in ,

Sekitar Majlis Pelancaran Radio Pelancongan TraxxFM

Pada 10 Julai lalu, majlis pelancaran Radio Traxx FM telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan Malaysia Dato Seri Azalina Othman Said bersama Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Chik di Saloma Bistro, Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Gimmick Pelancaran dan Perasmian

Kerjasama antara kedua-dua Kementerian ini di bawah kelolaan RTM telah berjaya melahirkan Radio pelancongan iaitu Radio Traxx Fm. Stesen yang bertemakan Travel & Music ini memperluaskan lagi peranannya bukan setakat menyiarkan lagu-lagu dan berita, tetapi juga mempromosikan pelancongan negara kepada para pendengarnya. Idea penubuhan Radio Pelancongan dicetuskan oleh Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek dengan hasrat mempertingkatkan sektor pelancongan di negara ini.

Stesen radio berbahasa Inggeris kendalian Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bersiaran 24 jam sehari itu bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan untuk memperkenalkan destinasi-destinasi pelancongan negara.Stesen radio itu bersiaran di lokasinya di Matic pada setiap Isnin hingga Ahad dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi dan dari pukul 12 tengah hari hingga pukul 2 petang.

Menteri Pelancongan Malaysia Dato Seri Azalina Othman Said

TraXXfm yang turut dikenali sebagai Radio Pelancongan itu merupakan pendekatan baru RTM dalam mempelbagaikan lagi siaran stesen-stesen radio kendaliannya.

Azalina berkata, beliau amat berbangga dengan tertubuhnya radio Traxx Fm kerana segala maklumat mengenai produk pelancongan dapat disampaikan secara telus dan tepat sambil mendengar muzik

Pelancaran tersebut diisi dengan pelbagai persembahan dari penyampai Radio Traxx Fm bagi memeriahkan majlis di dalam dewan tersebut. Antaranya, persembahan dari DJ Traxx FM, kumpulan tarian daripada SwaTari, Ray dan penyanyi Khatijah Ibrahim.

Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Malaysia, Datuk Kamaruddin Siaraf,

“Secara tidak langsung, rangkaian stesen radio ini menunjukkan bermulanya suatu perubahan dalam bidang penyiaran radio di RTM. Ia juga dihadapkan dapat memantapkan fungsi radio. TraXXfm bukan sahaja akan mempromosikan sektor pelancongan untuk pelancong tempatan tetapi turut memperkenalkannya hingga ke luar negara.”

“Oleh kerana stesen radio ini boleh diikuti siarannya hingga ke Australia, Indonesia, Thailand dan Singapura lalu stesen ini merupakan platform terbaik untuk mempromosikan aktiviti kesenian serta kebudayaan negara.”

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid dan Pengarah Siaran Radio, Keliwon Pajhar.

Penyampai Radio TraxxFM: dari kiri Shaz, Kylie, Constantine, Sheila, Nicky & Mary

Pada majlis itu, TraXXfm turut memperkenalkan barisan penerbit, penyampai dan tenaga di belakang tabir stesen radio berbahasa Inggeris tersebut. Antara penyampai radio TraXXfm yang boleh diikuti menerusi frekuensi 90.3 fm di sekitar Lembah Klang itu terdiri daripada Constantine, Shaz, Sheila, Kylie, Nicky dan Mary.

Perasmian studio mini TraxxFM di ruang selasar menunggu Matic dengan siaran langsung pengenalan TraxxFM dan sedikit temubual bersama YB Menteri Pelancongan dan Menteri Penerangan.

Flagg off teksi dan bas promosi Radio TraxxFM di hadapan mercu tanda MTC.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Malaysia, Datuk Dr. Ong Hong Peng berkata, kerjasama antara kementeriannya dengan Kementerian Penerangan Malaysia itu diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan sesama mereka.

“Kami di dua buah kementerian ini mengambil masa hampir dua bulan untuk menubuhkan Radio Pelancongan. Diharap kerjasama ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara agensi-agensi yang ada di bawah dua kementerian tersebut. Kementerian Pelancongan Malaysia bukan sahaja dapat mempertingkatkan sektor pelancongan negara tetapi TraXXfm juga akan mendapat manfaat mereka misalnya, daripada segi jualan iklan dan sebagainya.”

TraXXfm yang menyasarkan pendengar berusia 30 hingga 30 tahun dengan tag line Travel N Music dan dapat diikuti siarannya di seluruh negara itu menampilkan banyak segmen menarik.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sekitar Pelancaran Album The Best Of Ari Lasso di Planet Hollywood

Profile ALICE NORIN