Dua hari lalu, pelakon Sarah Hildebrand mengejutkan peminat industri hiburan tempatan apabila dia mengambil keputusan untuk menanggalkan hijab setelah lima tahun mengenakan tudung. Keputusan yang dibuat Sarah atau nama sebenarnya, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, 30, itu turut disokong oleh suaminya, Otto Gillen.
Namun, pada hari ini, Sarah ada berkongsikan di Instagram Story-nya mengenai kritikan yang diterima susulan perubahan imej terbaharunya itu.
Seorang netizen dilihat mengungkit kembali apa yang pernah diperkatakan Sarah terhadap pelakon dan usahawan Neelofa yang sebelum ini pernah hangat dikecam kerana melancarkan koleksi tudung jenamanya, Naelofar di sebuah kelab hiburan popular di ibu kota, dua tahun lalu.
Enggan berdiam diri, Sarah kemudian tampil menjelaskan, “Kepada semua yang mengikuti Instagram saya, sama ada yang ikhlas mengikuti atau pun tidak, jadikan komen yang saya kongsikan ini sebagai pengajaran untuk tidak katakan kepada seseorang.
“Tolong jangan jadi macam individu ini. Ia bukan satu contoh yang baik dan saya tidak mahu anda semua berperangai seperti ini.
“Saya malu jika ada daripada kalangan peminat saya yang berperangai sebegini.
“Ingat, seorang orang boleh berubah dalam sekelip mata. Yang paling penting ialah untuk memiliki hati yang tulis dan suci,”
– Sarah Hildebrand
Beberapa hari lalu, Neelofa telah mengumumkan penghijrahannya dengan memakai purdah (niqab) dan meminta semua pihak mendoakan agar dirinya terus istiqamah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslimah.
Sekadar info, Sarah dan Neelofa sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan jejaka yang sama iaitu Nabil Mahir yang kini bergelar tunangan kepada penyanyi dan pelakon Ayda Jebat.