Pengarah berkaliber yang terlalu teliti dalam setiap pembikinan filemnya… Saw Teong Hin kembali dengan filem arahan keduanya, Apa Kata Hati. Budiey hairan mengapa perlu ada yang mempertikaikan pengarah ini yang mahu mencuba filem bajet serendah RM1.4 juta. Yelah, semua dah tahu kan, pengarah yang low profile ni pernah buat filem bernilai RM16 juta. Memang bajet tu grand se-grand filem tu sendiri… Puteri Gunung Ledang yang menempatkan Saw Teong Hin sebagai Pengarah terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18.
Di majlis prebiu filem Apa Kata Hati yang dibuat di GSC, Pusat Membeli Belah Mid Valley baru-baru ini, pengarah ini menerima pujian dari semua barisan pelakon. Filem berkonsep komedi romantis ini memang sangat berbeza dengan apa yang pernah dibuat oleh Saw Teong Hin. Kerna itu, Teong Hin terima tawaran ini. Tapi tidakkah menjatuhkan standard? Uh, kalau Budiey jadi Teong Hin pun, mungkin akan cakap… Peduli apa aku! Haha!
Persoalan mengapa terlalu ramai pelakon cameo dalam filem ini turut dirungkaikan. Ye lah, memang akan ada cakap-cakap belakang mengatakan mengapa perlu ada pelakon cameo yang terlalu ramai? Dah tak cukup dengan pelakon utama? Sebagai daya penarik atau sekadar tempelan untuk memberikan sesuatu yang fresh dalam filem ini?
Bukan seorang dua, tetapi berpuluh-puluh pelakon diusung ke filem ini. Antaranya, Sofia Jane (wow! kehadiran pelakon pujaan hatiku ini yang memegang watak perempuan gedik yang bisu memang mengesankan jiwa), Rosyam Nor, Umie Aida, Erma Fatima, Vanidah Imran, Adlin Aman Ramlie, Mamat Khalid (jadi sekuriti yang tak tahan digoda), Shaharuddin Thamby, Radhi Khalid, Nasir Jani, Mila AF5, Dafi AF5, Farha Af5, Syanie, Joanne Kam Po Po, Mek (alah, pelakon Kelate Salam Pantai Timur yang sekarang dah slim molim sikit), Murali Abdullah (Huhu watak pemandu teksi yang berhati brutal), Nurazlin Abdullah, Marsya Arisya, Raji Simran, Muhamad Azhar Zainal dan ramai lagi lah.
Bagi Budiey sendiri, penampilan pelakon cameo dalam Apa Kata Hati memberikan kesempurnaan kepada garapan filem ini. Penonton pasti akan mengingati dan watak-watak yang unik dipegang oleh mereka ini dan setiap gerak lakon begitu senang untuk melekat di hati penonton. Kalau tidak, mungkin juga penonton akan bosan. Walaupun kehadiran mereka sangat singkat tetapi Budiey rasa sudah cukup buat filem ini menghiburkan.
Budiey juga sangat suka dengan opening credit (nama-nama pelakon dan orang belakang tabir) yang digarap dengan menggunakan animasi. Kreatif dan lari dari klise!
Saw Teong Hin juga ada menyelitkan keindahan kota raya Kuala Lumpur dalam Apa Kata Hati. Budiey kira ini satu penghargaan dan satu penghormatan dari Teong Hin buat bumi Malaysia yang kaya dengan khazanah serta sejarah tersendiri. Memang betul, mungkin filem juga boleh dijadikan sumber sejarah untuk generasi akan datang. Berlatar belakangkan Menara Kembar Petronas KLCC, Eye On Malaysia, jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dan banyak lagi lokasi menarik buat penonton akan rasa bangga dengan kecantikan tanahair sendiri.
Awie, penyanyi berbadan sasa juga seorang pelakon turut dilontarkan pertanyaan yang bertubi-tubi. Apa tidaknya, lakonan Awie untuk watak Sofie itu memang unik dan inilah pertama kali Awie membawa watak lelaki lembut atau dalam bahasa kasarnya pondan atau Mak Nyah. Tapi Budiey pun pelik, mengapa Teong Hin yang terkenal dengan ketelitian dalam gaya kerjanya, tidak menyuruh Awie untuk mencukur kesemua janggut dan misainya. Budiey rasa kalau Awie ditata rias 100% seperti Mak Nyah akan memberi impak lagi kepada perhatian penonton. Budiey juga rasa lakonan Awie masih lagi kaku dan tidak sepenuhnya kewanitaan. TIdak cukup patah dan tidak cukup women lagi. Mungkin Teong Hin ada alasannya tersendiri, kenapa tidak ditransformkan fizikal Awie kepada seorang Mak Nyah sepenuhnya. Awie mengatakan wataknya adalah seorang Mak Nyah yang tercari identiti dan seakan mahu insaf untuk menjadi lelaki tulen.
Ternyata, kesemua pelakon termasuk Raja Farah, Dynaz, Awal, Farid Kamil, Ogy Ahmad Daud dan Harun Salim Bachik rasa seronok bekerja dengan Saw Teong Hin. Lakonan Ogy juga bagi Budiey sangat perfect dan nampak sangat Kak Ogy begitu menjalani latihan sendiri untuk membawa watak Rosmah, ibu kepada Elly (Raja Farah). Watak isteri yang queen control, dan kecewa dengan suaminya (Harun Salim Bachik) yang dikatakan curang memang menjadi. Tahniah Kak Ogy! Budiey loves your character! Peminat Kak Ogy mesti tak sabar nak tengok lakonan ini setelah menunggu lebih 15 tahun. Lama betul tak tengok Kak Ogy berlakon di layar perak, kan?
Apa Kata Hati ini akan mengegarkan pawagam di 41 buah pawagam seluruh Malaysia bermula 29 Mei ini. Jom menonton!