Dalam kesibukan itu, berita dikongsi pelakon Betty Banafe melalui laman sosial sejak beberapa hari lalu menarik minat saya untuk dijadikan bahan tulisan kali ini.
Rasa kagum dengan semangat juang Wafa Abdul Kadir, 48, yang cukup tinggi ingin dikongsi bersama pembaca yang lain. Bukan hanya dalam dunia seni malah kehidupan peribadi.
“Dua tahun lalu, Wafa diuji lagi…”
Jika pembabitan awalnya dalam seni pada 1990-an tidak mendapat restu keluarga, dia tetap teruskan juga. Mula dikenali melalui filem Azizah The Legend, kini perjuangan anak bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Talib itu dalam seni menjurus di belakang tabir sebagai penerbit. Antara filem terbitannya, animasi Budak Lapok.
Laluan kehidupan peribadi berliku apabila dua perkahwinan yang lalu, gagal dipertahankan. Namun, kegagalan itu tidak pernah membuat dia serik untuk berkahwin lagi apabila bertemu jodoh ketiga dengan Tajul Faizal Tamimuddin, 48, jurutera anak dua pada Jun 2010.
Mereka rakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Petaling, Petaling Jaya, Selangor pada 1978 dan bertemu semula selepas terpisah selama 32 tahun dalam majlis reunion sekolah. Dari situ, bibit-bibit cinta antara mereka mula bersemi.
Wafa mempunyai empat anak hasil perkahwinan lalu iaitu Muhd Luqman Yusof, 27, Muhd Hakim Abd Raouf, 19, Muhd Kamil Abd Raouf, 18, dan Muhd Adib Abd. Raouf, 16.
Dua tahun lalu, Wafa diuji lagi apabila terbabit dengan kemalangan jalan raya menyebabkan tulang belakangnya patah.
Difahamkan, ketika itu Wafa sibuk me-nguruskan penganjuran Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur Ketiga (KLIFF3). Dia bertungkus-lumus membuat persiapan hingga mengaku, ada kalanya tak sempat makan. Bagaimanapun, kita merancang, Tuhan menentukan. Kemalangan itu menyebabkan Wafa tidak dapat meneruskan perjuangannya.
Kesan kemalangan itu, dia menderita apabila pembedahan dilakukan menimbulkan masalah kepadanya. Dia pernah lumpuh dan menggunakan kerusi roda.
Malah pelbagai kesakitan dan penderitaan dilaluinya sejak itu. Pelbagai usaha dilakukan tetapi keadaannya makin hari makin kritikal.
Bagaimanapun, Wafa tidak pernah putus harap dan terus berusaha semoga dia kembali pulih seperti dulu. Akhirnya dia dipertemukan dengan doktor pakar tulang dari Hospital Pusat Perubatan Tropicana dan menyarankan supaya dia menjalani pembedahan.
Walaupun doktor memaklumkan pembedahan itu mempunyai risiko tinggi kemungkinan lumpuh atau hilang suara, Wafa berani mengambil apa saja risiko.
Baginya, kalau tidak menjalani pembedahan keadaannya memang kritikal, dia bersedia menerima apa saja ketentuan Yang Maha Esa.
Diiringi doa keluarga dan sahabat handai, Wafa dimasukkan ke hospital Isnin lalu dan menjalani pembedahan keesokan harinya, jam 11 pagi. Pembedahan selama tujuh jam itu ibarat hidup dan mati Wafa.
Betty yang bertemu Wafa pada Rabu malam, bersyukur kerana pembedahan itu membawa perubahan positif kepada rakannya.
“Alhamdulillah, lega hati saya apabila pembedahan itu berjaya dan keadaannya stabil. Saya difahamkan, besi yang dipasang pada tulang leher Wafa ketika pembedahan dua tahun lalu tidak dimasukkan dengan betul dan ia memberi kesan kepada organ lain.
“Doktor terpaksa membuang besi itu dan membetulkan tulang leher Wafa. Ia merupakan pembedahan yang rumit.
“Ketika kali pertama bertemu Wafa, saya terkejut dan bersyukur kerana Wafa boleh bercakap dan mengakui keadaan dirinya jauh lebih baik dari sebelumnya.
“Bagi saya, apa yang dilalui Wafa sebagai keajaiban daripada Yang Maha Esa. Semangat juangnya harus menjadi contoh kepada orang lain. Selagi berdaya, berusahalah dan jangan cepat putus asa,” katanya ketika dihubungi petang Khamis lalu.
Kita pernah dengar ada keluarga yang bersedih dan terkilan apabila pembedahan dilakukan terhadap ahli keluarga rapat dan orang disayangi tidak berjaya hingga menyesali tindakan dilakukan.
Ketika disorong ke bilik pembedahan, insan disayangi masih mampu tersenyum dan bercakap tetapi apabila keluar dari bilik pembedahan, tidak sedarkan diri dan akhirnya meninggal dunia.
Tiada siapa yang dapat menjanjikan kejayaan akan usaha dilakukan doktor walau doktor pakar sekalipun kerana segalanya di tangan Sang Pencipta kita.
Betty kagum dengan Wafa kerana walaupun doktor memaklumkan pembedahan dilakukan tidak menjanjikan kejayaan, dia tetap mahu teruskan.
Baginya kalau tidak diteruskan dia memang menderita kesakitan dan kalau diteruskan, mungkin dia selamat dan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Jika ditakdirkan pembedahan dilakukan menjadi penamat hidupnya, dia reda. Apa yang penting baginya, berusaha dan terus berusaha.
“Kata Wafa, jika dia tidak menjalani pembedahan, dia bakal berdepan Ârisiko hilang nyawa. Sekiranya menjalani pembedahan, kesannya juga tetap sama.
“Jika selamat pun dari pembedahan, dia bakal berhadapan dengan lumpuh, hilang peti suara atau tempoh masa untuk sembuh memakan masa sangat lama. Namun dia memilih untuk meneruskan pembedahan itu,” kata Betty yang menganggap Wafa sahabat yang sangat baik dan cekal.