in

Sekitar Majlis Ulang Tahun Klasik Nasional

MAJLIS ULANG TAHUN KLASIK NASIONAL…3 TAHUN MENITI USIA

Tanggal 12 Ogos 2009 lalu, Radio Malaysia Klasik Nasional telah menyambut ulang tahunnya kali ke tiga. Walaupun sambutan diadakan secara sederhana dengan jamuan kek dan pulut kuning di kalangan kakitangan Klasik Nasional sendiri, namun semangat jati diri dan ukhwah warganya sungguh membanggakan hingga menjadikan stesen ini popular dan diminati segenap lapisan pendengar seluruh negara.

Mengimbas kembali sejarah penubuhannya, Klasik Nasional merupakan gabungan dua stesen yang sedia ada di RTM iaitu NASIONALfm dan KLASIKfm dimana majlis pelancaran penggabungan Klasik Nasional telah disempurnakan oleh Y.B. Menteri Penerangan pada 12 Ogos 2006.

Tujuan utama penubuhan Klasik Nasional ialah untuk memperluaskan liputan siaran KLASIKfm ke peringkat seluruh negara bukan hanya di Lembah Klang sahaja. Selain daripada itu, Klasik Nasional juga diwujudkan untuk menerapkan nilai-nilai cintakan irama Melayu yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan serta mengekalkan keunggulan Irama Melayu yang merupakan nadi dan jantung bahasa Melayu.

Meskipun majlis meraikan ulangtahun ke tiga Klasik Nasional diadakan bertempat di studio Klasik Nasional, Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini dengan dihadiri Pengarah Bahagian Program Radio, YBhg. Datuk Haji Jumat Engson selain warga Klasik Nasional sendiri, namun ianya diharap mampu menyuntik semangat seluruh kakitangan Klasik Nasional dalam menggiatkan lagi usaha menghiburkan pendengar setia saluran mereka yang semakin bertambah dari masa ke masa kini. 

 

Menariknya, tiga orang peserta bertuah telah dipilih sebagai pemenang soalan kuiz yang di ke udarakan secara langsung serentak ketika majlis itu berlangsung menerusi stesen Klasik Nasional. Tiga pemenang bertuah yang diberikan soalan berkaitan stesen Klasik Nasional iaitu Mat Isa Osman dari Jerantut, Pahang, Mariam Haji Podong dari Setapak, Kuala Lumpur dan Fatimah Harun dari Pulau Pinang berjaya membuktikan mereka adalah pendengar setia saluran popular di kalangan pendengar ini dengan menerima hadiah berupa cincin emas tajaan TZ Emas.

Menurut Pengarah Bahagian Program Radio, YBhg. Datuk Haji Jumat Engson yang turut hadir pada majlis ini dalam temuramah khas menjelaskan, ”Klasik Nasional sejak 3 tahun penubuhannya, telah berjaya memikat pendengar setianya bukan sahaja golongan veteran malah telah menarik minat generasi muda untuk terlibat sama dalam penganjuran aktiviti stesen ini. ”

Antaranya Pertandingan Bintang Klasik Nasional, Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional dan Pertandingan Bintang Klasik Nusantara yang melibatkan 3 negara serumpun iaitu Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia selaku tuan rumah.

Stesen Klasik Nasional juga telah menerima Anugerah Pendokong Seni Negara 2006 (KEKKWA) iaitu selepas 3 bulan penubuhanya, selain Anugerah khas ketua Pengarah Penyiaran pada tahun 2008, Anugerah DJ terbaik 2006 daripada PAPITA, Anugerah Penerbitan Rancangan Terbaik 2008 (GAFIM).

Hubungan muhibah antara Klasik Nasional dan stesen radio negara jiran amat erat.  Ini dibuktikan dengan adanya Program Pertukaran Penyiar dan Rancangan, iaitu antara RTM – RTB (Brunei Darussalam), RTM – RRI (Radio Republik Indonesia),  serta pertukaran Rancangan Khas bersama Radio Warna Singapura.  Terkini ialah terjalinya hubungan mesra Pertukaran Penyiar dan Program bersama Radio Antarabangsa China – CRI (Bahagian Bahasa Melayu).

Ketua Pengarah Penyiaran, YBhg. Datuk Ibrahim Yahaya dalam perutusannya turut melahirkan ucapan penghargaan kepada warga Klasik Nasional yang diibaratkan sebagai pejuang bangsa bagi memastikan mesej pemimpin sampai kepada segenap lapisan rakyat selain mengekalkan stesen popular RTM di seluruh negara.

Bagi menyahut seruan pemimpin negara yang mahukan gagasan 1Malaysia  dapat direalisasikan, Radio Malaysia Klasik Nasional turut menganjurkan aktiviti lain seperti Pertandingan Mencipta 5 Rangkap Pantun bertemakan 1Malaysia, juga menyiarkan lagu-lagu irama Melayu yang dinyanyikan oleh penyanyi bukan Melayu.  Antara penyanyi yang amat dikenali seperti Andre Goh, Alleycats, Frankie Cheah, Kenny, Remy, Martin, Francesca Peters dan ramai lagi.

Selain itu Klasik Nasional turut menyiarkan acara-acara penting negara secara langsung atau tidak langsung meliputi sukan, hiburan, drama, hal ehwal semasa, pembangunan dan pertanian, agama, termasuk siaran berita demi menyampaikan makumat yang lebih berkesan kepada pendengar. 

Sesungguhnya tagline Radio Malaysia Klasik Nasional iaitu Segalanya Di Sini Manggamit Memori amya tepat dan sesuai bukan sekadar sajian hiburan malah sebagai penghubung antara rakyat dan pemimpin.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video LIVE Ingatlah Diriku Dato’ Sheila Majid & Chandra

Drama Senandung Si Dayang