in

Selebriti Popular di Konvensyen Barang Mainan, Permainan Video & Komik Singapura

Ikon Budaya Pop Bakal Muncul di Konvensyen Barang Mainan, Permainan Video dan Komik Singapura. Peminat anime dan cosplay (pemakaian kostum watak permainan video) berpeluang untuk menyaksikan bintang terkenal di majlis tahunan Konvensyen Barang Mainan, Permainan Video dan Komik Singapura (STGCC) kali ini, di mana penganjur akan mengumumkan penampilan kumpulan pertama seramai enam orang personaliti terkemuka budaya pop dari Timur dan Barat.

Kini dalam perjalanan dari Timur menuju ke STGCC adalah tiga orang DJ terkemuka dari Jepun yang meraih sanjungan tinggi dalam pelbagai alam muzik Jepun yang berbeza – Anisong, Touhou dan Vocaloid.

Inu, D.watt dan sasakure.UK akan menguasai pentas pada malam pertama konvensyen selama dua hari ini melalui persembahan muzik yang menakjubkan. Acara Malam DJ STGCC ini akan membawa para peminat ke Negara Jepun dengan memainkan hit terkini dari dunia anime dan permainan video.

Dari Barat pula adalah tiga orang artis berbakat besar – Humberto Ramos, yang sering dikaitkan dengan Spiderman, Alex Solis, pengasas “The Famous Chunkies” yang menampilkan watak adiwira bersaiz besar, dan pencipta jenama popular tokidoki, Simone Legno.

2_The Iron Man 3 Showcase at the 2013 Singapore Toy, Game & Comic Convention

STGCC 2014 yang menggabungkan budaya pop terbaik dari Timur dan Barat akan diadakan pada 6hb dan 7hb September di Pusat Expo dan Konvensyen Sands di Marina Bay Sands.

“Acara ini semakin matang semenjak enam tahun yang lepas, dan kami telah berjaya mengumpul jumlah pengikut setia yang besar dari Singapura dan rantau ini dengan membawakan pelbagai persembahan hebat dari Timur dan Barat untuk tontonan peminat di rantau ini,” ujar Cik Rita Magnus, Pengurus Kanan, Kluster Pop Budaya, STGCC.

Cik Magnus yang mengendalikan pengisian persembahan dari Barat acara ini selama tiga tahun yang lepas, kini mengambil alih pimpinan acara persembahan budaya pop yang terulung di Rantau Asia Tenggara buat kali pertama, bakal membawa aspirasi baharu. “Dengan senarai hebat personaliti budaya pop dan persembahan yang mengujakan semua peminat, kami berhasrat untuk menggabungkan persembahan terhebat yang mampu memenuhi selera serta menarik minat orang ramai secara besar-besaran dan merintis jalan untuk mempertingkatkan acara ini ke tahap yang lebih tinggi,” kata Cik Magnus.

Pada tahun 2013, STGCC – persembahan budaya pop yang terulung di Rantau Asia Tenggara – telah memecahkan rekod kehadiran pengunjung dengan mencatatkan sejumlah 40,000 pengunjung tempatan dan dari rantau ini.

1_Cosplayers at the 2013 Singapore Toys, Game & Comic Convention

Profil DJ Malam STGCC

Inu
Semenjak ditakdirkan bertemu dengan anime popular Sailor Moon, Inu telah terpaut kepada genre Anisong dan telah mendedikasikan diri beliau untuk mencipta lagu tema anime. Hasil karya beliau yang terbaru merangkumi penyusunan semula lagu-lagu tema anime dari Koleksi Sengoku.

D.watt
D.watt telah menghasilkan lebih dari 250 cakera padat bersama IOSYS, gabungan pemuzik Jepun yang menjadi terkenal menerusi hasil terbitan sendiri Doujin, yang siri Projek Touhou (siri permainan video doujin Jepun yang popular) dan genre muzik Denpa. Kumpulan ini merupakan penyumbang utama pelbagai jenis lagu bagi permainan arked popular seperti Beatmania IIDX oleh Konami dan Maimai oleh Sega.

sasakure.UK
“Do Vocaloids Dream of Doomsday Bird?” merupakan lagu penampilan utama sasakure.UK pada tahun 2010 yang memacu nama beliau untuk mencapai kegemilangan dalam dunia Vocaloid. Penampilan muzik beliau memiliki sentuhan citarasa pop dalam suasana yang hening, diselangi dengan bunyi-bunyian blip-bloppy serta rentak dan irama muzik yang sentiasa berubah. Sebahagian dari lagu beliau yang terkenal juga sering digunakan dalam permainan video Hatsune Miku: Project Diva!

Artis-Artis Popular dari Barat
Hasil kerja dari personaliti yang merupakan peneraju budaya pop Barat ini boleh dilihat di pelbagai platform popular setiap hari seperti TV, jam dan bag tangan. Bertemulah dengan artis-artis hebat ini di STGCC dan dapatkan autograf mereka di atas cenderamata kegemaran anda!

Humberto Ramos – Spiderman
Pertalian antara Humberto Ramos dengan watak adiwira labah-labah ini bermula semenjak 2003 lagi apabila beliau mula melakar Peter Parker dan Spectacular Spiderman untuk Marvel Comics. Dengan rekaan karya seni manga beliau yang unik dan tersendiri, Ramos telah berjaya mencipta nama dalam arena ini dan kini sedang mengusahakan siri baru Amazing Spider-Man yang baru sahaja dilancarkan semula, dengan melukis sebahagian dari karakter-karakter terhebat seperti Electro, Black Cat dan Silk.

Alex Solis –
Artis kreatif Alex Solis (atau lebih dikenali sebagai alexmdc dalam dunia T-Shirt) merupakan salah seorang artis yang paling berjaya buat platform online Threadless, di mana rekaan yang mendapat undian tertinggi akan dicetak di atas T-shirt dan pakaian lain. Dalam usaha untuk menangani kaitan antara makanan segera dengan obesiti, beliau menghasilkan satu siri watak yang menampilkan lakaran lucu adiwira sekiranya mereka mengamalkan pengambilan makanan segera sebagai pemakanan mereka setiap hari. Saksikan Batman dan Superman bersaiz besar di STGCC!

Simone Legno – tokidoki
Jenama popular tokidoki merupakan tetamu tetap di STGCC. Para peminat sanggup berbaris panjang untuk mendapat peluang bertemu dengan Simone Legno, pencipta berkarisma disebalik fenomena budaya pop yang amat terkenal ini. Warga Itali yang mencintai budaya Jepun ini telah menghasilkan pelbagai rekaan berprofil tinggi untuk jenama besar dan terkemuka seperti Volkswagen dan Microsoft.

Tiket STGCC dijual sekarang! Tiket berharga S$19 untuk pas satu hari dan S$25 bagi pas dua hari, boleh didapati di rangkaian kedai yang terpilih dan di lokasi acara. Kunjungi www.singaporetgcc.com/tickets-queues untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembelian tiket.

Kunjungi www.singaporetgcc.com untuk mendapatkan berita terkini mengenai STGCC!

Sila beri penghargaan untuk semua imej kepada Konvensyen Barang Mainan, Permainan Video dan Komik Singapura 2014 (Singapore Toy, Game & Comic Convention 2014).

MENGENAI REED EXHIBITIONS

Reed Exhibitions merupakan syarikat penganjuran acara yang terkemuka di dunia dengan portfolio yang semakin meningkat, yang telah mengendalikan lebih 500 acara di 40 buah negara, serta memiliki seramai 3,500 warga kerja yang merupakan pakar penganjuran pameran. Acara yang kami kendalikan meliputi 43 sektor industri, dan pada 2013 kami telah menggabungkan seramai 6 juta peserta pameran bagi menjana jualan, hubung rangkaian dan pembelajaran.

Kami memiliki lebih 50 tahun pengalaman dalam aktiviti pembangunan, pasaran, jualan dan penganjuran pameran dan acara. Kami mengapai kecemerlangan dalam penghasilan acara yang memacu jenama berprofil tinggi di mana orang ramai dari seluruh dunia dapat bertemu untuk menjalankan perniagaan, menjalin hubung rangkaian dan belajar. Visi kami adalah untuk menyampaikan rangkaian kenalan, maklumat dan hubungan masyarakat yang akan berupaya untuk mengubah perniagaan anda.

Kami merupakan syarikat pengajur pameran yang terulung di dunia, dengan lebih 34 rangkaian pejabat di seluruh dunia, dan menampilkan portfolio penganjuran acara yang semakin berkembang dan merupakan rakan pembangunan ekonomi bagi Negara Brazil, Rusia, India, China dan Timur Tengah. Perspektif global yang kami miliki membolehkan kami berkongsi pengetahuan tempatan menggunakan kepakaran serta sumber antarabangsa bagi manfaat pelanggan kami di seluruh dunia.

MENGENAI KONVENSYEN KOMIK, BARANG MAINAN & PERMAINAN VIDEO SINGAPURA
Konvensyen Barang Mainan, Permainan Video & Komik Singapura menggabungkan budaya pop yang terbaik dari Timur dan Barat hingga ke Asia, serta menyatukan dunia komik, anime, barang mainan, barangan koleksi dan permainan video. Ia merupakan acara yang amat terkenal dan unggul di pasaran Asia serta melengkapkan acara lain dalam portfolio budaya pop Reed, merangkumi New York Comic Con (NYCC), the Chicago Comic and Entertainment Expo (C2E2), Star Wars Celebration, PAX, NYC – Special Edition and OZ Comic Con.

STGCC akan menjangkau kepada peminat-peminat baharu di Asia dan membuka potensi pasaran yang luas dengan pelbagai peluang menarik bagi syarikat untuk menembusi pasaran Rantau Asia dan/atau memperkukuh dan memperkembangkan kehadiran mereka di pasaran ini. Para peminat akan dapat menyaksikan sendiri pelbagai pameran hebat yang terbaik dari dunia budaya pop dan mendapatkan pelbagai produk terkini, serta mengalami keseronokkan bertemu personaliti dan karakter dari dunia adiwira, penjahat dan alam fantasi.

Visi STGCC adalah untuk menyampaikan persembahan terbaik dan menyebarkan gaya hidup cool di Asia dan mensasarkan untuk menjadi peneraju utama bagi industri budaya pop.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Penuh Pencalonan Golden Awards 2014

Countdown Empat Hari Lagi Mega Bazaar 2014