Selepas berita tentang CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Tune Studios, Jeremy Little meninggal dunia di Mekah tersebar di laman sosial, ramai selebriti telah menzahirkan salam takziah buat keluarga Allahyarham. Jeremy Little dikatakan meninggal dunia kerana penyakit kanser yang dialaminya sejak setahun lalu. Allahyarham menjadi insan terpilih meninggal ketika menjalani ibadah umrah pada hari Rabu lalu.
Berita kematian penggiat filem bebas itu turut diumumkan oleh Mufti Ismail Menk dari Mekah menerusi Twitternya pada malam Rabu yang antara lain meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan Allahyarham. Malah beberapa penggiat seni tempatan juga turut meluahkan rasa sedih mereka dengan kematian Jeremy, 31, yang juga penerbit filem Kil itu.
Penyanyi Mizz Nina dalam Instagram miliknya menulis agar keluarga Allahyarham reda dengan pemergian itu.
“Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Semoga keluarga Allahyarham sentiasa kuat dan sabar. Ia sesuatu yang dirahmati kerana Allahyarham meninggal dunia di Mekah,” – Mizz Nina.
Pelakon Fazura dalam Instagram miliknya pada Rabu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham selain melahirkan rasa syukur kerana penggiat seni itu meninggal dunia di tempat yang menjadi idamaan kebanyakan umat Islam.
“Alhamdulilah… Jeremy adalah seorang hamba yang terpilih untuk meninggal dunia di bumi Mekah. Al-Fatihah dan salam takziah kepada keluarganya,” – Fazura.
Sementara itu Yuna pula meminta peminat-peminatnya menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.
“Sahabat saya telah meninggal dunia di Mekah. Sila hadiahkan Al-Fatihah.” – Yuna
Penggiat seni, Jennifer Thompsom turut terkejut dengan berita kematian itu dan seperti orang lain yang turut meminta Al-Fatihah dihadiahkan.
Enam hari lalu Jeremy telah memuat naik gambar pemandangan di perkarangan Masjid Nabawi di Madinah menerusi Instagram miliknya.
Menerusi gambar itu dia menulis: “Teknologi yang cantik dan tempat yang luar biasa. Subhanallah.”
Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Jeremy antara individu yang disegani kerana pengaruhnya dalam memartabatkan muzik dan filem bebas.
Dia juga pernah menaungi beberapa kumpulan muzik antaranya SevenCollar T-Shirt, Estrella, Guba dan Lab The Rat.
Pada tahun lalu, filem Kil berjaya mendapat empat anugerah dalam Anugerah Skrin terbitan TV3, satu pencapaian yang membanggakan bagi mereka yang menghasilkan karya bebas.