Seramai lebih kurang 3,000 orang peminat telah membanjiri KL Live untuk menyaksikan Konsert Evanescence di Malaysia. Konsert yang bermula jam 8.30 malam ini diadakan bersempena dengan siri jelajah bagi mempromosikan album studio ketiga mereka berjudul, ‘Evanenscene’.
Sebanyak 16 buah lagu telah dipersembahkan pada malam tadi. Antara lagunya ialah What You Want, Going Under, The Other Side, Weight of the World, My Last Breath, Made of Stone, Lost in Paradise, My Heart Is Broken, Lithium, Swimming Home, Sick, Call Me When You’re Sober, Imaginary, Bring Me to Life, Encore Your Star & My Immortal.
Semasa sidang media kumpulan rock terkenal ini di Hotel Hilton tengahari tadi, mereka berkata,
“Ini kali pertama kami di Malaysia dan kami berasa sangat teruja untuk membuat persembahan pada malam ini. Ini satu penghormatan buat kami dan terima kasih kepada semua kerana merealisasikan konsert ini. Kami juga sangat teruja dan tidak sabar untuk berjumpa dengan peminat kami di sini malam ini.”
‘Evanescence’ merupakan album terbaru band dari Arkansas ini selepas enam tahun mereka tidak muncul dengan album. Kali terakhir band yang dianggotai oleh Amy Lee (vokalis), Terry Balsamo (gitaris), Troy McLawhorn (rhythm gitar), Tim McCord (pemain bass) dan Will Hunt (pemain drum) ini muncul dengan album ialah menerusi ‘The Open Door’ pada tahun 2006.
“Sejak dilancarkan pada Oktober tahun lepas, sambutan yang diterima amat baik sekali. Kami berasa bangga kerana peminat masih menerima muzik kami walaupun sudah lama kami tidak muncul dengan album,” ujar Amy sambil mengakui ‘Evanescence’ merupakan antara album terbaik yang pernah dihasilkan oleh mereka.
Ditanya mengapa mereka mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan album baru, Amy memberitahu, “Salah satu sebab ialah kerana saya kahwin. Lagipun, tempoh yang agak panjang ini membolehkan kami menghasilkan lebih banyak karya-karya yang bermutu. Kami bangga album ini begitu dinamik sekaligus membawa muzik kami ke tahap lebih tinggi.”