in ,

Senarai Drama Eksklusif Sepanjang Aidilfitri di TV3

Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, TV9 meneruskan tradisinya menyediakan lima buah drama eksklusif dan menarik sesuai dengan tema tahun ini iaitu ‘Anugerah Syawal’. Drama-drama ini dibarisi oleh artis terkenal tanahair seperti Rita Rudaini, Shah Iskandar, Nad Zainal, Anad Ridzuan dan Afdlin Shauki.

Lebih menarik lagi apabila tiga buah drama yang disiarkan pada 12.30 tengahari ini, iaitu berjudul Pontianak Teng Teng, Kimchi Raya dan Superstra dapat disaksikan tujuh hari lebih awal sebelum ditayangkan di TV9 menerusi www.tonton.com.my. Penonton hanya perlu melanggan tonton premier dengan kadar bayaran serendah RM3 sahaja dan sah dalam masa 48 jam.

Dua lagi drama menarik adalah eksklusif untuk adik-adik menerusi slot Bananana! iaitu Misi Papa Aiman dan 20 sen. Kedua-dua program ini dibintangi oleh finalis Idola Kecil dan tenaga pengajar mereka antaranya Alif Satar, Cikgu Delly, AG Coco, Ben Laden, Aleeya, dan Ajaq.

Misi Papa Aiman

MISI PAPA AIMAN

Menjelang Raya, 5.30 petang
Aiman sangat rapat dengan papanya dan setiap kali bersama, ada sahaja cerita yang akan dikongsi oleh papanya. Ini termasuklah cerita ketika papanya di waktu muda. Ketika mengemas rumah, Aiman dan adik-adiknya terjumpa gambar papanya semasa kecil. Aiman menunjukkan gambar tersebut kepada papanya dan akhirnya terbongkar cerita kenakalan papanya semasa waktu Ramadan. Papa dan abangnya yang mereka gelar Pak Long sangat nakal semasa kecil dan tidak takut dengan sesiapa kecuali Pak Lebai. Mereka memang kuat menyakat orang terutamanya Siti, yang merupakan anak Pak Lebai.

Siti memang tidak suka dengan perangai papa, namun mereka mejadi rapat apabila Siti membantu keluarga papa yang nyaris porak peranda. Siapakah Siti di dalam hati papa? Saksikan drama komedi yang dilakonkan oleh Ben Laden, Baby Sofea, Danish Adam, Ku Hariz dan Elfira Loy.

PONTIANAK TENG TENG

Raya Pertama, 12.30 petang
Drama komedi ini dilakonkan oleh Rita Rudaini, Mak Jah, Yus Jambu dan Shah Tapaw. Pontianak Teng Teng ini mengisahkan tentang seorang janda yang jelita bernama Indah. Indah sering menjadi tarikan kerana susuk badannya yang cantik dan rupa parasnya yang menarik. Apatah lagi Indah gemar berpakaian kebaya. Ramai pemuda kampung ingin mengambil kesempatan ke atas Indah untuk mendekatinya. Indah bekerja penoreh getah di kebun Pak Seman. Kehadirannya menjadi rebutan tiga sahabat baik Wardi, Asmadi dan Taib sehingga menjejaskan persahabatan mereka.

Namun, sejak kemunculan Indah, kampung tersebut menjadi gempar dengan kematian misteri jejaka-jejaka kampung. Saban minggu akan ada seorang jejaka kampung yang mati dan ditemani lakaran teng teng di sisinya. Penduduk kampung tertanya-tanya siapakah dalangnya, namun Mak Esah, seorang wanita tua yang dianggap gila oleh penduduk kampung mengesyaki ianya ada kaitan dengan Indah. Apakah yang terjadi selanjutnya?

Kimchi Raya

KIMCHI RAYA

Raya Kedua, 12.30 tengahari
Mengisahkan Jihan, bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat agensi perlancongan, sangat meminati rancangan dan drama Korea. Dia sering berangan-angan untuk berhari raya di Korea, sehinggakan suatu hari dia memenangi hadiah utama iaitu tiket penerbangan ke Korea dalam satu pertandingan. Kebetulan pula, tarikh tiket penerbangan ke Korea jatuh pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama. Namun Jihan nekad untuk meneruskan misinya ke Korea walaupun telah dinasihati oleh keluarga.

Berlaku salah faham antara Jihan dan abangnya yang bertugas di Korea. Jihan menyangkakan yang abangnya terima mesej kepergiannya ke sana, sedangkan abangnya dalam perjalanan pulang ke Malaysia untuk berhari raya bersama keluarga. Dia tidak memberitahu keluarganya kerana ingin memberikan kejutan. Keadaan menjadi kalut apabila Jihan terpaksa berhadapan dengan budaya dan kehidupan Korea yang berbeza dari Malaysia apatah lagi ia terpaksa menghadapinya bersendirian. Namun, dia bernasib baik apabila bertemu dengan seorang lelaki campuran Melayu-Korea yang tinggal di sana. Bagaimana Jihan berhadapan dengan situasi yang terlalu asing baginya? Drama komedi ini dilakonkan oleh Nad Zainal, Shahrul Ridzwan, Norish Karman dan Shah Iskandar.

Superstra

SUPERSTRA

Raya Ketiga, 12.30 tengahari
Superstra ini dilakonkan oleh Anas Ridzuan, Johan As’ari, Mira Amnas, Mustaqim Bahadon, Aziz M. Osman dan Afdlin Shauki. Ianya mengisahkan tentang Norman, seorang pelakon tambahan yang ingin menjadi pelakon terkenal. Dia berlakon dalam sebuah produksi sebagai pelakon tambahan bersama dengan kawan baiknya Johan. Di lokasi, Norman bertemu dengan seorang pelakon tambahan wanita bernama Illyana dan mereka menjadi baik. Pelbagai insiden berlaku di lokasi pengambaran termasuk perselisihan antara Norman dan pelakon utama drama tersebut iaitu Amin.

Norman terasa terkilan apabila mereka diasingkan ketika masa rehat atau makan dengan pelakon utama. Keadaan ini sebaliknya, membuatkan Norman berusaha untuk mengambil hati pengarah supaya dia diberi watak penting dalam drama itu. Rancangan Norman berjaya apabila dia dapat memulihkan hubungan pengarah dengan isterinya yang sebelum ini berantakan. Dalam pada itu,Iliyana sering didampingi oleh pelakon utama drama tersebut yang sebenarnya berniat untuk mengambil kesempatan. Norman dapat menghidu tektik Amin dan cuba menasihati Iliyana dan ini membuatkan Norman bertengkar dengan Amin. Pelbagai kisah yang berlaku membuatkan Norman hampir berputus-asa untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan. Kini Norman terfikir pula untuk menolong ibunya di bengkel kereta. Adakah Norman nekad dengan keputusannya?

Rita Rudaini (Pontianak Teng Teng)

20 SEN

Hari Raya Ketiga, 2.30 petang
20 Sen merupakan drama yang dilakonkan oleh adik-adik Idola Kecil termasuklah tenaga pengajar Cikgu Delly dan pengacara Alif Satar. Kisah lucu ini bermula dengan Aleeya yang mempunyai tabiat pelik iaitu mengumpul duit syiling 20 sen yang lama. Aleeya yang berusia 10 tahun sememangnya seorang kanak-kanak yang rajin dan setiap kali diberi upah, dia akan memastikan orang itu memberikannya duit syiling 20 sen sahaja. Aleeya mempunyai seorang kembar lelaki bernama Bell (Ben) yang suka menyakat Aleeya. Ramai tertanya-tanya tentang perangai pelik Aleeya. Kemusykilan ini membuatkan Ben dan kawan-kawannya Kecik (Alif), Ajaq (Ajaq) dan Dani (Dani) berusaha mencari jawapan. Malahan, Mat Rock yang dilakonkan oleh AG Coco, turut merasa kepelikan Aleeya dan turut berusaha mencari rahsia sebenar Aleeya. Apakah rahsia di sebalik syiling 20 sen itu?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program yang diminati, mereka turut berpeluang menontonnya menerusi portal video Tonton (tonton.com.my). Kami percaya apabila bermulanya bulan Ramadan dan seterusnya Syawal, anda semua pasti terpaku di hadapan televisyen anda kerana program yang disediakan adalah berkualiti tinggi, bertaraf antarabangsa dan dibintangi oleh selebriti terkenal tanahair yang dibawakan secara percuma di televisyen anda.

Jangan lupa untuk menyaksikan drama-drama eksklusif ‘Anugerah Syawal’ yang disiarkan di TV9 sepanjang minggu pertama Aidilfitri ini.

20 sen (Aleeya)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video #GilaBola Trending Jadi Siulan Piala Dunia 2014

Peraduan Melakar Pad Tali Pinggang Keledar TOYOTA