Dilahirkan di Pulau Pinang pada hari ini pada tahun 1879 kepada sebuah keluarga yang berasal dari China, Dr. Wu merupakan pelajar keturunan Cina pertama yang memperolehi ijazah Perubatan dari Universiti Cambridge. Setelah mengikuti pengajian kedoktoran, beliau menerima jawatan sebagai timbalan pengarah untuk Kolej Perubatan Tentera Imperial China (China’s Imperial Army Medical College) pada tahun 1908.
Sebuah Rekaan Yang Membendung Wabak Manchuria
Apabila sebuah wabak yang tidak dikenali menimpa barat laut China pada tahun 1910, pemerintah China melantik Dr. Wu untuk menyiasat penyakit tersebut, yang dikenalinya sebagai wabak pneumonik sangat berjangkit yang merebak dari manusia ke manusia melalui sistem pernafasan.
Untuk memerangi penyakit itu, Dr. Wu mereka dan menghasilkan topeng pembedahan khas menggunakan kapas dan kain kasa, dan menambahkan beberapa lapisan kain untuk menyaring penyedutan. Beliau menasihati orang ramai untuk memakai topengnya yang baru diciptakan itu dan bekerjasama dengan pegawai pemerintah untuk mewujudkan stesen dan hospital kuarantin, menyekat perjalanan, dan menerapkan teknik pensterilan progresif; kepemimpinannya memberikan sumbangan besar untuk mengakhiri wabak tersebut (yang dikenali sebagai wabak Manchuria) pada April, 1911 dalam masa empat bulan beliau ditugaskan untuk membendung penularan wabak tersebut.
Penama Hadiah Nobel pertama Malaysia dan penyokong kemajuan perubatan
Pada tahun 1915, Dr. Wu mengasaskan Persatuan Perubatan Cina, sebuah organisasi perubatan bukan kerajaan terbesar dan tertua di negara ini. Pada tahun 1935, beliau merupakan rakyat Malaysia – dan orang berketurunan Cina pertama – yang dicalonkan untuk Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan untuk pencapaiannnya dalam membendung wabak pneumonia ini. Seorang penyokong dan pengamal kemajuan perubatan yang setia, usaha Dr. Wu bukan sahaja mengubah kesihatan awam di China tetapi juga di seluruh dunia.
Sebuah inspirasi untuk generasi-generasi akan datang
Cicit beliau, Dr. Shan Woo Liu, M.D., berkongsi pendapatnya mengenai Doodle tersebut dan warisan moyangnya:
“Kami merasa berbesar hati kerana hari jadi moyang kami diraikan Google. Lebih dari satu abad yang lalu, beliau membantu melawan wabak di China dan membangunkan teknik seperti memakai topeng, yang masih kita gunakan hari ini dalam usaha kita melawan COVID-19. Dari kecil lagi, kami telah mendengar cerita dari ayah kami tentang moyang kami — bahawa beliau dikenali ramai kerana berjaya mengawal wabak pneumonia Manchuria, penyakit yang sangat dahsyat bagi hampir semua yang menghidapnya, dan beliau memegang jawatan di China setara dengan pakar bedah di AS. Sebuah buku di meja kopi kami dengan kulit depan yang compang-camping, bertajuk ‘Plague Fighter’, mengingatkan kami tentang pencapaiannya setiap hari.
“Kisahnya menggerakkan sesuatu dalam diri saya, dan sejak usia muda saya bermimpi untuk menjadi seorang doktor. Tetapi pada tahun 1995, ketika saya menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 penubuhan Persatuan Perubatan Cina, di situlah saya betul-betul menghargai warisannya. Ratusan doktor dan saintis mengerumuni ruang persidangan Shanghai untuk mendengar ceramah mengenai kehidupan dan kerjayanya. Saya mempelajari bahawa dia dianggap oleh kebanyakan orang sebagai bapa perubatan moden di China. Pada tahun 2018, saya serta keluarga pergi ke Harbin, di Timur Laut China, untuk melawat sebuah muzium dan institusi penyelidikan yang dibina sebagai penghormatan buat datuk saya. Dengan rendah hati, kami berjalan mengikuti jejaknya di kota yang sama di mana beliau melawan wabak itu satu abad sebelumnya. Hari ini, sebagai seorang doktor bilik kecemasan, saya lebih menghargai keberaniannya.
Setahun yang lalu, saya berasa takut dengan betapa sedikitnya kita ketahui tentang koronavirus. Walaupun sekarang, saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan moyang saya semasa merawat pesakit yang dijangkiti wabak. Tetapi saya juga merasa lebih dekat dengannya berbanding sebelumnya tatkala saya mendesak pesakit saya untuk mengamalkan penjarakan sosial dan memakai topeng – teknik yang dipelopori beliau ketika menyelamatkan negaranya, dan mungkin juga dunia, dari sebuah bencana. Wu Lien-teh masih seorang pahlawan sekarang seperti sebelumnya.”
Oleh kerana kami menghargai sumbangannya dalam penjagaan kesihatan, pada waktu yang tidak lebih relevan daripada sekarang, kami mengucapkan Selamat hari jadi kepada individu di sebalik penutup muka, Dr. Wu Lien-teh!
Pakai topeng. Selamatkan nyawa.
Oleh kerana COVID-19 terus memberi kesan kepada masyarakat di seluruh dunia, bantu untuk hentikan penyebarannya dengan mengikuti langkah-langkah ini. Ketahui lebih lanjut menerusi sumber-sumber ini untuk membantu anda dan komuniti anda terus mendapat maklumat dan kekal berhubung.
Terima kasih kepada keluarga Dr. Wu Lien-teh atas kerjasama mereka dalam projek ini. Cicitnya, Dr. Shan Woo Liu, M.D., S.D., merupakan seorang doktor bertugas di Massachusetts General Hospital dan Penolong Profesor Perubatan Kecemasan di Harvard Medical School. Beliau adalah pengarang buku kanak-kanak yang akan datang mengenai moyangnya, Dr. Wu Lien-teh.