Namun atas semangat cintakan negara, beliau berjaya mengatasi cabaran serta menghapuskan anasir komunis yang menular di kawasan kampungnya. Plot kisah menarik menyuntik inspirasi kepada semua agar cintakan negara ini menjadi latar cerita telemovie khas dalam bulan kebangsaan ini bertajuk “Wali Jantan Semantan” menemui penonton pada 7 September ini, pukul 8.00 malam di TV Okey.
Telemovie arahan Sabri Yunus yang menampilkan barisan pelakon terkenal Aedy Ashraf, Nad Zainal, Fezrul Khan, Ika Nabella dan Saidi Sabri ini menonjolkan kisah watak utama Tengku Long memimpin perjuangan penduduk kampungnya untuk mencapai kemerdekaan dan bertekad untuk menghapuskan ancaman komunis di kawasan Semantan.
Beliau dibantu oleh seorang pemuda, Wan Hakim yang tetap setia menyokongnya walaupun Tengku Long berkahwin dengan Asmah, wanita yang bercinta dengan Wan Hakim.
Sementara itu, Wan Nawang mati ditembak komunis dan meninggalkan seorang balu iaitu Wan Shamsiah yang terus bersemangat untuk berjuang menentang komunis. Wan Hakim terkejut apabila melihat rakan silatnya, Mahadi belot dan menyokong pihak komunis dalam satu kejadian tembak menembak.
Ibu Wan Hakim mencadangkannya untuk berkahwin dengan Wan Shamsiah yang berstatus janda dan bersemangat sebagai pejuang kemerdekaan. Wan Shamsiah mula sukakan Wan Hakim selepas insiden mereka bertempur dengan komunis tempoh hari.
Wan Hakim juga berjaya menyelamatkan Tengku Long ketika komunis mengepung beliau di hutan dan Tengku Long teruja dengan keberanian Wan Hakim. Tiba-tiba Wan Hakim bersama Wan Shamsiah diculik oleh pihak komunis dan dibawa berjumpa dengan Mahadi.
Ketika itu Wan Hakim cuba berjuang untuk menewaskan Mahadi dalam satu pertarungan dan kemudiannya menewaskan komunis-komunis yang lain. Penduduk kampung mendapat maklumat bahawa mereka bakal mencapai kemerdekaan dan melaungkan ‘Merdeka’ di hadapan tiang bendera yang dipacak oleh Wan Hakim.
Bagaimanakah detik-detik yang terpaksa dilalui mereka sebelum sama-sama dapat melaungkan ‘Merdeka’? Ikuti kesudahannya di TV Okey.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.