Walaupun kerajaan sudah melaksanakan Perintah Kawalan Berkurung (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini, namun terdapat segelintir rakyat Malaysia yang masih lagi berdegil dengan arahan tersebut.
Terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ‘public figure’, beberapa selebriti menjayakan kempen dengan menyeru rakyat Malaysia kekal terus berada di rumah bagi membendung penularan Covid-19.
Kempen yang dimulakan oleh penyanyi Nourul Depp ini mendapat kerjasama daripada beberapa rakan artis seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella Aminuddin, Elyana, Dynas Mokhtar, Daphne Iking, Adibah Noor, Zahida Rafik, Ning Baizura, Yuna dan kumpulan Floor 88.
Bergabung menyanyikan lagu Ratu Rock Negara, Ella berjudul Gemilang, kempen ini turut disertai wakil petugas kesihatan serta pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam yang turut meminta semua pihak mematuhi dan memberikan kerjasama dengan hanya duduk di rumah sahaja sepanjang tempoh PKP.
‘Bersama-sama tempuhi segala, saat gemilang akan tiba kan kita kecapi bersama’ – itu bait-bait lirik Gemilang yang dapat menggambarkan situasi yang dihadapi kita semua pada masa kini.
Patuhi arahan dengan duduk di rumah agar kita semua dapat menghapuskan rantaian Covid-19 sekali gus dapat menjalani kehidupan harian seperti biasa sama seperti sebelum ini.