in

SEKITAR KEM REMAJA 2008 ANJURAN TV3

108 PELAJAR SELURUH MALAYSIA
SERTAI KEM REMAJA 2008 ANJURAN TV3

Petaling Jaya, 23 Disember 2008 – Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) sekali lagi menganjurkan Kem Remaja untuk kali yang ke – 10 di Warisan Sembilang Resort, Kuala Selangor pada 15 Disember hingga 18 Disember 2008. Program yang diadakan sempena musim cuti sekolah ini disertai oleh 108 pelajar dari seluruh Malaysia berusia dari 7 hingga 18 tahun. Kem Remaja yang mula dianjurkan pada tahun 2004 ini telah diadakan di beberapa lokasi serata Malaysia seperti Kedah, Perak, Johor Bahru dan Selangor.

Kem Remaja merupakan inisiatif TV3 untuk memberi peluang kepada remaja meluangkan masa lapang di musim cuti sekolah selain memberi peluang kepada para remaja untuk merasai pengalaman yang berbeza dari  suasana pembelajaran di dalam darjah. Ia juga merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial TV3 untuk menyediakan aktiviti yang berfaedah untuk menjana minda dan membina siasah diri yang kental.

Objektif Kem Remaja 2008 dianjurkan ialah untuk menggalakkan penglibatan remaja meluangkan masa lapang ke arah aktiviti yang sihat dan berfaedah. Ia juga sebagai platform untuk remaja meningkatkan kecerdasan minda, keyakinan diri para remaja melalui penglibatan dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang, dapat berinteraksi bersama rakan-rakan baru dan belajar hidup dalam bermasyarakat.

Antara aktiviti menarik yang telah berlangsung selama tiga di Kem Remaja ini ialah Jungle Survival, Management Game, Corporate War Game, Flying Fox dan juga taklimat daripada fasilitator berpengalaman, Fua’ad Rahman. Modul yang dibekalkan kepada para pelajar ialah bagaimana menjadi pemimpin teladan, menyemai wawasan untuk meninjau masa depan, meneroka cara baru untuk mengintai peluang dan risiko dalam kehidupan, memupuk kerjasama dan semangat berpasukan serta menghargai sumbangan orang lain. Modul dan aktiviti yang dirancang sesuai dengan umur dan tahap minda para pelajar untuk diadaptasi dalam kehidupan seharian mereka.

Apa yang lebih istimewa, seramai 6 anak-anak Bersamamu telah dipilih untuk menyertai Kem Remaja ini. Menurut salah seorang daripada mereka yang aktif menyertai kem anjuran sekolahnya, Nur Ellytiny Dzulkefpely, “Walaupun saya sering menyertai kem pelajar seperti ini, namun ini merupakan pengalaman kerana cara pendekatan yang dianjurkan oleh Kem Remaja TV3 ini berbeza di mana mereka melayan peserta seperti orang dewasa. Oleh itu, kami merasa bebas tanpa kawalan ketat namun kami tidak mengambil kesempatan dengan bertindak di luar kawalan. Saya merasa lebih seronok kerana dapat berkenalan dengan kawan baru malah mereka melayan saya seperti biasa dan tidak menilai kekurangan keluarga saya walaupun mereka dikalangan anak orang berharta.”

Manakala menurut Raihana Aqilah berusia 11 tahun, perasaan gementar ketika menjejakkan kaki di Warisan Sembilang Resort ini hilang apabila dapat berkenalan dengan faisilitator dan rakan sebilik. Raihana pada mulanya beranggapan akan merindui keluarga apabila terpaksa bermalam selama 3 hari sepanjang tempoh kem ini  tidak merasa kesunyian kerana 108 peserta yang lain melayannya seperti keluarga dan mula memupuk keakraban sesama peserta.

Mohd Hizqil b Fathoriahman mengeksperikan kegembiraanya mempelajari pelbagai perkara baru ketika mengikuti kem ini seperti belajar mendirikan khemah, mencipta model kereta dan memasak menggunakan peralatan ringkas tidak seperti yang selalu digunakan di dapur. Peserta berusia 13 tahun ini berharap dapat mengikuti Kem Remaja yang dianjurkan oleh TV3 lagi di masa akan datang memandangkan modul yang dibekalkan tidak terlalu berat dan santai.

Mengulas mengenai Kem Remaja kali ke -10 ini, Penyelaras Kem Remaja 2008, Marwatif Amer menjelaskan “Menyediakan modul, aktiviti dan pengisian yang berbeza bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi memberikan sesuatu yang baru kepada pelajar yang sudahpun menyertai kem ini di tahun-tahun sebelumnya. Namun, segala perancangan dijalankan dengan rapi dengan adanya tenaga pengajar dan fasilitator yang berpengalaman. Melihatkan keseronokan dan gelagat mereka serta perubahan sikap dari seorang yang pasif menjadi aktif merupakan kepuasan kepada kami kerana ia membuktikan objektif kami tercapai.”

Tambah beliau lagi, “Di samping itu, para pelajar juga berpeluang untuk melihat sendiri kerja-kerja penerbitan dilakukan dengan menyaksikan bagaimana tenaga produksi menjalankan pengambaran. Secara tidak langsung ia dapat memupuk minat di kalangan pelajar untuk mendalami bidang penyiaran. Melihat daripada maklum balas positif yang diterima, pihak kami membuat perancangan untuk terus menganjurkan Kem Remaja sewaktu musim sekolah ke lokasi yang lebih menarik seperti di Sabah ataupun Sarawak.”

Para penonton setia TV3 boleh menyaksikan rakaman selama setengah jam pengalaman para pelajar di Kem Remaja 2008 menjalankan aktiviti di Warisan Sembilang Resort, Kuala Selangor yang akan disiarkan melalui program Wanita Hari Ini, hari Jumaat, 26 Disember 2008 jam 12.00tengahari menerusi siaran TV3.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

PENSTRUKTURAN RTM MENGHADAPI DUNIA PENYIARAN ERA DIGITAL

ALBUM TERBARU DAFI – SEUMUR HIDUP