Pada hari Ahad lalu, telah berlangsung sebuah konsert yang ditunggu-tunggu. Ternyata konsert kolaborasi kumpulan dan penyanyi dari Indonesia iaitu Nidji dan Budi Doremi yang dibawakan oleh Dream Festival mendapat sambutan baik peminat.
Suasana malam itu dimeriahkan lagi dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi Aisha Retno yang membawakan lagu Sang Dewi oleh Loydra, Andi Rianto dan Sial oleh Mahalini.
Karakter Aisha yang bertenaga di atas pentas menaikkan lagi semangat penonton pada malam itu.
Kemudian, persembahan dimulakan dengan Budi Doremi yang membawakan sembilan buah lagu dan satu lagu berduet bersama Nidji iaitu lagu Doremi.
Budi akui teruja untuk tampil pada konsert berkenaan memandangkan ini merupakan penampilan sulungnya bagi persembahan berskala besar.
Antara lagu hits yang dinyanyikan oleh Budi ialah Melukis Senja, Mesin Waktu dan Tak Kan Hilang turut kedengaran suara penonton menyanyi bersamanya.
Konsert diteruskan lagi dengan penampilan Nidji yang mendapat sorakkan kuat daripada peminat yang hadir.
“Tahun 2023 adalah tahun ke-21 penubuhan Nidji. Kini selepas 21 tahun, kami seronok dapat meraikannya dengan kawan-kawan di Malaysia. Kami sangat gembira dan teruja.”
“INI seperti mengulangi semula sejarah kami,” kata Nidji mengenai persembahan di Kuala Lumpur yang juga mempertemukan mereka di pentas buat pertama kalinya dengan penyanyi solo, Budi Doremi.
Nidji membawakan sebelas buah lagu antaranya Laskar Pelangi, Sumpah Cinta Mati dan kegemaran penonton iaitu Hapus Aku.
Lagu-lagu yang dibawakan oleh mereka membuatkan penonton menari dan turut menyanyi bersama.
Penampilan khas pelakon daripada filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck iaitu watak Bang Muluk dan juga pemain keyboard Nidji mengungkapkan dialog daripada filem itu juga antara momen yang terus diingati peminat.
Usai meraih sukses menerusi Dream Festival Collaboration Vol. 1 yang turut menampilkan penyanyi berbakat besar dari Malaysia, Aisha Retno, siri kedua festival muzik yang dinanti-nanti ramai itu bakal menampilkan pula kumpulan popular, Wali Band.
Turut mengambil tempat di Zepp Kuala Lumpur, Wali Band bakal menghangatkan pentas dengan lagu popular mereka dalam rangka persembahan Dream Festival Collaboration Vol. 2 pada 20 Mei depan.