Deretan anugerah yang dimenangi ATM sepanjang pembabitan dalam bidang muzik tempatan membuktikan mereka berada di kelas tersendiri. Lupakan seketika kisah pengunduran beberapa anggota ATM beberapa bulan lalu, kini kumpulan yang diketuai Akim Ahmad selaku vokalis tampil dengan lima anggota sekali gus dianggap wajah baru ATM.
Empat anggota lain terdiri daripada Freddy (gitar), Fairuz (bass), Faiz (gitar) dan Safwan (drum).
Menurut Akim, dia mengharapkan anggota yang masih tinggal ini akan terus berjuang bersama ATM sekali gus mencipta magis baru menerusi projek yang dirancang tahun hadapan.
“Saya bersyukur dengan ‘line up’ ATM sekarang. Kami mengharapkan satu perubahan dan revolusi dalam muzik kami.
“Dalam masa sama, saya juga mengharapkan sesuatu benda baru yang akan dibuat dan dirancang tahun hadapan.
“Apa yang penting, kami sedang merangka projek iaitu single terbaru. Harapnya peminat boleh tunggu buah tangan terbaru kami ini,”
– Akim & The Majistret
Akim berkata, selain single baru, ATM juga dalam perancangan menyiapkan album studio kedua.
“Selain single, kami juga dalam perancangan menyiapkan album ATM. Tajuk album masih dalam perbincangan begitu juga lagu yang akan dimuatkan.
“Apa boleh dikatakan, album ini sangat istimewa dengan beberapa sentuhan baru daripada kami tapi masih memgekalkan ciri ATM,”
– Akim & The Majistret
Perkembangan lain, ATM baru muncul dengan single Yang Satu yang turut menjadi lagu tema drama Demi Rindumu.
Selain itu, ATM juga sekali lagi tersenarai ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 34 menerusi lagu Rampas yang bertanding pada minggu kedua, 22 November ini.