Pada jam 4.30 petang tadi telah berlangsung Majlis Pelancaran Dan Doa Selamat Memulakan Pengambaran Filem Syurga Cinta di Restoran The Lemon, The Mines, Sri Kembangan.
Selain penerbit Encik David Teo, turut hadir, barisan para pelakon seperti Awal Ashaari, Heliza AF5, pelakon kanak-kanak; Hadziq dan Wazata Zain.
Filem ke-29 terbitan Metrowealth MIG ini dilancarkan dengan tema Islamik dan berunsur keagamaan di dalam acuan kisah cinta remaja masa kini. Ini mengingatkan Budiey dengan filem pertama berjudul Syukur 21 yang juga sebuah filem berunsurkan Islamik.
Skrip Syurga Cinta dihasilkan oleh Panel Skrip MIG berasaskan konsep oleh David Teo dan akan diarahkan oleh Ahmad Idham.
Satu inisiatif yang positif untuk memaparkan tema Islamik sebagai medium untuk memberi pengajaran kepada masyarakat. Cara begini dapat mengimbangi pelbagai medium lain yang dilihat mampu memberikan satu mesej yang positif. Kebimbangan terhadap gejala sosial menjadi salah satu agenda terpenting negara untuk menangani dan usaha MIG ini hanyalah sekadar tempelan untuk menjayakan usaha tersebut.
Syurga Cinta akan mengupas kehidupan dua orang Melayu Islam dengan dua akidah atau pegangan yang jauh berbeza. Seorang lelaki remaja yang mengamalkan gaya hidup barat bertemu dengan seorang gadis yang masih teguh mempertahan keimanan kepada Islam dan nilai-nilai ketimuran.
Ahmad Idham menjelaskan tentang spekulasi filem ini yang digembar-gemburkan di media yang menyamakan filem ini dengan filem Yasmin Ahmad. Menurut Ahmad Idham, sebenarnya filem ini tidak melibatkan sebarang hubungan cinta antara pasangan kekasih berbangsa Cina dengan orang Islam. Ianya tidak menjurus kepada dakwah yang terlalu berat dan ianya memperjelaskan tentang apa itu aqidah yang sebenarnya.
Ahmad Idham sebagai pengarah
Ahmad Idham mahu memaparkan dua kisah dua insan yang berlainan latar belakang dalam sebuah filem cinta. Filem ini lebih menekankan kepada budaya dan gaya hidup remaja dan filem ini akan membawa satu mesej tentang sejauh mana gaya hidup Islam dalam kehidupan remaja. Lebih kepada kesedaran dan pembentukan sakhsiah diri sebagai orang Islam.
Ramai yang kata David Teo sudah tidak berani atau serik untuk menerbitkan filem bergenre Islamik lantaran filem Syukur 21 tidak mendapat sambutan. Bukan serik tetapi menurut David Teo, beliau belum menemui skrip yang bermutu untuk diketengahkan.
Filem ini dilakonkan oleh Awal Ashaari, Fizz Fairuz, Azizah Mahzan dan memperkenalkan bintang Akademi Fantasia Heliza AF5 dan kanak-kanak yang dicungkil bakat melalui siri Tom Tom Bak iaitu Hadziq yang berusia 8 tahun.
Pemilihan pelakon dibuat berdasarkan kesesuaian watak dan kehendak skrip selain menyediakan barisan pelakon pelapis untuk industri filem Malaysia di masa akan datang.