Karnival Raudhah Di Hatiku telah berlangsung di Perkarangan Kompleks Beli Belah Amanjaya, Sungai Petani selama dua hari Jumaat dan Sabtu (23 – 25 April 2015) lepas. Sejak penjelajahannya yang pertama di Ipoh, Perak (April) dan diikuti Kelantan (September), sambutan acara mega ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga mencecah lebih 150,000 orang pengunjung termasuk dari negeri-negeri jiran Kedah Darul Aman dan selatan Thailand.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar:
“Raudhah Di Hatiku Kedah Darul Aman ini telah berlangsung dengan jayanya apabila 150 000 orang jumlah pengunjung telah membanjiri tapak karnival ini, menandakan satu permulaan yang baik sebagai lokasi pertamanya. Dengan sambutan yang sebegini rupa, telah membuktikan bahawa acara Raudhah Di Hatiku ini menjadi semakin sebati dengan masyarakat kita. Pihak kami berterima kasih dengan sokongan yang diberi daripada penyokong setia TV9 dan seluruh masyarakat Kedah. Harapan kami agar dapat berjumpa lagi pada masa akan datang.”
150 000 MENGUNJUNGI ‘TAMAN SYURGA’ AMANJAYA, SUNGAI PETANI
Penjelajahan Raudhah Di Hatiku ini telah bermula dengan Program Tanggungjawab Sosial Korporat TV9 di Perkarangan Masjid Seri Jerai, Gurun pada hari Khamis, 23 April 2015. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di sini adalah bergotong-royong membersihkan kawasan tersebut seperti mengecat tembok, pagar dan dinding, memotong rumput serta membaik pulih tandas. Sumbangan berbentuk kelengkapan masjid dan dapur turut di hulurkan, di samping cenderahati kepada peserta gotong-royong. Program ini turut diisi dengan sesi motivasi bersama Finalis Da’I, bengkel penjagaan gigi Persatuan Doktor Gigi, demonstrasi memadam kebakaran Pasukan Bomba dan Penyelamat, serta pameran gerai oleh agensi kerajaan. Turut memeriahkan program ini adalah YB Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan YB Dato’ Dr Leong Yong Kong, Exco Alam Sekitar, Hal Ehawal Masyarakat Cina, Kesihatan Dan Perpaduan Negeri Kedah.
Suasana karnival Raudhah Di Hatiku telah dimeriahkan dengan pelbagai gerai. Antaranya, Bazaar Raudhah Raudhah Di Hatiku menghimpunkan puluhan usahawan kecil untuk menjual pelbagai barangan dan produk terkini.
Raudhah Di Hatiku 2015 memberi kelainan berbanding daripada tahun-tahun lepas. Antaranya gerai Bananana! Land kini sudah bergabung dengan WOW BAG Booth yang menawarkan pelbagai permainan dan kuiz bersama adik cilik. Aktiviti menarik disediakan di bahagian Bananana Squad Campsite. Adik cilik kita dialu-alukan untuk menyertai slot memasak ‘What’s Cooking?’ dan slot seni kraftangan kreatif, ‘Do It Yourself (DIY)’. Wow Bag Booth pula menjual koleksi cenderahati eksklusif dari semua rangkaian televisyen dan radio Media Prima Berhad seperti TV3, TV9, ntv7, 8TV, Bananana!, HOT FM dan Tonton. Kehadiran gerai ini bersama Bananana Land ini turut memeriahkan suasana dengan ‘Sesi Eksklusif Wow!’. Barangan terhad eksklusif Raudhah seperti Sling Bag, Baju-T lengan panjang, dan Lanyard turut dijual dengan kadar yang pantas!
Skrin di 9 adalah sebuah gerai yang baru berbanding tahun lepas, menyediakan slot tayangan eksklusif drama TV9 terkini. Pada hari Jumaat, 24 April, gerai ini telah menayangkan Drama slot Ratu, Ayuni Safira episod 4 dan pada hari Sabtu adalah Drama Ayuni Safira episod 5. Drama lain yang turut ditayangkan adalah Dunia Generasi Baru, episod 3. Episod – episod ini ditayangkan kepada khalayak umum buat kali pertama secara eksklusif sebelum ditayangkan ditelevisyen. Gerai ini juga membawa barisan pelakon Drama Dunia Generasi Baru seperti Fadlan Hazim, Ben Amir, Erwin Dawson, Kaka Azraff & Zahirah Macwilson .
Raudhah Booth merupakan gerai utama di Raudhah Di Hatiku. Istimewanya gerai ini adalah gerai ini membawakan siaran langsung program Tanyalah Ustaz menampilkan Ustaz Amran Yusoff. Pentas utama ini telah menampilkan persembahan akustik Raudhah oleh Taleeb Mizad. Raudhah Booth juga merupakan pentas utama untuk siaran langsung rancangan Nasi Lemak Kopi O dan rakaman rancangan Tanyalah Ustazah yang menampilkan panel terkenal seperti Ustazah Dr Nadzirah. Pada sebelah malam pula, Jumaat (24 April), gerai ini memperkenalkan slot Diskusi Raudhah, sebuah forum yang membincangkan tajuk ‘Sebelum Anak Derhaka’ bersama Ustaz Amran Yusoff, Ustazah Dr. Nadzirah & Da’i Azam. Manakala, hari Sabtu pula, gerai ini telah mempersembahkan Akustika Raudhah, sebuah persembahan akustik yang menampilkan barisan artis seperti Lah Ahmad, Lan & The Typewriter, Drama Band & Taleeb Mizad.
Gerai terakhir yang menjadi kegemaran ibu-ibu dan penggemar memasak adalah Booth Selera. Menepati dengan nama gerai ini, aktiviti dan tarikan utama gerai ini adalah perkongsian menu masakan bersama tukang masak tersohor, Chef Zaida dan Chef Kamarul. Namun gerai ini masih mengamalkan gaya hidup sihat dengan segmen Jom Sihat.
Para muslimah pula berkesempatan untuk mengunjungi booth yang dikhaskan hanya untuk wanita iaitu Booth Lin Nisa’. Temui personaliti-personailiti Raudhah Lin Nisa’ seperti Faatin Akib, Bella Yunus, Ameera Zaini, dan Ustazah Nadzira dan berkongsi pelbagai ilmu secara langsung. Para pengunjung dapat memperoleh tips-tips berfesyen yang mengikut shariah Islam didalam sesi Hijab Tutorial, dan sesi Make-over, selain itu, barisan personality turut berkongsi pengalaman penghijrahan didalam sesi Sharing Moments. Shiha Mentor turut membuat persembahan alunan muzik islamik dalam sesi Akustika @ Lin Nisa;. Segalanya yang terbaik untuk para muslimah hanya di booth Lin Nisa’
Layari laman sesawang rasmi TV9 di www.tv9.com.my serta laman sosial Facebook dan Twitter untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini berkenaan Raudhah Di Hatiku. Kongsi sebarang komen dan gambar di laman sosial Twitter dan Instagram di @TV9Malaysia menggunakan tanda pagar #raudhahdihatiku.