Setelah berhibur dan bergelak ketawa dengan episod pengenalannya minggu lalu bersama artis undangan popular Emelda Rosmila, Sharifah Aleya, Nadiya Nissa, Yasmin Hani dan Nana Mahazan juga Zain Saidin, hujung minggu ini program yang mula mendapat tempat di hati peminat, “Aktif 5 Bintang” kembali dengan tema yang tidak kurang menariknya.
Mengetengahkan tema ‘Hos Kebabom’, usah ketinggalan menyaksikan program terbitan Unit Hiburan TV RTM yang disiarkan pada 22 Ogos ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV2.
Tema Hos Popular Hangatkan “Aktif 5 Bintang” Hujung Minggu Ini di TV2
Minggu ini menampilkan hos terkenal beraksi, di samping menyumbang kepada rumah kebajikan terpilih seperti Muazanazzudin Mohamed, Alif Hadi, Jimmy Shanley, Lin Suria Cinta dan Sharifah Shahira.
Saksikan aksi mencuit hati bila hos program ini Azad Jazmin bertemu dengan hos-hos undangan berkongsi pentas yang sama menjayakan program realiti candawara berbentuk amal yang berteraskan nyanyian, tarian dan persembahan kreatif yang padat dengan humor terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Aktif 5 Bintang diilhamkan daripada program Aktif 5 Musim Pertama, kedua dan ketiga yang lalu tetapi diolah semula agar menjadi sebuah rancangan yang lebih menarik dan menghiburkan para penonton.
Bagi setiap episod, disertai lima selebriti dan persembahan selebriti menerusi program itu akan diiringi oleh sekumpulan lima pemuzik serta diadili tiga pengkritik pada setiap minggu.
Beberapa tema yang bakal menyusul minggu-minggu seterusnya seperti Abang Sado, Comel, Hot & Spicy, Media, Tukang Masak, Wonder Women dan Mat Jambu. Pemilihan peserta di kalangan selebriti adalah berasaskan tema-tema tersebut.
Rancangan ini terbahagi kepada lima pusingan iaitu Irama & Lagu, Rentak Berentap, Ajuk Sakan, Muzik Kreatif dan Seminit Pun Cukup Apa!
Hadiah pada setiap minggu bernilai RM10,000 dan akan disumbangkan kepada badan-badan kebajikan yang hadir sebagai penonton dan penyokong para selebriti yang berentap.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.