Sungguhpun bunyinya agak klise, ibu negara Thailand, Bangkok kekal sebagai destinasi paling digemari oleh para pelancong asing. Walaubagaimanapun kota-kota lain di Thailand tidak kurang menariknya. Selain kawasan pantai seperti Krabi dan Phuket, Chiang Mai juga merupakan salah satu destinasi percutian yang popular di negara tersebut.
Dengan begitu banyak tempat-tempat menarik di Chiang Mai, tidak hairanlah jika kota ini mempunyai ratusan pilihan tempat penginapan. Sungguhpun begitu, di antara kesemua hotel di Chiang Mai hanya satu yang unggul sebagai hotel paling mewah dan unik untuk didiami. Malah, ia mungkin satu-satunya hotel yang menawarkan konsep sedemikian di seluruh negara Thailand.
Dibina dan direka khas berdasarkan sebuah kota purba Siam dari zaman kegemilangan kerajaan Lanna (dari pertengahan abad ke-13 sehingga ke-16), Dhara Dhevi benar-benar merupakan sebuah hotel yang lain dari yang lain. Tersergam indah bertebaran di atas tanah lapang seluas 60 ekar di kawasan sawah padi yang subur, hotel ini terletak hanya 11 km atau 15 minit sahaja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai dan 5 km atau 10 minit sahaja dari pusat bandar.
Ketibaan di perkarangan pintu masuk hotel sahaja sudah merupakan satu pengalaman yang tak mungkin dilupakan dengan terbukanya ‘pintu gerbang utama kota purba’ yang mendedahkan satu pemandangan yang menakjubkan. Bak melangkah masuk ke sebuah kota dongeng tradisional Siam, para tamu disambut di sebuah lobi hotel yang mirip sebuah istana masa lampau.
Hotel ini dikatakan mempunyai antara ruang penginapan paling luas dan eksklusif di dunia dengan 123 villa mewah, suite kolonial dan kediaman khas yang telah direka berdasarkan gaya senibina tradisional Lanna. Villa-villa ini merupakan ‘rumah beras asli’ dari Utara Thailand yang diperbuat dari kayu jati. Setiap satu adalah unik dan telah diubahsuai untuk memberikan penginapan yang berunsur tradisional namun digabung dengan sentuhan moden.
Ia dibangunkan dengan ruangan luas dan diserikan lagi dengan kemudahan terhebat yang mewah seperti artifak berkualiti muzium, aneka sutera Thai, kain-kain buatan orang asli pergunungan, beranda luas serta kolam renang peribadi. Selain itu, setiap suit kolonial Dhara Dhevi juga mempunyai tab mandi yang lengkap dengan jacuzzi!
Di samping villa-villa serta suite mewah di sini, Dhara Dhevi juga mempunyai Dheva Spa dan Pusat Kesihatan seluas 3,100 meter persegi, sebuah ampiteater untuk acara kebudayaan, dua buah kolam renang besar, tujuh buah bar dan restoran, sebuah sekolah memasak, kelab kesihatan, perpustakaan bertaraf dunia, sebuah dewan besar dan kawasan mesyuarat khas, serta sebuah perkampungan beli-belah dengan rumah kedai seperti konsep abad ke-19 yang menjual barangan kraftangan berkualiti tinggi, jauhari dan barang kemas, barangan antik serta kain dan tidak lupa juga sebuah kedai roti yang menyediakan sanwic, kek dan aneka roti.
Malah, salah satu restoran mereka yang bernama Grand Lanna merupakan restoran terkemuka di Chiang Mai sehinggakan Putera Charles dan Mendiang Puteri Diana sendiri pernah makan malam di situ sewaktu lawatan rasmi mereka dari UK ke Chiang Mai.
Berlatarbelakangkan sawah padi nan hijau dan suasana desa yang menenangkan serta sebuah kereta kuda untuk mengelilingi kawasan hotel, tidak syak lagi bahawa Dhara Dhevi memang sebuah destinasi percutian yang sesuai untuk mereka yang ingin menenangkan fikiran serta jiwa sambil menikmati kemewahan dunia.
Untuk maklumat lanjut layari http://www.dharadhevi.com
Semalam Bak Kisah Dongeng di Dhara Dhevi Chiang Mai
oleh Shah Shamshiri