Program bual bicara yang mempunyai 12 episod ini telah bersiaran setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis pada pukul 11.00 malam bermula 28 April 2020 lalu menerusi TV3. Seperti yang sedia maklum, sejak pandemik Covid-19 ini menular, kehidupan kita berubah 360 darjah. Bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia! Sememangnya agak sukar untuk kita menyesuaikan diri dengan keadaan situasi sebegini apatah lagi dalam bulan Ramadan. Di sinilah tercetusnya ilham untuk kami berkongsi kepada penonton setia kami topik-topik berkaitan permasalahan puasa dan juga isu-isu semasa ketika Ramadan terutama semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) berlangsung.
Antara topik menarik yang akan dibincangkan dan dapat kita pelajari adalah berkaitan tanggungjawab sosial menangani krisis, beribadah dalam darurat, taubat sementara, Ramadan bulan bina taqwa, momentum terawih dan banyak lagi.
Bertepatan dengan PKP, program Sembang Sahur telah menggantikan segmen singgah sahur kepada segmen Singgah Ramadan. Menerusi segmen ini pihak kami mendekati petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani Covid-19, mereka yang terkesan dengan PKP seperti pelajar universiti, golongan peniaga kecil, keluarga susah dan ramai lagi. Selain itu kami juga menemubual mereka yang pernah dijangkiti Covid-19 dan juga keluarga yang kehilangan insan tersayang disebabkan wabak ini.
Program ini semakin menarik pada setiap hari Khamis menerusi Singgah Ramadan apabila Ustaz Zarifi Daud yang merupakan ustaz selebriti tanahair membicarakan topik berkaitan inspirasi ‘zero to hero’.
Beliau akan sama-sama turun padang diiringi oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) mendekati para petugas barisan hadapan dan bersama-sama membantu mereka menjalankan tugas seperti melakukan proses sanitasi di tempat awam bersama ahli bomba, mendekati petugas yang menguruskan jenazah pesakit Covid-19, menemubual insan yang berjuang menangani wabak ini serta mendengar luahan bekas pesakit Covid-19 dalam mengharungi nyawa mereka.
Di sini beliau akan berkongsikan tazkirah bersama mereka dan pada masa yang sama memulihkan semangat mereka dalam meneruskan perjuangan merintangi Covid-19 ini. Antara topik yang disampaikan adalah kebersihan jiwa, jasa dikenang, peluang kedua hidup dan indahnya prihatin.
Siaran langsung Sembang Sahur tahun ini diterajui oleh penerbit eksekutif Kalijahwati Md Kassim dan penerbit Fariha Onn di samping pengacara ceria seperti Hazid Husni, Teh Syuhaida, Zack Merican, Dayah Bakar, Hazlin Hussin, Hanif Miswan, Fariha Onn dan Irin Putri. Mereka juga dibantu barisan Da’i yang terdiri daripada Da’i Luqman, Da’i Aiman, Da’i Hakim, Da’i Hadhari, Da’i Adam dan Da’i Hidayu. Selebriti lain yang turut menceriakan suasana Sembang Sahur ini adalah Ernie Zakri, Fahrin Ahmad, Amyra Rosli, Izzue Islam, dan ramai lagi.
Jangan lupa untuk mengemas kini pengetahuan anda terhadap isu semasa Perintah Kawalan Pergerakan bersama Sembang Sahur, setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis pada pukul 11 malam hingga 12 tengah malam, bermula 28 April 2020 di TV3 dan juga Facebook live Sembang Sahur.
Gunakan tanda pagar #SetulusIkhlas untuk menghangatkan perbualan di alam maya. Ikuti juga laman media sosial Instagram, Twitter, dan Facebook TV3Malaysia untuk info lanjut mengenai program-program terbaik Ramadan.