ULANGTAHUN KE LIMA TV9 DIRAIKAN BERSAMA PENONTON
Penonton merupakan aset paling berharga buat kami di TV9. Susunan program menarik yang disediakan setiap hari juga pastinya tidak mencukupi buat penonton setia kami seperti anda semua. Oleh itu, untuk kepuasan penonton kami yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat terutamanya penonton sasaran kami yang terdiri daripada para remaja, kami di TV9 telah menganjurkan Ekspresi Remaja.
Ekspresi Remaja yang dianjurkan oleh TV9 dengan kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta (IPTA/IPTA) merupakan projek acara padang pertama diadakan khusus buat golongan remaja. Ianya juga diadakan bersempena dengan ulang tahun TV9 yang kelima dan merupakan hadiah penghargaan kami kepada penonton daripada golongan remaja yang sentiasa memberi sokongan kepada kami.
Management & Science University (MSU / Universiti Pengurusan & Sains), Shah Alam merupakan institusi pengajian tinggi pertama kami bagi menganjurkan Ekspresi Remaja ini. Acara yang diadakan pada 20 April 2011 (Rabu) bermula dari jam 12.00 tengahari dan berakhir pada 6.30 petang dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan bersesuaian dengan citarasa remaja dan pelajar.
Menurut Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin, “Ekspresi Remaja ini bermatlamat untuk mendekatkan stesen TV9 dengan para pelajar IPTA dan IPTS. Menerusi acara ini, kami juga mengadakan Open Mic Jam bertujuan untuk para remaja mengekspresikan diri mereka secara kreatif, menjana idea-idea yang lebih imaginatif dan inovatif serta meningkatkan keyakinan diri. Bukan itu sahaja, mereka juga boleh menggabungkan kegiatan harian sebagai seorang pelajar sambil beriadah secara sihat dan positif. Pada masa yang sama, kami juga turut memperkenalkan program terbaru kami yang amat bersesuaian dengan para remaja masakini iaitu Remaja dan Remaja Ekstrem.”
“Kami juga turut menjemput dua penghibur terkenal tanah air iaitu Hujan dan Aizat untuk mengadakan satu mini konsert khas untuk pelajar MSU yang bermula pada pukul 5 petang. Para pelajar juga boleh menggunakan peluang keemasan ini untuk belajar cara-cara menggunakan gitar bersama Noh Hujan. Pengenalan kepada alat muzik ini sekurang-kurangnya dapat memberi ilmu pengetahuan yang mendalam tentang unsur-unsur seni dan meningkatkan penghayatan nilai estetika”, tambahnya lagi.
Bagi pelajar yang mempunyai bakat terpendam dalam bidang muzik, mereka telah menggunakan peluang ini untuk mengetengahkan kemahiran mereka kepada orang ramai dalam Open Mic Jam yang berlangsung pada pukul 12 tengahari hingga 5 petang. Sebanyak 15 kumpulan band yang terdiri dari pelajar MSU sendiri telah berentap di atas pentas untuk merangkul gelaran juara yang telah menjadi pembuka persembahan untuk Konsert Mini Hujan & Aizat serta membawa balik sijil dan wang tunai RM1000.
Selain daripada itu, para pelajar MSU juga berpeluang untuk mengunjungi booth (khemah) yang disediakan seperti Remaja dan Saffiya di mana pelbagai aktiviti dan permainan sambil beramah-mesra bersama personaliti TV9, Rina Salleh (juara Gadis Melayu 3), Liyana (Pengacara Saffiya), Azura (Remaja), E-One (Remaja) dan Deq Wan (Remaja Ekstrem). Penggemar fesyen Muslimah pula boleh berkunjung ke booth Safiyya yang menunjukkan demonstrasi lilitan selendang terkini dan pertunjukan pakaian moden Muslimah.
Ekspresi Remaja akan meneruskan pengembaraannya ke institut pengajian tinggi tempatan yang lain pada masa hadapan. Nantikan kedatangan Ekspresi Remaja di institusi anda !
Lima tahun TV9 Di Hatiku!