Dira-Helmi Rai Cinta Di Bali & Eropah
Petikan dari Mstar Online
KUALA LUMPUR: Pelakon Dira Abu Zahar, 27, dan suaminya, pengarah fotografi Helmi Yusof, 33, memilih dua destinasi bulan madu iaitu Bali dan Eropah. Pasangan ini bernikah pada Jumaat lalu di Merlimau, Melaka. Menurut Dira dan Helmi, mereka merancang untuk bercuti di Bali dalam masa terdekat ini manakala ke Eropah pada hujung Disember ini.
Dira dan Helmi memotong kek di majlis resepsi perkahwinan mereka di Lanai@Matic, Kuala Lumpur, Ahad malam. – Foto ROHAIZAT DARUS
“Setakat ini, dua destinasi itu yang berada dalam fikiran kami. Itupun kami terpaksa menyiapkan kerja secepat mungkin dan berunding dengan bos masing-masing agar dapat meluluskan cuti kami,” kata Dira penuh bahagia di samping Helmi dalam majlis resepsi perkahwinan mereka di Lanai@Matic, di sini, Ahad malam.
Anak Dira, Anggun turut bersanding dengan Dira dan Helmi.
Walaupun hujan turun sekejap pada awal majlis berlangsung, Dira tetap bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.
“Saya bersyukur, gembira dan berpuas hati kerana dapat melaksanakan majlis ini dengan baik walaupun kami hanya mengambil masa enam bulan untuk berbincang tentang tempat dan tarikh untuk majlis resepsi ini,” ujarnya lagi.
Dengan bertemakan ‘rock chick’ dan kombinasi warna hitam dan putih, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kembara tujuh buah motorsikal berkuasa besar termasuk yang ditunggang oleh Dira dan suaminya secara berasingan.
Kemeriahan lebih bertambah apabila percikan bunga api turut menyerikan majlis itu setelah pasangan pengantin tiba.
“Idea untuk menunggang motosikal merupakan idea saya dan suami kerana kami mempunyai minat yang sama.
Percikan bunga api memeriahkan suasana majlis perkahwinan itu.
“Sebelum ini, saya pernah menunggang motosikal dengan memakai skirt tetapi apabila memakai gaun labuh pada malam ini agak gementar juga. Sebab itu, saya meminta pereka fesyen gaun ini iaitu Anizam Yussof untuk membuat gaun yang sederhana untuk memudahkan saya untuk menunggang motosikal,” katanya lagi.
Jika ada yang tidak tahu, pasangan ini mula rapat pada tahun lalu ketika sama-sama terlibat dalam penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki dan seterusnya Helmi melamar Dira selepas tiga bulan mengenali hati masing-masing.
Menyentuh tentang kriteria yang ada pada Helmi, Dira akui tertarik dengan karakter suaminya itu yang banyak mengambil berat tentang anaknya, Tengku Anggun Deandra, 4.
“Apabila kami bersama-sama, Abang Helmi akan bertanyakan tentang Anggun dan menerima anak saya seadanya. Saya juga rasa bertuah apabila dia mengatakan sangat menyayangi saya dan Anggun.
Dira dan Helmi selamat diijabkabul pada 11 November lalu di Merlimau, Melaka. – Foto A MALEX YAHYA
“Bukan saya yang minta dia buat semua itu, tetapi dia sendiri yang ingin bina keserasian dan momentum untuk mengambil hati anak saya,” katanya yang turut mendapat kebenaran daripada suami untuk aktif dalam industri seni seperti biasa.
Bagaimanapun, Dira akan cuba menjaga hubungan suami isteri itu dengan baik agar berkekalan sehingga ke akhir hayat mereka.
Sementara Helmi menganggap karakternya dan Dira mudah serasi memandangkan dirinya ibarat air manakala Dira ibarat api.
“Saya memang menyukai kanak-kanak dan sebab itu tidak kekok untuk mengambil hati Anggun kerana saya sudah biasa memanjakan anak saudara sebelum ini. Saya juga menyenangi sikap Dira yang walaupun dia ibarat api, tetapi kami masih boleh bertolak ansur dan mudah untuk menyelesaikan setiap masalah yang berlaku. Secara luaran, memang Dira nampak kasar tetapi dia sebenarnya mempunyai hati yang lembut ibarat dalam hati ada taman,” ujar Helmi yang bersedia untuk mempunyai anak pada bila-bila masa.
Majlis yang dikendalikan oleh wartawan Melodi, Azwan dan Nik itu dihadiri oleh 1,000 tetamu termasuk rakan artis.
Mereka adalah Sharifah Shahira, Ijoy, Nabil (Raja Lawak), Bront Palarae, Sharifah Amani, Fatimah Abu Bakar, Shera Aiyob, Zahiril Adzim dan Riz Ainuddin.