PHUA CHU KANG SDN BHD – KONTRAKTOR BARU DI KEJIRANAN ANDA
“PCK Sdn Bhd, best in Singapore, lagi best in Malaysia!”
Pada 12 Mac hari Khamis lalu, jam 2.30 petang, telah berlangsung sidang media drama komedi 13 episod Phua Chu Kang Sdn Bhd di Lot 72086, Rumah Kelab Bandar Botanic, Botanic, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan. Antara para pelakon yang hadir ialah Gurmit Singh, Irene Ang, Adibah Noor, Harith Iskandar dan Nell Ng. Drama terbitan bersama dengan Mediacorp ini merupakan pertama kalinya Phua Chu Kang dirakam keseluruhannya di Malaysia dan ditayangkan hanya di Saluran Ceria Anda.
Seorang kontraktor yang cukup dikenali kini muncul berdekatan dengan anda – bersama dengan but kuning yang cukup sinonim dengan dirinya, rambut kerinting, gelagatnya yang riuh di samping isterinya yang turut membingarkan, Phua Chu Kang kembali untuk melebarkan sayapnya ke dalam bidang pembinaan tempatan. Diilhamkan dari siri PCK Pte Ltd yang cukup terkenal, musim pertama Phua Chu Kang Sdn Bhd (PCK Sdn Bhd) memaparkan kisah seorang kontraktor yang mencuit hati yang berpindah ke Malaysia bersama isterinya, Rosie untuk membuka cawangan baru kepada syarikat pembinaannya yang sudah masyhur. Siri komedi 13-episod ini dijangka akan membawakan saat-saat penuh keceriaan dan kegembiraan pada setiap Rabu, 8.30 malam mulai 25 Mac 2009 hanya di ntv7.
Setelah versi asal dari Singapura bersiaran untuk lapan musim dalam tempoh sedekad, aksi lucu keluarga Phua telah memenangi hati ramai peminat di Malaysia dan Singapura. Susulan kejayaan siri berkenaan, Chu Kang (Gurmit Singh) telah memilih untuk meninggalkan Kota Singa untuk membina kehidupan baru di Malaysia bersama teman hidupnya, Rosie (Irene Ang). Adiknya, Chu Beng dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pejabatnya di Singapura sementara anak mereka, Romeo dan Crystal dijaga oleh Ah Ma dan Margaret.
Chu Kang bekerjasama dengan bekas pekerjanya yang kini seorang jutawan, Izzy (Harith Iskander) yang meraih keuntungan besar daripada perniagaan menjual burger bersaiz besar. Chu Kang dan Izzy menubuhkan perkongsian 50-50 dengan impian mereka untuk mengembangkan syarikat pembinaan kecil itu kepada sebuah perniagaan bernilai berbillion ringgit. Namun sebelum itu, mereka perlu menyelesaikan pergaduhan remeh-temeh, ego serta perbezaan budaya antara mereka terlebih dahulu.
Chu Kang membina kediamannya di rumah agam bersebelahan dengan kediaman mewah Izzy di Bandar Botanic, Klang. Rumah Izzy menjadi lebih riuh rendah dengan kehadiran sanak saudaranya yang beraneka ragam. Ibu Izzy, Fatimah (Adibah Noor) ialah seorang wanita tua yang suka mengumpat, penuh dengan perasaan ingin tahu dan berlagak tak ubah seperti seorang bos. Selain merupakan seorang yang prejudis pada Chu Kang dan orang Singapura, Fatimah juga sanggup bekerja sebagai pembantu rumah Phua untuk mengawasi gerak geri keluarga itu.
Lebih menarik, adik perempuan Rosie yang beperwatakan menggoda turut tinggal bersama mereka. Karakter Suzie dan Rosie umpama langit dan bumi. Berlainan dengan kakaknya, Suzie ialah seorang yang rupawan, bergaya dan bercita rasa tinggi. Kedua-dua adik beradik ini sering bertengkar dan keadaan sering memaksa Chu Kang untuk menjadi orang tengah dalam pergaduhan mereka.
Chu Kang mengupah Bang (Carliff Carleel) untuk menjadi pekerjanya – seorang pemuda yang tegap namun kelihatan kurang cerdik. Seorang yang bercita-cita tinggi untuk menjadi pengarah filem, Bang menganggap kerja pembinaan hanyalah untuk seketika sementara dia memasang strategi untuk mencapai impiannya.Lebih mengeruhkan keadaan, sebelumpun mereka memulakan usaha niaga mereka, Chu Kang mendapat tahu mengenai adik lelaki Izzy iaitu Fazzy (Fadzlie Rahim) yang juga mempunyai sebuah firma pembinaan serta merupakan pesaing utama mereka.
“Sebagai stesen yang dikenali sebagai Saluran Ceria Anda, kami amat teruja untuk mempersembahkan Phua Chu Kang Sdn Bhd, sebuah siri komedi yang pasti digemari semua dan menjanjikan hiburan terbaik untuk seisi keluarga, ” kata Airin Zainul, Pengurus Besar ntv7. “Dengan kejayaan jitu yang diraih oleh rancangan ini sepanjang lapan musim di Singapura dan Malaysia, di samping kerjasama cemerlang dengan Mediacorp, usaha untuk mencipta siri yang diolah khas untuk tatapan penonton tempatan ini dilihat amatlah bertepatan.”
Sambungnya, “Kami turut berterima-kasih di atas sokongan padu Gamuda Land sebagai penaja utama untuk dalam usaha menarik ini. Juga, sejuta penghargaan kepada penaja bersama seperti Macy’s dan Super Coffee Mix.”
Sebagai Penaja Utama, Pengurus Besar Bandar Botanic, Encik Stephen Goh berkata,
“Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan ntv7 bagi menghasilkan sitkom yang terkenal di seantero Asia. Gamuda Land dan PCK berkongsi bidang yang sama iaitu pembinaan. Oleh itu, jalan ceritanya sangat bersesuaian dengan Gamuda Land untuk menjadi sebahagian daripada PCK. Kami amat yakin bahawa penduduk di kawasan kami akan turut bergembira melihat kejiranan mereka dipaparkan di PCK apabila ianya ke udara.”
Gamuda Land sangat berbangga kerana PCK turut memuatkan perbandarannya seperti Bandar Botanic (Klang), Jade Hills (Kajang) dan Horizon Hills (Johor Bahru) di dalam PCK Sdn Bhd, terutamanya Bandar Botanic, iaitu lokasi utama penggambaran PCK Sdn Bhd.
Kini di negara yang asing dengan norma budaya berbeza, serta gabungan karakter pelbagai warna – berjayakah Chu Kang dan Rosie menyesuaikan diri di Malaysia? Daptkan dos humor yang berlebihan untuk melenyapkan segala kebosanan anda bersama Phua Chu Kang Sdn Bhd pada setiap malam Rabu, 8.30 malam, mulai 25 Mac 2009. Untuk informasi lanjut atau menonton siaran ulangan melalui Catch-Up TV, layarilah www.ntv7.com.my.