Dari karya solo mahu pun duet, Khai Bahar dan Adira Suhaimi membuktikan kemampuan tersendiri hingga masing-masing dilihat terus ampuh di kedudukan sedia ada. Malah, mereka juga menjadi antara penyanyi yang terus meniti populariti.
Untuk rekod, Khai, 29, atau nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin sudah pernah berduet dengan beberapa penyanyi wanita terkenal antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Nordiana, Aina Abdul dan Fatin Husna.
Sementara Adira, 32, atau nama sebenar Siti Adira Suhaimi begitu sinonim dengan rakan duetnya, penyanyi hebat, Hafiz Suip.
Terbaharu, gandingan Khai Bahar dan Adira Suhaimi menerusi lagu “Pejam” dilihat bakal mengulangi kejayaan yang pernah dicipta mereka dengan pasangan duet masing-masing sebelum ini.
Lagu “Pejam” adalah karya hasil ciptaan sepenuhnya oleh Audi Mok dan Shazee, yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Nova Music dan dilancarkan secara rasmi pada 22 September ini.
Menurut Khai yang juga pemenang kategori ‘Penyanyi Lelaki Popular’ pada Anugerah Bintang Popular BH ke-35 yang lalu berkata, lagu itu sudah disiapkan sejak dua tahun lalu.
“Sebenarnya, lagu ini sudah siap lama, tapi disebabkan beberapa perkara yang perlu diselesaikan dulu jadi pelancarannya tertangguh. Alhamdulillah, selepas dua tahun, lagu ini dapat diperdengarkan kepada umum.
“Namun, bagi peminat yang pernah menghadiri persembahan Konsert Nafas Cinta Khai Bahar pada Februari 2022 di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac), Pusat Membeli Belah One Utama, Bandar Utama, saya ada menyanyikan lagu Pejam ini bersama Adira.
“Selepas itu, memang ramai yang bertanya dan menunggu bila lagu ini akan dilancarkan. Namun, kami percaya pada perancangan syarikat rakaman. Jadi, baik saya mahu pun Adira, kami keluar dengan lagu solo masing-masing dahulu,” katanya.
Menurut Khai, idea berkolaborasi dengan Adira dicetuskan oleh syarikat rakaman Nova Music.
“Sewaktu konsert itu, Nova Music bertindak sebagai penganjur. Jadi, saya ada buat permintaan pada malam itu nak berduet dengan Aina dan Adira. Dari situ, pihak Nova terus mencadangkan agar saya rakam satu lagu duet baharu bersama Adira.
“Saya sambut baik idea itu dan mereka terus mencari lagu yang sesuai. Jadi, terhasillah lagu Pejam yang betul-betul kena dengan jiwa dan muzik yang kami bawakan. Sejujurnya, saya sangat gembira dan teruja kerana dapat berduet dengan seorang lagi penyanyi wanita hebat dan berbakat,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan Adira, Khai menyifatkan bekas bintang Akademi Fantasia musim kelapan itu sebagai penyanyi yang cukup profesional.
“Biarpun ini kerjasama pertama kami dalam lagu, segalanya dipermudahkan dan berjalan lancar. Adira seorang penyanyi yang sangat profesional dan banyak membantu. Dia tidak lokek ilmu malah kami saling bertukar pandangan dalam memberikan yang terbaik untuk lagu Pejam ini.
“Disebabkan itu, kalau nak tahu lagu Pejam yang dilancarkan ini adalah dari rakaman percubaan atau demo saja sebelum proses rakaman sebenar. Tapi, penerbit dan komposer cakap ia sudah cukup sempurna dan bagus. Mereka risau jika rakaman yang seterusnya tidak akan mendapat hasil yang diinginkan,” katanya.
Sementara itu, Adira meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang berduet dengan Khai sekali gus memenuhi impiannya.
“Saya kenal Khai dengan lagu-lagunya yang tular. Malah, dia juga antara penyanyi yang cukup popular selain memiliki kualiti vokal yang bagus. Diakui, merakamkan lagu duet bukan mudah. Sesama penyanyi perlu ada kesefahaman dan keserasian. Bukan saja dari segi suara, tapi juga penyampaian lagu. Alhamdulillah, dengan Khai kami dapat semuanya.
“Mungkin juga disebabkan pengalaman yang kami ada sebelum ini menerusi lagu duet lain menjadikan proses rakaman lagu Pejam lebih mudah. Pendek kata, hasil akhir lagu ini membuatkan kami dan semua pihak yang terbabit puas,” katanya.
Dalam masa sama, Adira berharap lagu “Pejam” mendapat tempat di hati peminat sekali gus meraih kejayaan tersendiri.
“Sudah tentu sebagai penyanyi, saya berharap setiap karya yang dihasilkan berjaya. Begitu juga dengan lagu duet ini. Saya mahu peminat puas dan gembira mendengarkan lagu ini. Saya yakin lagu Pejam ini adalah karya yang cukup indah untuk didengar dan dihayati. Paling penting, saya tidak sabar mendengar maklumbalas daripada semua peminat,” katanya.
Lagu “Pejam” sudah tersedia untuk didengar dan distrim di semua platform muzik digital pada 22hb. September ‘23. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada hari yang sama jam 2.00 petang di pautan ini https://youtu.be/4bQQ0VE5zuM?si=mpUl34t5VlvOpK71