Neelofa, 34, berkata, dia dan suaminya, Haris atau Muhammad Haris Mohd Ismail, 28, memohon doa yang baik supaya rumah tangganya diberkati dan kekal bahagia.
“Sudah tentu setiap yang berkahwin mahu kekal sampai bila-bila. Jadi, benda paling berharga untuk pasangan suami isteri adalah doa orang ramai supaya perkahwinan diberkati, penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan.
“Rumah tangga mana tak mencabar, tetapi bila ada doa orang yang tidak dikenali ia membantu menguatkan.
“Alhamdulillah, biarpun kami baru setahun jagung, banyak yang saya dan suami belajar.
“Apa yang boleh saya cakap, tak banyak ilmu saya ada sebelum kahwin, hanya peroleh selepas berkahwin.
“Banyak benda yang saya tahu pun selepas berkahwin dan kami berdua mempunyai persamaan untuk sentiasa memperbaiki dan bertoleransi,”
Tambah Neelofa, kemanisan berumah tangga dirasai, lebih lagi, apabila usia perkahwinan sudah menjangkau dua tahun pada 27 Mac lalu.
“Apa yang manisnya rumah tangga ini bila kita berkongsi kebahagiaan, lebih lagi apabila dikurniakan cahaya mata. Banyak benda yang kami tidak pernah rasa, diubati dengan cukup mudah bila ada anak dan keluarga,” katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Neelofa dan Haris di sebuah hotel, semalam.
Sementara itu, Haris turut memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga.
“Kami mahu ambil peluang ini supaya semua orang mendoakan untuk kami. Nak mengajar atau nak bagi tip, belum lagi sebab baru setahun jagung,” katanya.
Terdahulu, Neelofa mendirikan rumah tangga dengan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan anak, Muhammad Bilal pada 29 Januari 2022.
Kata Haris, majlis itu bertujuan mendekatkan silaturahim antara peminat dan rakan media.
“Ramadan ini adalah bulan baik untuk memberi orang makan. Semua orang pun suka makan, jadi kami nak rai semua peminat dan rakan media. Pada masa sama mendekatkan dengan kami juga.
“Ini adalah antara usaha kami untuk meraikan Ramadan,” katanya.