Negeri Selangor menyambut Hari Pelancongan Sedunia 2024 dengan penuh semangat melalui tema “Pelancongan dan Keamanan.” Sambutan kali ini memberi fokus kepada dua tonggak utama iaitu kemampanan dalam pelancongan dan pemerkasaan komuniti. Kedua-dua bidang ini penting bukan sahaja untuk usaha negeri, tetapi juga menggambarkan komitmen Selangor terhadap kesejahteraan ekonomi, sosial, dan alam sekitar jangka panjang.
Yang Berhormat Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, menegaskan bahawa kelestarian kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan. Pendekatan Negeri Selangor dalam memperkasakan komuniti tempatan dan menekankan pelancongan mampan memastikan daya tahan industri pelancongan dalam jangka panjang serta mengekalkan warisan unik dan keindahan alam semula jadi negeri ini.
Komitmen Selangor Terhadap Kelestarian Pelancongan
Dalam usaha mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia, Selangor menekankan pentingnya pelancongan yang mampan dengan menggabungkan kemajuan ekonomi dan penjagaan alam sekitar. Dengan warisan budaya yang pelbagai, sumber semula jadi yang melimpah, serta komuniti yang berkembang di sembilan daerah, Selangor menawarkan pelbagai pengalaman menarik kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Negeri Selangor berdiri teguh di barisan hadapan dalam pembangunan pelancongan mampan, didorong oleh Tonggak Ketiga Rancangan Pertama Selangor (RS-1). Salah satu inisiatif utama ialah Projek Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp), yang menjadi inisiatif ekopelancongan utama negeri ini. Terkenal dengan kepentingan geologinya dalam landskap bandar, GHLGp memelihara geologi dan biodiversiti, sambil melindungi warisan semula jadi Negeri Selangor. Geopark ini juga berfungsi sebagai wadah penglibatan masyarakat, di mana penduduk tempatan diperkasa menjadi pemandu pelancong, sekaligus memupuk rasa bangga dan tanggungjawab terhadap warisan alam sekitar.
Sebagai Geopark Kebangsaan pertama di Negeri Selangor, GHLGp meliputi 20 geotapak di Gombak dan Hulu Langat dan disasarkan untuk memperoleh pengiktirafan Geopark Global UNESCO menjelang 2028. Ini adalah satu langkah penting dalam usaha memperkenalkan Selangor ke persada antarabangsa sebagai destinasi yang mengutamakan kelestarian alam dan komuniti.
Pelancongan Berasaskan Komuniti Sebagai Nadi Kejayaan
Selain fokus terhadap pemuliharaan alam sekitar, Selangor juga komited untuk memperkukuhkan pelancongan berasaskan komuniti. Sejak tahun 2018, Selangor telah melantik 51 Hos Komuniti Selangor yang bertujuan memperkaya pengalaman pelancongan di kawasan tempatan. Hos komuniti ini menawarkan pelancong pengalaman asli dengan memperkenalkan budaya, adat resam, makanan tradisional, dan tarikan tempatan melalui perspektif mereka sendiri.
Dalam usaha memperluas inisiatif ini, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dengan kerjasama Tourism Selangor akan memperkasakan lebih ramai individu melalui latihan profesional dan pensijilan Red Batch. Ini bertujuan memastikan kualiti dan profesionalisme Hos Komuniti Selangor terus terjaga, sekali gus meningkatkan daya tarikan pengalaman pelancongan yang ditawarkan kepada pengunjung.
Agropelancongan dan Usaha Pelestarian Bersama
Selangor turut memperkukuhkan kerjasama dengan industri pertanian melalui agropelancongan, segmen pelancongan yang semakin popular dan memberi impak besar terhadap ekonomi dan alam sekitar. Agropelancongan mempromosikan amalan pertanian yang mampan dan memperkenalkan pelancongan berasaskan pengalaman, di mana pelancong dapat berinteraksi dengan komuniti setempat dan mempelajari proses pengeluaran makanan.
Segmen agropelancongan ini seiring dengan dorongan Selangor ke arah amalan hijau dan pertanian pintar yang semakin mendapat sambutan di kalangan pelancong. Melalui kolaborasi ini, pelancongan Selangor menawarkan pelbagai pengalaman seperti ekopelancongan, gastronomi, pelancongan perubatan, dan MICE (Meetings, Incentives, Conferences, and Exhibitions), menjadikan Selangor sebagai destinasi pilihan yang memenuhi keperluan pelbagai jenis pelancong.
Tahun Melawat Selangor 2025: Membuka Horizon Baru
Menyambut Tahun Melawat Selangor 2025, Tourism Selangor terus giat memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri pelancongan mampan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Melalui pemeliharaan keindahan alam semula jadi dan warisan budayanya, Selangor bersedia menyahut cabaran untuk menawarkan pelancongan yang lebih mesra alam.
Dengan menyepadukan inovasi, pemuliharaan, dan penglibatan komuniti setempat, Selangor berusaha mencipta keseimbangan antara pembangunan ekonomi, pemuliharaan budaya, dan alam sekitar. Inisiatif-inisiatif ini diharap mampu menjadikan Selangor sebuah destinasi yang bukan sahaja memberi pengalaman yang berbeza, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan mampan dan kesejahteraan komuniti.
Negeri Selangor kini berada di landasan yang betul dalam usaha memastikan keindahan dan kekayaan warisan ini terus dinikmati oleh generasi akan datang, sambil membuka peluang ekonomi yang lebih baik untuk semua. Mari kita sokong pelancongan mampan dan pemerkasaan komuniti, bersama-sama menjadikan Selangor destinasi pelancongan yang unggul dan berdaya tahan.