengan lebih terperinci mengenai kategori keseluruhan pencalonan termasuklah senarai nama drama, filem dan juga barisan pelakon serta produksi yang telah disenarai pendek di dalam satu majlis sidang akhbar khas Anugerah Skrin 2011 pada bulan Oktober nanti,”
– Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9
Anugerah Skrin memberi pengiktirafan kepada pengeluar–pengeluar drama dan filem tempatan. Telefilem dan drama yang dicalonkan pula adalah hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu.
Antara faktor yang menyebabkan telefilem dan drama ini terpilih untuk ditayangkan di kaca televisyen adalah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap dan mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif disamping boleh menarik perhatian penonton.
Calon-calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2010 hingga 30 Jun 2011 selain pencalonan drama yang berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian AGB Nielsen Media Research mengikut ‘genre’ masing-masing. Semua pencalonan akan dinilai oleh panel juri profesional yang dipilih.
Berikut adalah sinopsis TELEFILEM ANUGERAH SKRIN 2011:
Berkalung Noda: 11 September 201, 10.00malam
BERKALUNG NODA mengisahkan tentang seorang wanita bernama Karina, isteri kepada Azrai dan mempunyai dua orang anak, masing-masing berumur 8 dan 7 tahun. Azrai yang bekerja sebagai jurutera eksplorasi petroleum & gas sering bertugas di luar Negara. Karina tidak bekerja dan banyak menghabiskan masa bersosial dengan rakan-rakannya kerana bosan ketiadaan Azrai di sisi. Suatu hari Karina berkenalan dengan lelaki bernama Ray di sebuah restoran. Ray hanya mahu memperdayakan Karina. Hubungan Ray dan Karina berlanjutan sehingga mereka ditangkap oleh Jabatan Agama Islam di apartment milik Karina. Apakah yang berlaku selepas itu?
Pelakon: Fasha Sandha, Roy Azman, Riz Ainuddin, Elyana, Aripah Damanhuri, Julia Ziegler
Sudu & Garpu: 18 September 2011, 10.00malam
Mengisahkan tentang Alya, 25 tahun, seorang lepasan Universiti dan masih mencari pekerjaan. Alya yang kerap menghabiskan masa berbual di laman sosial langsung tidak membantu ibunya, Puan Kamariah. Suatu hari, Alya mendapat tawaran bekerja di Kuala Lumpur sebagai Eksekutif Pentadbiran di sebuah syarikat insuran. Di Kuala Lumpur, Alya tinggal bersama Farah, rakan sekerjanya. Mereka berjiran dengan Andy dan Rosli. Alya sering bertikam lidah dengan Andy manakala Farah semakin hari semakin rapat dengan Rosli. Tanpa pengetahuan Alya dan Andy, mereka sebenarnya teman rapat di laman sosial, Alya menggunakan nama samaran “Jelitaâ€, Andy pula menggunakan nama “Handsomeâ€. Apakah yang berlaku selepas itu?
Pelakon: Fauzi Nawawi, Siti Saleha, Kat Mentor, Saiful Apek, Alana Amir, Fadhilah Mansor, Munir.
Korban Kasih Abah: 25 September 2011, 10.00malam
Selepas kematian isterinya, impian Adnan adalah untuk membahagiakan dan menunaikan apa sahaja yang dikehendaki oleh Jamilah, satu satunya cahaya mata belahan jiwanya. Impian Jamilah juga satu, ingin menjadi penyanyi nombor satu yang tersohor di Malaysia. Untuk mengejar impian anaknya, Adnan sanggup membuat beberapa kerja sampingan dan bekerja keras demi Jamilah. Jamilah berjaya menjadi artis dan kian tenggelam dalam dunia glamor. Dia semakin meminggirkan ayahnya. Adnan terlantar sakit di hospital juga tidak diketahui oleh Jamilah. Masih sempatkah Jamilah memohon kemaafan dari ayahnya?
Pelakon: Diana Amir, Esma Danial, Mia Sara, Shajiry, Pekin
Yang Terpuji: 2 Oktober 2011, 10.00malam
Ahmad Muhammad yang lebih dikenali sebagai Mamat merupakan seorang kanak-kanak yang nakal. Walaupun baru berusia 10 tahun, dia sering melakukan kegiatan seperti mencuri ayam, mencuri buah-buahan, menyakat orang-orang tua dan kanak-kanak serta sebagainya bersama kawan baiknya, Amir. Ibunya Aminah puas menasihati anaknya agar berubah, namun tidak diendahkan malah dia akan berpura-pura menjadi baik untuk seketika. Ayahnya Wak Ben, merupakan seorang yang garang namun Mamat tidak pernah gentar sehinggalah kehadiran Ustaz Mokhtar untuk menggantikan guru kelasnya, Ustazah Noreha yang cuti bersalin. Bagaimanakah Ustaz Mokhtar dapat mengubah sikap nakal Mamat dan Amir?
Pelakon: Fazli Daniel Ali, Zul Yahya, Fauzi Nawawi, Aida Aris
Jangan Hantar Aku Ke Neraka: 9 Oktober 2011, 10.00malam
Mak Jah sudah kematian suami dan mempunyai tiga orang anak iaitu Ita, Hamzi dan Zai. Anak bongsunya, Zai, sungguh manja dan dia sudah menunjukkan tanda-tanda memiliki sifat-sifat kewanitaan sejak kecil lagi. Kelemahan dan kecacatan batin Zai membuatkan dia begitu jauh dengan abang dan kakaknya. Niat Rozi ingin menjalinkan hubungan dengan Hamzi juga terkubur kerana bimbang Hamzi membawa baka seperti Zai. Bagi Ita dan Hamzi, Zai umpama membawa sial dalam hidup dan keluarganya. Mereka tidak tahan lagi menerima cemuhan dari orang kampung yang berpunca dari adiknya dan mengugut untuk tarik balik duit belanja jika Mak Jah tidak mahu menghalau Zai dari rumah. Akhirnya Zai membuat keputusan untuk keluar dari rumah. Hati Mak Jah tidak tenteram mengenangkan anaknya setiap hari sehingga jatuh sakit. Dia sering menyebut nama Zai membuatkan Hamzi dan Ita meluat dengan ibu mereka.
Pelakon: Faizal Yusop, Fadilah Mansor, Adeq Ku Yusry, Watie Sadalie, Wan Sharmila dan Wan Nor Azlin.
Iqra: 16 Oktober 2011. 10:00malam
Sebuah kisah mengenai Arman yang berjaya di dalam kerjayanya namun mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Arman berpindah ke rumah banglo lebih besar dan mewah selepas kejayaan syarikatnya. Sejak berpindah ke rumah tersebut, Arman sering didatangi oleh seorang lelaki misteri yang membaca Al-Quran. Lelaki tersebut muncul di hadapan rumahnya dan memperkenalkan diri sebagai Pak Kudus ketika Arman menganjurkan parti sempena berpindah rumah baru. Pak Kudus menghadiahkannya sebuah Al-Quran baru tetapi Arman hanya menyimpannya dalam bilik stor. Suatu malam Arman termimpi tentang Pak Kudus yang menyuruhnya membaca Al Quran. Arman cuba mencampak Al-Quran tersebut tetapi muncul pula bayang hitam yang datang dan terus menampar muka Arman. Arman tersedar dan terkejut melihat mukanya yang merah. Arman terdengar lagi bacaan Pak Kudus. Puas Arman mencari Al- Quran di dalam bilik stor tetapi tidak dijumpai. Arman masuk ke biliknya dan terkejut melihat Al Quran itu di atas rehal yang sudah terbuka…
Pelakon: Eman Manan, Jasmin Hamid, Aeril Zafril, Nelydia
Airmata Nur Salina: 23 Oktober 2011, 10:00malam
Salina merupakan penyanyi kugiran di rumah-rumah orang kahwin di kampungnya. Kecantikan Salina sering menjadi bualan anak-anak muda disitu namun hatinya Salina terpaut kepada Fakar, seorang kerani biasa sehingga sanggup meninggalkan keluarganya dan berkahwin lari bersama Fakar di Thailand. Selepas berkahwin, mereka berhijrah tinggal di Kuala Lumpur supaya Fakar dapat membuka perniagaan sendiri bermodalkan kesemua wang simpanan yang ada. Fakar mula lupa diri apabila perniagaannya meningkat maju.
Pelakon: Umie Aida, Remy Ishak, Adi Putra, Rosnah Johari, Anne Abdullah.
Kemaafan Yang Tertangguh: 30 Oktober 2011, 10:00malam
Selama hampir 10 tahun Hartina menjadi menantu Kasmah namun tidak pernah sekalipun dia mendapat kasih sayang sebagai menantu. Ibu Hartina, Khadijah tidak berpuas hati dengan sikap besannya yang mengongkong kehidupan anaknya. Untuk menangkis serangan jiran-jirannya, buat kali pertama Kasmah membenarkan Hartina pulang ke rumah Khadijah untuk beraya tetapi dengan beberapa syarat. Hartina yang sibuk melayan karenah ibu mertuanya akhirnya tidak sempat pulang ke rumah Khadijah pada hari Raya pertama. Khadijah tidak jemu menunggu walaupun sudah jam 12 tengah malam. Akibat terlalu mengantuk, Khadijah pitam dan terjatuh. Kasmah yang menjawab panggilan telefon daripada keluarga Khadijah tetapi tidak memberitahu Hartina. Apakah yang akan berlaku kemudian?
Pelakon: Zamarul Hisyam, Eira Syazira, Maimon Talib, Fadhilah Mansor, Ana Dahlia, Amanda Misbun