Pada 31 Julai 2008 jam 8 malam satu sesi rakaman program hiburan raya telah diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam anjuran TV3. Budiey tiba agak lewat pada malam itu kerana menumpang kereta rakan media dari Bernama. Kami bertolak dari Bernama jam 7.30 malam dan sampai sejam kemudian. Rupanya, ada sesi soal jawab dengan Dato’ Siti Nurhaliza sebelum rakaman berlangsung. Oleh kerana lewat sampai, Budiey tidak sempat untuk mengambil gambar Siti di luar studio dan juga mengikuti temubual bersama media lain.
Setiap tahun, tidak sah kalau stesen TV tidak menjemput Dato’ Siti Nurhaliza untuk menghiburkan peminat di hari raya. Kadangkala penyanyi tak menang tangan untuk buat rakaman. Tapi elok juga buat rakaman seawal yang termampu untuk mengelakkan dari kesesakan jadual.
Kesian sungguh apabila Budiey dapat rasa studio begitu membahang sebab tidak cukup penghawa dingin dan mungkin bahang datang dari lampu. Boleh rasa camna Dato’ Siti Nurhaliza, penari dan krew terpaksa bermandikan peluh.
Sampai satu tahap Siti kata… boleh padam lampu sat? Siti nak berposing…
Pada tahun ini, Teratak Siti Nurhaliza yang merupakan program muzikal kendalian penyanyi popular itu sendiri akan menemui peminat pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama, 1 Oktober jam 10 pagi hingga 11 pagi di saluran TV3.
Program 60 minit ini menyaksikan Dato’ Siti Nurhaliza mendendangkan lagu-lagu tradisional dan tidak lupa rangkaian lagu-lagu raya dengan iringan pemuzik profesional yang dipimpin oleh Faizal Ubir.
Siti memakai dua pasang busana rekaan Rizman Ruzaini untuk rakaman kali ini.
Kira boleh tahan gak la cantiknya.
Program terbitan Mohd Ismadi Ismail ini berkonsepkan fusion tradisional dan moden di mana kedua elemen ini digabungkan untuk mendapatkan konsep irama tersendiri. Sekaligus menjadikan program ini unik dan berbeza dari persembahan Dato’ Siti Nurhaliza sebelum ini.
Untuk memeriahkan lagi suasana, Dato’ Siti Nurhaliza menjemput kakak dan adiknya iaitu Siti Nursaida dan Siti Nursaerah untuk bersama-sama membuat persembahan dengannya buat julung-julung kalinya di kaca televisyen.
Ramai betul peminat yang datang. Siap pakai baju raya lagi tu.
Budiey juga ada nampak kelibat seorang pelakon bernama Anita Baharom yang katanya tiap-tiap tahun lepas untuk datang tengok rakaman program raya. Oh rupanya, dia suami kepada penerbit. Patutlah selalu datang.
dimulakan dengan persembahan gambit oleh penari Swatari dan nyanyian Swara dengan konsep irama Melayu Tradisional. Sebagai pembuka tirai, Dato’ Siti Nurhaliza mempersembahkan lagu etnik ‘Bunga Hutan’. Dikuti dengan lagu-lagu medley joget yang pernah didendangkan beliau di konsert bersejarah di Albert Hall, London seperti Joget Pahang, Joget Berhibur dan Joget Kasih Tak Sudah.
Tidak lupa juga beberapa lagu klasik disampaikan oleh penyanyi pujaan ramai itu dalam bentuk medley seperti Tunggu Sekejap dan Sejak Ku Bertemu Padamu yang mana diberi nafas baru dalam versi unplugged. Sudah pasti lagu-lagu begini dapat mengimbau kenangan lama di pagi raya.
Untuk tidak mengecewakan peminat, Dato’ Siti Nurhaliza memilih lagu Ku Mahu sebelum berduet bersama kakaknya Siti Saidah dalam lagu Empat Dara yang pastinya melengkapkan malam persembahan pada malam itu.
Lagu Suara Takbir yang begitu nostalgia turut dinyanyikan diikuti dengan lagu Lenggang Lenggok berduet bersama Siti Saerah. Medley lagu-lagu Irama Malaysia seperti Mahlisgai Permata, Ya Maulai dan Nirmala tidak kurang merancakkan lagi sesi rakaman yang penuh sesak dengan peminat. Menyusul selepas itu, lagu Es Lilin dan bersama adiknya, Dato’ Siti Nurhaliza menyampaikan lagu raya Anugerah Aidilfitri dan Nazam Lebaran.
Siti turut mengajak peminatnya menyanyi bersama-sama.
Makanan dan juadah disediakan dan ditaja oleh Kuzi Catering milik bapa saudara Kak Engku (Raja Azura).
Sebagai penutup, Dato’ Siti Nurhaliza mengajak sekalian peminat yang hadir pada malam itu untuk berjoget dalam lagu berhantunya, Cindai. Suasana sangat meriah umpama hari raya di mana juadah hari raya turut dihidangkan untuk santapan peminat yang hadir.
“Cindai lah mana…”
“Sepanjang Hari Madah-madah Menghias Rasa
Usah Pula Termanis Madu Kata
Segala Budi Indah-indah Menguntum Sukma
Usah Pula Terguris Parut Luka”