in

Senarai Artis di Karnival Seni Kreatif Kita Hujung Minggu Ini

[dropcap]K[/dropcap]arnival Seni Kreatif Kita (KSKK) 2013 yang pertama kali diadakan bakal berlangsung 11 dan 12 Mei ini di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang, Johor. Ia bermula jam 10 pagi hingga 7 malam. Ia menjadi salah satu projek di bawah Program Pemangkin Jangka Pendek Sektor Seni Persembahan bagi tahun 2012-2013.

KSKK dilaksanakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) bersama dengan pihak industri seni iaitu My Performing Arts Agency (MYPAA) sebagai rakan pelaksana JKKN.

KSKK juga antara salah satu daripada lima projek utama di bawah Pelan Tindakan 3 Program Pemangkin Jangka Pendek Seni Persembahan. Ia bertujuan mewujudkan landasan komersial seni persembahan bagi program bersepadu jangkauan komuniti dan penaung seni persembahan.

KSKK secara tuntasnya mahu meningkatkan profil seni dan budaya supaya sektor swasta menyedari bahawa seni dan budaya adalah landasan bersesuaian untuk mempromosikan matlamat dan jenama syarikat mereka. Ia juga berhasrat menggalakkan sektor swasta untuk melabur atau menyumbang kepada kegiatan seni dan budaya.

Tak ketinggalan, projek ini cenderung untuk meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap seni dan budaya, menggalakkan pembabitan masyarakat dalam kegiatan seni dan budaya selain menjana kutipan dana bagi membolehkan Sektor Seni Persembahan melaksanakan kegiatan secara berterusan.

Sepanjang karnival ini berlangsung selama dua hari, aktiviti yang disusun diharap dapat memberi pendedahan kepada masyarakat selain menghargai entiti seni itu. Ia turut menjadi landasan untuk mencungkil bakat baru dalam bidang seni yang bakat mereka kemudiannya akan digarap dan dipupuk supaya terus berkembang.

Karnival ini juga dilaksanakan dengan mengambil kira nilai-nilai murni dan kemanusiaan bagi menyokong hasrat gagasan 1Malaysia dan mewujudkan sebuah Negara Bangsa yang mempunyai jati diri yang utuh terhadap Negara Malaysia. Nilai-nilai tersebut adalah seperti nilai pendidikan, nilai inspirasi dan nilai keusahawanan, selain daripada nilai hiburan.

Pemilihan Johor sebagai lokasi penganjuran yang pertama didorong dengan faktor jarak negeri itu dengan Singapura yang dianggap sebagai pintu masuk utama di selatan tanah air. Justeru ia diharap akan memberi manfaat besar terhadap perkembangan industri seni dan budaya Malaysia.

Projek ini juga akan menjadi satu titik tolak dalam pembangunan industri kreatif Negara apabila para penggiat seni dan budaya berpeluang mempromosikan produk mereka kepada masyarakat Malaysia khasnya dan masyarakat antarabangsa umumnya.

Jadi kepada yang tidak ke mana-mana hujung minggu ini boleh singgah ke Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang. Masuk adalah percuma. Antara artis yang bakal memeriahkan acara ini ialah Raja Azura, bintang Lawak Ke Der, Osbon, Harith Iskander, Saiful Apek, Najwa Latif, Medinee, Azmyl Yunor & The Siggarettes, Couple dan Primitive Leap.

Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang, www.mypaa.com.my, facebook.com/karnivalsenikreatifkita dan twitter.com/kskk2013. Akan datang, MYPAA dan JKKN juga bakal menganjurkan The Borak Arts Series pada 15 dan 16 Jun 2013 di Kuala Lumpur.

NAJWA LATIF / SHOWCASE GUAKUSTIKA

Najwa Latif

RAJA AZURA / PROGRAM BINTANG MENCARI BINTANG

Raja Azura

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ajieb Sah Tandatangani Kontrak Pengurusan Artis Di Korea Selatan

Asyraf Muslim Mahu Berkahwin Kali Kedua Kerana Zuriat?