Masdo baru sahaja menyelesaikan siri jelajah ‘Perih Jerih Indonesia Promo Tour’ yang merangkumi beberapa provinsi di Indonesia seperti Bandung, Jakarta, Yogyakarta dan Bali. Kini, mereka bersiap sedia untuk berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia dari 3 hingga 5 Julai bagi menjayakan Playtime Festival. Selepas itu, Masdo akan terus terbang ke Busan, Korea Selatan untuk membuat persembahan di Round Festival (ASEAN Korea Music Festival) dari 6 hingga 10 Julai.
Masdo, yang terdiri daripada Ali Sariah (vokalis), Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris), menyatakan rasa syukur dan keterujaan mereka terhadap perjalanan promosi ini. Menurut Ali Sariah, “Kami sangat teruja dengan ‘Masdo Perih Jerih Indonesia Promo Tour’ kali ini.
Selain promosi di radio, kami juga dapat membuat persembahan secara intim dengan peminat di Indonesia. Kami merasa sangat bertuah kerana berpeluang mengunjungi kota-kota besar seperti Bandung, Jakarta, Jogja, dan Bali.”
Antara momen yang paling berkesan buat mereka adalah ketika membuat persembahan di kafe JRNY Coffee & Records di Jogja. Walaupun ini kali pertama mereka ke sana, sambutan dan tenaga positif daripada peminat yang hadir amat memberi kesan mendalam, terutamanya apabila ada yang sanggup datang dari jauh, sejauh 7 jam perjalanan dari Kota Jogja.
Setelah selesai siri jelajah promosi di Indonesia, Masdo perlu mempersiapkan diri untuk persembahan di Ulaanbaatar, Mongolia dan Busan, Korea Selatan. Putu Ceri berkongsi, “Kami sangat bersyukur kerana single ‘Perih Jerih’ mendapat sambutan baik walaupun kedengaran berbeza daripada single-single lain yang pernah kami hasilkan. Pendengar menyukai kematangan dalam setiap karya Masdo.”
Walaupun penat, semangat mereka tetap berkobar-kobar untuk persiapan di Mongolia dan Korea Selatan. Mereka berusaha untuk memberi impak yang besar dalam persembahan dan mencari kelainan dengan membuat rujukan daripada persembahan artis-artis terkenal antarabangsa. Di Playtime Festival, walaupun penonton berlainan bahasa, mereka tetap menikmati persembahan dan turut serta melaungkan ‘ehhh, ahhh’ bersama-sama.
Peluang untuk membuat persembahan di Round Festival di Korea Selatan pula dianggap sebagai penghormatan besar kerana dapat berdiri sebaris dengan nama-nama besar di arena antarabangsa. Jemputan eksklusif dari Korean Broadcasting System (KBS) ini menandakan kehadiran Masdo sebagai wakil Malaysia di antara 11 negara ASEAN yang dijemput.
Penyertaan Masdo di kedua-dua festival ini turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Komunikasi, Yang Berhormat Puan Teo Nie Ching. Beliau berkata, “Masdo telah berjaya membawa nama Malaysia ke ‘platform’ antarabangsa di Korea Selatan, dan gaya unik mereka memberi tumpuan terhadap tenaga kerja artistik negara kita. Teruslah membuat negara bangga, syabas!”
Sekembalinya ke tanah air, Masdo telah merancang beberapa projek untuk tahun 2025, termasuk sebuah album penuh sempena ulang tahun ke-10 penubuhan mereka. Album ini akan disusuli dengan siri jelajah di serata Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Asmawi menyatakan harapannya,
Melalui usaha dan dedikasi mereka, Masdo tidak hanya membawa muzik mereka ke peringkat antarabangsa tetapi juga menyebarkan nama Malaysia dengan bangga. Kejayaan mereka adalah bukti bahawa dengan kerja keras dan komitmen, muzik tempatan mampu bersaing di pentas global.