KEMBARA RAYA TV3 DIHANGATKAN OLEH HOTLINK
Destinasi Pantai Timur Menjadi Tumpuan!
Kembara TV3 sebelum ini mendapat sambutan luar jangkaan apabila ramai pengunjung datang untuk beramah mesra dan menjalankan aktiviti dengan personaliti-personaliti dan artis-artis tempatan. Penjelajahan yang bermula pada bulan Februari lalu telah mengadakan kunjungan pembukaan di Negeri Sembilan disusuli dengan Melaka, Pahang, Perak, Johor Bahru dan Sarawak sebelum berhenti rehat sempena Ramadan dan Syawal.
Bersama-sama dengan rakan penaja Hotlink, Kembara TV3 kini kembali semula dan kali ini lebih istimewa kerana bersesuaian dengan bulan Syawal yang mulia ini dan dalam kemeriahan rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri, Kembara TV3 kali ini muncul dengan ‘Edisi Khas Raya’. Bersempena dengan edisi khas Kembara Raya TV3 ini, TV3 telah memilih negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk bersama-sama meraikan dan merasai kemeriahan Aidilfitri bersama-sama dengan penonton setia TV3 di sana. Kembara 3 hari yang bermula pada 9-11 Oktober itu, bertujuan mengeratkan silaturrahim di samping membawa TV3 dekat dengan penonton, Kembara Raya TV3 meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama-sama penduduk tempatan, menjalankan aktiviti-aktiviti istimewa dan menarik dengan memberi peluang kepada semua untuk beriadah sambil beramah-mesra.
Turut hadir memeriahkan Kembara Raya TV3 ini adalah personaliti TV3 dan artis-artis terkenal tanah air termasuklah Aidid Marcelo, Teh Syuhaida, Maria Tunku Sabri, Ahmad Fedtri Yahya, Wahid Senario, Munir, Fizzo Omar, Almy Nadia, Danny, Fazren Rafi dan Shaz Jazli. Selain beramah mesra dengan personaliti-personaliti dan artis-artis terbabit, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti upacara ‘rewang’ iaitu penyediaan juadah raya secara bergotong-royong, pertandingan, permainan, cabutan bertuah, persembahan dan penyerahan duit raya kepada golongan yang memerlukan.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama, Cik Sherina Nordin berkata, “TV3 bukan sekadar menyajikan program-program yang terbaik dan berkualiti malah kami mempunyai misi untuk terus menghargai penonton setia kami yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat dan peringkat umur. Kembara TV3 merupakan salah satu cara kami mendekati penonton setia kami. Bersempena Hari Raya Aidilfitri, Kembara Raya TV3 tampil sedikit berbeza apabila menemui penonton-penonton kami dalam suasana hari raya. Oleh itu aktiviti utama yang dijalankan sepanjang kembara ini adalah ’rewang’ iaitu penyediaan juadah raya secara bergotong-royong bersama-sama dengan penduduk tempatan di negeri-negeri yang kami lawati. Juadah yang disediakan juga istimewa kerana ianya merupakan juadah istimewa hari raya di negeri-negeri tersebut, iaitu, Gulai Kawah di Kelantan, Laksa Terengganu di Terengganu dan Nasi Dagang dan Laksa Beserah di Pahang. Kami bekerjasama dengan penduduk tempatan menyediakan juadah tersebut sebelum sama-sama menikmatinya pada malamnya. Juadah wajib seperti lemang, ketupat, rendang, kuah kacang dan nasi impit juga turut menjadi hidangan. Selain itu, kami juga berpeluang mengenali dengan lebih dekat lagi keistimewaan yang menjadi tarikan di setiap lokasi ini apabila berpeluang menyaksikan demonstrasi Gasing Terbang di Kelantan, Mencanting Batik di Terengganu dan mempelajari cara tradisional membuat laksa di Pahang.”
“Kami memilih negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk Edisi Khas Kembara Raya TV3 ini kerana negeri-negeri tersebut amat istimewa di hati kami. Kami pernah ke Kelantan dan Pahang sebelum ini dan dari maklum balas yang kami terima menunjukkan penonton-penonton setia kami di sana dahagakan aktiviti-aktiviti seumpama ini. Mereka sangat teruja untuk bersama-sama kami dan mengharapkan agar kami kembali lagi. Kali ini kami perluaskan penjelajahan kami ke Terengganu pula. Selain dari itu, ini juga merupakan kesempatan untuk kami merayakan Aidilfitri bersama-sama mereka dan merasai juadah-juadah istimewa Aidilfitri di negeri-negeri terbabit,” tambahnya lagi.
Kembara Raya TV3 memulakan pengembaraan di Kelantan pada hari Jumaat 9 Oktober 2009 dengan berkunjung ke Padang Awam Selising, Pasir Puteh. Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan bersama-sama dengan penduduk sekitar. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah ‘rewang’ penyediaan juadah raya, permainan ‘telematch’ yang sungguh mencuit hati, seperti Anyam Ketupat, Gelek Mak Inang, Hanuman Pulang Petang, Bowling Kelapa, Tarik Upih dan
Semakin Jauh Semakin Sayang dan sebagainya. Kembara Raya TV3 juga turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada Rumah Orang Tua Gong Anak Nyior, Pasir Puteh. Sumbangan telah disampaikan oleh Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama, Cik Sherina Nordin. Cabutan bertuah bersama dengan pihak penaja Hotlink juga turut diadakan. Pengunjung juga turut dihiburkan oleh kumpulan Sofaz dan Adam. Turut hadir adalah Haji Wan Abdul Aziz b Wan Jaafar, Ketua Jajahan Pasir Puteh.
Kembara diteruskan pada hari berikutnya ke Padang Astaka Jerteh, Besut, Terengganu dan kedatangan Kembara Raya TV3 telah disambut meriah oleh Pegawai Daerah Besut, Haji Wan Mohd Haji Wan Ibrahim dan penduduk tempatan. Aktiviti yang sama juga turut diadakan bersama-sama penduduk tempatan dan di sini Kembara Raya TV3 telah menyampaikan sumbangan duit raya kepada Pondok Nurul Sa’adah Tok Dor dan Biro Asrama PERKAYA Daerah Besut. Kembara Raya TV3 juga turut berkesempatan melihat demonstrasi mencanting batik oleh penduduk tempatan.
Sebelum pulang, Kembara Raya TV3 singgah ke Kg. Pantai, Beserah, Kuantan Pahang pada Ahad, sebagai destinasi terakhir Kembara Raya TV3 yang menyaksikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Dato’ Wan Adnan Wan Mamat turut turun padang menyambut kedatangan rombongan. Selain menjalankan aktiviti-aktiviti bersama-sama para pengunjung, ahli Kembara Raya TV3 juga turut berpeluang mempelajari cara tradisional memasak makanan istimewa musim perayaan penduduk di sana iaitu Laksa Beserah. Sumbangan duit raya juga turut disampaikan kepada Pondok Seri Nilam Cahaya Balok Kuantan.
Selepas ini, Kembara TV3 akan kembali menemui penduduk-penduduk di Parit Buntar, Perak pada 22 Oktober 2009 dan Kepala Batas, Pulau Pinang pada 23 Oktober 2009. Jadi, nantikan kemunculan mereka di tempat anda!!!