Majlis Rumah Terbuka ini cukup meriah dengan kehadiran ramai selebriti dan tetamu jemputan. Acara ini bermula sekitar jam 2.00 petang dan membawa ke malam dengan tema Bollywood. Sudah tentu acara malam itu cukup meriah sebab ramai yang hadir telah mengenakan tema Bollywood.
Untuk pengetahuan pembaca, Jennaira Holding yang diusahakan Datin Seri Azlina Hanim dan suami, mempunyai beberapa rangkaian bisnes dan juga produk lain seperti minuman, makanan, aiskrim yogurt, produk kesihatan serta beberapa perniagaan lain.
Di acara ini juga, produk tudung Jennaira telah berjaya dilancarkan dengan meriahnya. Menurut Datin Seri Azlina Hanim, Arviena telah dilantik menjadi duta produk ini kerana ternyata sesuai dengan imej wanita masa kini yang ingin diketengahkan.
“Tudung Jennaira bersama dutanya, Arviena masih dikira baru dan alhamdulillah setakat ini sambutan yang diterima secara dalam talian cukup positif.
Walaupun produk Jennaira masih baru bertapak, namun Datin Seri Azlina Hanim begitu optimis, yakin dan bersemangat untuk memajukan produk tudung ini sehingga mencapai kejayaan.
“Kami keluarkan tudung ini secara tiga peringkat menerusi 10 corak dan konsep berbeza. Ia menggunakan fabrik satin, ada bawal dan juga shawl. Harganya mampu milik, RM70 sehelai dan syukur, ia juga turut dipasarkan di Indonesia.
“Setiap keluaran itu terhad. Kena ‘pre-order’, jadi ia lebih eksklusif dan insya-Allah, koleksi baru akan dilancarkan bersempena Hari Raya Haji nanti,” katanya yang turut optimis mengeluarkan telekung, tidak lama lagi.
Percaya rezeki lebih bermakna bila dikongsi, Azlina berterima kasih kepada semua pihak yang sudi bersama-sama menjayakan rumah terbukanya, tahun ini.
“Kita jemput lebih 700 anak tahfiz dan anak yatim untuk sama-sama meraikan hari raya. Malah ketika sambutan hari jadi suami dan buka puasa sebelum ini, kami turut jemput mereka. Sudah jadi satu tradisi bagi kami di Jennaira Holding.
“Malah setiap pembelian tudung ini atau mana-mana produk keluaran kami, mereka secara tak langsung turut menderma dalam menjayakan rumah terbuka ini.
“Majlis yang bermula sekitar jam 2.00 petang dan membawa ke malam dengan tema Bollywood berjalan lancar syukur alhamdulillah,” katanya lagi.
Dua orang penyanyi telah menghiburkan hadirin di acara ini iaitu Aweera dan juga Farawahida. Kedua-dua penyanyi ini begitu mesra melayan hadirin selain menyampaikan beberapa buah rangkaian lagu.
Semasa acara ini, penyanyi Aweera turut berbual mesra dengan wartawan. Menurut Aweera, beliau mengakui yang dia agak cerewet dalam soal pemilihan lagu dan lirik demi memastikan naskhah yang dikeluarkan kekal relevan dalam tempoh lama.
Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Norhissam, 31, berkata dia lebih mengutamakan karya yang bersifat malar segar atau lagu-lagu zaman 90-an.
“Macam contoh, lagu Isabella. Kalau dengar rasa macam baru semalam dilancarkan. Saya nak begitu. Kalau penyanyi lain mahu ketengahkan benda yang viral, itu terpulanglah. Itu hak masing-masing.
“Cuma bagi saya, saya lebih pentingkan naskhah yang ‘masterpiece’, maksudnya mungkin dalam tempoh 20, 30 tahun lagi orang tetap akan ingat lagu kita. Itu yang saya mahu,” katanya.
Aweera bakal melancarkan single baharu, MENAKLUK HATIMU ciptaaan Tam Spider dan liriknya ditulis Keon, Julai depan. Kali terakhir Aweera muncul dengan lagu Wanita Cinta Teragung, lebih enam tahun lalu.
Ditanya media tentang perjalanan seninya selepas menyertai program Gegar Vaganza 8 (GV8). Aweera tidak menafikan dia kini semakin matang mengatur perjalanan seninya.
“Sebelum ini macam-macam isu yang pernah saya lalui. Saya ambilnya untuk dijadikan satu pengajaran. Saya tidak menyalahkan sesiapa. Sava salahkan diri sendiri. Ketika itu masih muda dan saya belajar. Insya-Allah semuanya akan lebih baik,”
“Senang cerita, ini adalah the new Aweera… saya harap anda semua dapat mendoakan saya semoga saya sukses. Saya mergaku silap, kita hamba yang lemah.Saya pernah berada di atas sebelum ini. Apa yang berlaku sebelum ini, biarlah menjadi sejarah dan kenangan dan sekurangnya semua tu banyak mengajar saya untuk menjadi manusia yang lebih baik,”