Semalam, Budiey dijemput untuk menyaksikan Konsert Malam Irama Gemilang sempena ulangtahun kelahiran RTM kali ke 68. Bertemakan konsep “Rai dan Hargai”, konsert telah berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada 27 April 2014 (Ahad), pukul 9.00 malam.
Menampilkan gandingan pengacara ikon kelahiran RTM, Muaz Mohammed bersama selebriti popular Diana Danielle, persembahan siaran langsung ini berlangsung selama 2 jam disiarkan di TV1.
Persembahan pada malam tersebut menyaksikan barisan artis terkemuka tanah air berkongsi pentas menyayikan lagu popular masing-masing seperti Datuk M. Nasir, Datuk David Arumugam, Ning Baizura, Alyah, Noh Salleh, Tomok, Azlan Typewriter, Kumpulan Bunkface, Kumpulan One Nation Emcee dan Kumpulan Paladin.
Bukan itu saja, penampilan khas dari artis Zureda dan Ash – T dan Big I bakal menggamit memori dengan sentuhan baru dari lagu Kau Pelitaku. Malam Irama Gemilang akan diteruskan lagi dengan persembahan bertenaga dari kumpulan tarian Wakaka Crew dan kumpulan Drumline Kldc.
Sebagai tanda simpati terhadap kehilangan pesawat MH370 sebuah lagu penghargaan yang dicipta oleh Datuk Mokhzani akan disampaikan oleh Tomok berjudul Doa dan Harapan MH370. Sempena dengan Piala Dunia 2014 pula turut disertakan sebuah lagu yang berjudul Rio To Malaysia yang akan disampaikan oleh Farhan.