in

Sekitar Majlis Prebiu Filem Sepi

Selepas memikat audiens dengan CINTA, karya layar perak pertamanya, Kabir Bhatia kembali untuk menawan sinema tempatan, menerusi SEPI. Mampukah SEPI mengulangi sejarah filem CINTA?

Pada jam 2 petang, 10 Jun lalu telah berlangsung Majlis Prebiu Filem Sepi di Golden Screen Cinemas, Pusat Membeli Belah One Utama, Petaling Jaya. Selain para media dan pelakon, majlis yang dianjurkan oleh Grand Brilliance Sdn Bhd ini turut menjemput lebih 200 jemputan termasuk para penulis blog dan pengamal new media.

Antara para pelakon filem sepi yang hadir, Afdlin Shauki, Eja, Tony Eusoff, Pierre Andre, Riezman Khuzaimie, Sein, Hafiz dan ramai lagi. Vanidah Imran tak dapat datang. Manakala, Baizura Kahar sudah lama Budiey tidak nampak. Kemana Baizura menghilang?

Selain ucapan daripada pengarah Khabir Bhatia, jemputan juga turut mendengar ucapan daripada Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah.

Ahmad Puad Onah

Beliau berharap kisah cinta di dalam Sepi akan memberi satu pengalaman menonton yang berbeda kepada audiens tempatan.

“Selepas mencipta kejayaan dengan Cinta, dengan penceritaannya yang unik, audiens pasti mengharapkan sesuatu yang lebih baik, setidak-tidaknya pada satu tahap berbeza. Cinta adalah subjek yang universal, yang dikongsi oleh setiap manusia sekaligus menjadikannya cukup relevan, sebagaimana Sepi yang berbicara mengenai harapan, pengorbanan dan pemulihan. Inilah erti sebuah cinta yang cuba disampaikan Sepi.”

Diterbitkan oleh Alternate Studio, sebuah divisyen produksi Grand Brilliance Sdn Bhd (GB), Sepi menyaksikan kolaborasi Ara dan Mira Mustafa dalam penghasilan skripnya selepas kali pertama bergandingan bahu di dalam Cinta yang dinobat Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 tahun lalu.
 
Sepi masih berpaksikan pada tema cinta, tetapi kali ini ia membicarakan mengenai kesepian dalam cinta menerusi perjalanan tiga cerita, berlatar visual hebat dan mainan warna yang menterjemah suasana dan emosi yang dilalui setiap daripada karektornya.

Garapan terbaru Kabir ini nyata memikat audiens yang mengharapkan kelainan dalam penghasilan karya mainstream tempatan, sebagaimana pernah diberikannya menerusi Cinta, sebelum ini.

Khabir Bhatia, Pengarah SEPI

Namun, menurut Kabir, tidak seperti Cinta di mana karektor daripada lima ceritanya tidak berkait secara langsung, kisah di dalam Sepi berpaut antara satu sama lain untuk menjadikannya sebagai satu penceritaan yang sempurna. Bagaimana, katanya, satu insiden memberi kesan kepada kehidupan setiap karektornya.

Kabir berpendapat Sepi sudah mencapai kejayaan awal kerana berjaya memikat pelakon berbakat dan terkenal tanahair seperti Afdlin Shauki, Nasha Aziz, Vanida Imran, Eja, Pierre Andre dan Tony Yusof, Ia juga menampilkan muka baru, Baizura Kahar dan Syed Hussain, bekas anggota kumpulan Ruffedge.
 
Menurut beliau, visual adalah satu lagi aspek yang diberi perhatian dalam setiap karyanya.

“Saya suka bercerita menerusi visual. Saya percaya, apabila seorang penonton pergi ke panggung dan membayar RM10, dia berhak mendapat perjalanan yang penuh rasa dan emosi. Ia haruslah sesuatu yang tidak akan anda perolehi di depan TV.”

 

Pelancaran Album Runut Filem SEPI

Majlis turut menyaksikan album runut filem SEPI yang memuatkan 15 buah lagu yang turut menyelitkan puisi yang dipetik dari cerita Imaan berjudul PUISI SEPI. Puisi yang begitu menyentuh hati ini disampaikan oleh Baizura Kahar dengan penuh perasaan.

Budiey kira banyak lagu yang hits dari Indonesia dan Malaysia dikumpulkan dalam album ini. Antaranya, Kembang Perawan dari Gita Gutawa, Sepi nyanyian Yuni Shara, Cinta Tiada Akhirnya dari Jaclyn Victor, Seribu Tahun dari Imran Ajmain dan Sayang-Sayang dari Aliff Aziz. Sekarang, lagu Sepi menjadi antara lagu kegemaran Budiey. Lagunya sangat sesuai dengan tema filem ini dan begitu membuat kita akur bahawa dalam hidup kita yang penuh dengan kemeriahan ini, kekadang kita akan rasa sepi. Mungkin kerana kita tahu ada sesuatu kekosongan masih lagi menunggu untuk diisi dalam hati.

Kumpulan The Lima juga turut dijemput untuk menyampaikan sebuah lagu mereka berjudul Kau Ada Dia. Mmm, mengapa kumpulan ini suka sangat nyanyi lagu bertemakan cinta tiga segi ya? Oh! Itu kena tanya Edry KRU la ya. Tidak ada kena mengena dengan mereka yang bergerak bertiga.

Pelancaran disempurnakan oleh Ahmad Puad Onah dan wakil dari Sony BMG.

Sepi menceritakan mengenai Adam, seorang chef berjaya yang menyaksikan seorang demi seorang temannya menemui kebahagiaan, tetapi tidak dia sehinggalah kehadiran Ilyana. Namun, ia tidak semudah disangka.

Sufi pula menyalahkan dirinya ekoran tragedi yang mengorbankan nyawa orang tersayang, lalu dia yang tertekan berusaha melarikan diri daripada hidupnya sehinggalah satu hari, dia bertemu Marya yang bagaimanapun, juga ada perkara perlu diselesaikan.
  
Sedang Imaan, gadis misteri yang diminati Ian, pelajar paling popular di kolejnya, berada di persimpangan antara kasihnya terhadap teman lelaki, Khalil dan Ian sehinggalah berlaku sesuatu tidak diduga yang meruntaikan segalanya dalam Sepi.

Sepi dijadual untuk tayangan di seluruh negara bermula 26 Jun ini.

Tony Eusoff

Hafiz

Syed Hussain

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Pensil Lakar Sejarah Filem Paling Singkat Tempoh Pengambaran?

Sekitar Majlis Pelancaran Album Soundtrack Filem I’m Not Single