Bersempena dengan sambutan ulangtahunnya yang ke-30, NONA rancangan majalah wanita TV yang ulung dan paling lama bertahan di kaca televisyen, meraikan memori indah ini bersama-sama dengan 30 penonton setianya. NONA 30 Tahun, episod khas yang dirakamkan di Grand Duchess Fraser Place bakal disiarkan pada 30 Ogos 2015 (Ahad), pukul 2.00 petang.
NONA 30 Tahun yang dihoskan oleh Fouziah Gous dan NONA Manis 2015, Saidatul Naseha Uyaina Arshad telah menghimpunkan barisan pengacara dan penerbit, pereka-pereka fesyen serta ahli-ahli korporat yang pernah mewarnai NONA sepanjang 30 tahun ke udara. Selain itu, NONA 30 Tahun turut memaparkan segmen khas bersempena dengan Hari Kebangsaan 2015 mengenai wanita yang telah berjaya dalam dunia siber.
MENGIMBAS KEMBALI MEMORI INDAH SEPANJANG 30 TAHUN BERSIARAN
Pertama kali NONA bersiaran ialah pada 25 Ogos 1985 bersempena dengan Hari Wanita. Konsep dan idea asal NONA merupakan hasil kreatif Anwardi Jamil. Penerbitan NONA diteruskan oleh penerbit Wan Maharuddin Sulaiman, Karim Mohammad dan Masitah Jeffrey. Ketika itu rancangan NONA berada di bawah Jabatan Penerbitan sehinggalah diletakkan di bawah Jabatan Berita & Hal Ehwal Semasa yang diketuai oleh penerbitnya Nuraeshah Malik.
NONA rancangan yang berkonsepkan kekeluargaan ini banyak memaparkan pelbagai isu berkaitan wanita di dalam dan di luar negara. Itulah yang membuatkan rancangan ini medapat sambutan memberangsangkan. Kian hari, rancangan ini mendapat sambutan daripada masyarakat terutamanya kaum wanita kerana memberi maklumat yang berguna bertujuan mencerna minda wanita dan secara tidak langsung memperkasakan wanita.
Di awal penerbitan NONA, ianya lebih menjurus kepada aspek kecantikan dan dandanan diri. Perubahan masa menyaksikan kematangan NONA apabila kandungannya diperluaskan kepada isu-isu kekeluargaan, kemasyarakatan dan semasa.
Segmen Cik Sri Siantan, Petua NONA, Dari Fail, Titian Hidup, Motivasi dan Klinik NONA antara segmen yang masih segar di ingatan penonton hingga kini. Antara segmen yang menjadi kegemaran sepanjang masa ialah fesyen dan kecantikan. Segmen Petua NONA yang popular ketika itu dibukukan dan mendapat sambutan amat menggalakkan sehingga dicetak dua kali.
Segmen Fokus atau Laporan Khas telah mencungkil pelbagai aspek kehidupan dan isu semasa kekeluargaan khususnya wanita. Segmen ini sentiasa bertukar nama, namun masih mempunyai tujuan yang sama iaitu mengupas permasalahan yang sering dihadapi wanita.
NONA juga merupakan rancangan pertama yang menerbitkan segmen realitinya iaitu Pengacara Jemputan NONA (PJN). PJN musim pertama diterbitkan pada tahun 1991. Sehingga lima musim PJN disiarkan, NONA berjaya melahirkan ramai personaliti popular. Antaranya, Puan Sri Normala Samsudin, Hamidah Hamzah, Maria Tunku Sabri, Norish Karman, Norjuma Habib Mohamed, Nolly Zai Awang Sham dan Farah Adeeba. NONA turut mengadakan pertandingan Pesona NONA yang turut mencari bakat-bakat baharu selama dua musim dan melahirkan pengacara seperti Noor Azean Abdool Karim dan Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan.
Baru-baru ini setelah lebih 10 tahun berlalu, NONA kembali dengan segmen realiti, Pencarian NONA Manis dan dijuarai oleh Saidatul Naseha Uyaina Arshad.
NONA juga antara rancangan pertama memartabatkan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang melalui anugerah Trofi Sri NONA yang membuktikan keprihatinan NONA terhadap sumbangan wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara. Anugerah Trofi Sri NONA yang dimulakan sejak tahun 1995 telah melalui empat musim dalam pelbagai kategori seperti kekeluargaan, perubatan, sains teknologi dan pendidikan, keusahawanan dan kebajikan.
Pada tahun 2003 dan 2004 dengan kerjasama kerajaan negeri, antaranya kerajaan negeri Johor dan Negeri Sembilan, NONA pernah mengadakan Karnival Wanita Anggun Bestari dengan memberi tumpuan dan pengiktirafan terhadap pencapaian wanita dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, perniagaan, kesihatan dan kesenian. Gerai-gerai usahawan wanita dengan pelbagai aktiviti kewanitaan juga dipaparkan selama dua hari di negeri berkenaan. Bengkel imej dan kecantikan turut diadakan khusus bagi mendekatkan NONA dengan penonton setianya.
Bagi mengekalkan sokongan penonton yang sedia ada dan menarik penonton baharu, NONA sentiasa menggabungkan kejayaan intipati masa lalu dalam beberapa segmen dengan pendekatan baharu.
Kini, NONA menampilkan Fouziah Gous selaku pengacara. Program ini diterbitkan oleh Khairol Bariah Kamaruddin dari Primeworks Studios dengan paparan enam segmen menarik pada setiap episod. Antaranya NONA Isu, NONA Inspirasi, NONA Manis, NONA Cantik, NONA Luahan Rasa, NONA Fesyen, NONA Resepsi dan NONA Suami Isteri.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan episod khas NONA 30 Tahun pada 30 Ogos 2015 jam 2.00 petang di TV3. Teruskan menonton program NONA pada setiap hari Ahad jam 2.00 petang.
Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan rancangan ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.