AWIE HANYA MENGUJI BAKAT PESERTA WANITA, PESERTA LELAKI DISURUH PULANG!!
Sesi ujibakat program realiti Mentor Musim ke–3 kini telah pun tamat. Setelah Jaclyn Victor, Mas Idayu, Lah Ahmad, Adibah Noor dan Ajai, Sabtu lalu Awie melengkapkan pencarian dengan menguji bakat lebih 80 peserta wanita. Seperti yang telah diwar-warkan melalui promo, Awie ingin mencari peserta wanita yang boleh diketengahkan bakatnya sebagai seorang penyanyi rock wanita.
Kenapa Awie pilih dan nak cari sangat penyanyi rock wanita?
“Macam saya kata, saya nak cari seorang penyanyi rock wanita. Sebab saya nak melahirkan penyanyi rock wanita sebagai pelapis yang bakatnya setara atau lebih baik dari ratu rock Ella. Saya tidak bermaksud untuk menandingi Ella tetapi untuk memeriahkan lagi industri muzik tanah air. Selama ini, industri kita telah banyak melahirkan penyanyi rock lelaki tetapi tidak wanita. Itulah sebabnya saya hanya menguji bakat peserta wanita sahaja.”
Itulah yang terjadi Sabtu lalu apabila sekumpulan lebih 15 orang lelaki disuruh pulang oleh Awie yang enggan menguji bakat mereka. Kesemua peserta lelaki itu dipanggil serentak dan diterangkan mengapa dia enggan mengujibakat mereka sebelum disuruh pulang.
Ditanya pandangannya mengenai ujibakat yang dijalankan, Awie menambah, “Bukan mudah sebenarnya untuk mencari seorang peserta wanita yang benar-benar mempunyai bakat dan pakej bagus terutama dalam menyampaikan lagu-lagu bergenre rock. Ada peserta yang datang dengan ketrampilan yang menarik tetapi suara pula tidak menepati. Ada juga suara yang bagus tetapi tiada karisma dan bermacam-macam lagi. Saya juga menyuruh peserta yang boleh menyanyi dengan baik supaya menyanyikan lagu asli. Ini kerana mereka yang boleh menyanyikan lenggok asli dengan baik tidak akan ada masalah untuk menyampaikan semua jenis lagu.”
Ujibakat yang telah diadakan di Bilik Kenanga, Hotel Seri Pacific itu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila peserta telah bersiap sedia seawal jam 9.30 pagi untuk mendaftarkan diri sebelum penyertaan ditutup pada jam 5.00petang dan ujibakat dijalankan sehingga lewat malam.
Sebelum ini, Jaclyn Victor, Mas Idayu, Lah Ahmad, Adibah Noor dan minggu lepas Ajai juga telahpun turun padang untuk memilih sendiri protege masing-masing dalam ujibakat Mentor musim ke-3 yang diadakan di Theatrette, Sri Pentas Bandar Utama. Respon yang diterima dari kesemua ujibakat yang diadakan sebelum ini amat menggalakkan apabila lebih tujuh ratus orang dari pelbagai latarbelakang dan dari pelusok negeri termasuk Sabah dan Sarawak datang untuk mencuba nasib. Namun, bukan mudah untuk mencari bakat yang menepati kriteria-kriteria mentor-mentor berkenaan. Bagaimanakah mentor-mentor ini melatih protege-protege mereka? Untuk mengetahuinya kenalah tunggu apabila program ini ke udara nanti.
Uji bakat Mentor 3 ini telah bermula pada 14 Mac 2009 sehingga 4 April 2009 bermula jam 10.00 pagi hingga 5 petang. Berikut adalah jadual ujibakat yang telah diadakan untuk makluman:
14 Mac
Uji bakat Mentor 1
Jaclyn Victor
15 Mac
Uji bakat Mentor 2
Mas Idayu
21 Mac
Uji bakat Mentor 3
Lah Ahmad
22 Mac
Uji bakat Mentor 4
Adibah Nor
28 Mac
Uji bakat Mentor 5
Ajai
4 April
Uji bakat Mentor 6
Awie
Peserta yang ingin menyertai gelanggang Mentor semestinya berusia antara 17-25 tahun, memiliki bakat, vokal yang mantap dan pakej, berjaya menambat hati Mentor yang menjadi pilihan mereka, menyanyi secara solo, tidak terikat dengan sebarang kontrak dan boleh memberikan sepenuh perhatian terhadap program Mentor. Peserta yang menghadiri uji bakat harus membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R dan membawa minus one lagu-lagu yang bakal mereka persembahkan untuk penilaian Mentor pilihan mereka.
Antara gelagat peserta ujibakat Mentor bersama Awie
“Bisikan yang pertama…”
“Sejati…”
Mungkin ini ‘Rasyidah’ yang dicari…
Semestinya, Mentor mempunyai kebebasan 100% untuk memilih protege hasil dari penelitian melalui uji bakat yang disaring oleh mereka. TV3 tidak meletakkan sebarang garis panduan khusus kepada Mentor untuk memilih protege masing-masing kerana kriteria dan kelayakkan ditetapkan oleh para Mentor sendiri mengikut genre mereka.
Menurut penerbit Mentor 3, Muhamad Suffian b. Isa “Setelah rundingan dilakukan 6 Mentor telah terpilih berdasarkan kualiti yang dimiliki iaitu mempunyai pengalaman di dalam bidang nyanyian dan berkaliber sebagai tenaga pengajar. Pemilihan Mentor juga berdasarkan komitmen yang sanggup diberikan kepada para Mentor untuk berusaha keras mendidik dan mengasah bakat protege mereka. Peranan mereka ialah untuk memberikan tunjuk ajar kepada para protégé berkaitan bidang nyanyian, seni persembahan dan memperlengkapkan diri sebagai penghibur. Selain itu, Mentor juga bertindak sebagai idola yang memberi inspirasi kepada anak didik mereka.”
“Pihak kami berpendapat pemilihan peserta Mentor kali ini lebih sistematik kerana perserta boleh menjalani uji bakat berdasarkan penyanyi kegemaran pilihan masing-masing dan Mentor dapat melihat sejauh mana kebolehan dan kualiti yang dimiliki seseorang itu memandangkan mereka yang akan bertanggungjawab mengasah bakat protégé yang menjadi pilihan mereka itu nanti. Kami juga berharap agar hubungan antara mentor dan protégé lebih serasi setelah mengadili sesi saringan penilaian dan uji bakat yang dilakukan dari kaca mata mereka sendiri.”
Program Mentor mula diperkenalkan pada tahun 2005 mempamerkan barisan Mentor yang tergolong dari penyanyi popular tanah air iaitu Nora, Hattan, Liza Hanim, Siti Nurhaliza, Zainal Abidin, Ning Baizura, Cat Ruffedge, Noraniza Idris, Kumpulan VE, Amy Search dan Hazami.
Mentor 1 berjaya menjulang Pija dan Zainal Abidin sebagai Mentor manakala Mentor 2, kemenangan berjaya diraih oleh Fiq melalui hasil tunjuk ajar sifunya, Amy Search.
Program Mentor akan ditayangkan bermula pada 19 April 2009, setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam (Konsert Mingguan Mentor akan bermula pada 3 Mei 2009), Jurnal Protégé setiap Ahad jam 5.30 hingga 6.00 petang yang menyorot persediaan serta aktiviti protégé bersama mentor juga Jurnal Mentor iatu diari harian protégé akan ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam.