Manusia. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Sukar bagi kita untuk membaca persepsi orang terhadap kita. Walaupun tidak pernah mengganggu dan mencampuri urusan orang lain, namun ada juga yang tidak senang dengan hidup kita. Inilah yang dialami oleh pelakon dan juga usahawan, Aeril Zafrel apabila mendakwa dirinya sekeluarga menerima hantaran ilmu sihir dari seseorang.
Pelakon dan usahawan terkenal Aeril Zafril, menerusi satu foto yang dimuat naik di laman Instagramnya memaklumkan dia dan keluarganya ‘dipercayai’ telah disihir oleh seseorang individu. Namun, sihir tersebut dapat diselamatkan menerusi bantuan individu yang mahir dalam bidang tersebut.
Melalui kemas kini tersebut, Aeril menunjukkan tiga bentuk objek seperti ‘patung manusia’ dengan kepala berlubang di tengah sementara terdapat ukiran yang tidak difahami pada bahagian ‘badan’.
“Setiap orang ada ujian, cubaan dan dugaan masing-masing. Hanya dengan pertolongan ALLAH sahaja segalanya dipermudahkan jalan keluarnya dan mampu dihadapi dengan tenang.
“Begitu juga dengan saya, Alhamdulillah …. ALLAH hantarkan bantuannya menerusi orang yang arif – saya dan keluarga terselamat daripada permainan ilmu sihir ‘seseorang’ baru-baru ini,”
Tidak berakhir di situ, dia juga mengajak individu yang tidak berpuas hati dengannya untuk bersemuka secara berdepan dan sanggup memperbaiki kesalahan yang telah dilakukan olehnya. Bahkan, dia turut berserah kepada Allah S.W.T. dengan ujian yang menimpanya ini.
Bersama pendedahan yang mengejutkan itu, Aeril menyampaikan permohonan maaf sekiranya banyak membuat silap tanpa disedari sehingga menyinggung perasaan pihak lain sehingga mengambil langkah melakukan percubaan sihir terhadapnya.
Setelah meminta maaf, dia juga mengatakan telah memaafkan pihak yang berniat tidak baik kepadanya. Selain menyerahkan segala urusan kepada Allah, dia juga mengajak pertemuan empat mata bersama pihak yang berasa sakit hati dengannya.
“Sejujurnya saya memaafkan perbuatan aniaya ‘pihak itu’ kepada saya. Selebihnya saya serahkan pada ALLAH Rafiqul A’la. Semoga bertaubat dengan sesungguhnya.
“Sekiranya masih ada lagi rasa tidak puas hati atau ingin melampiaskan amarah atau menegur kesilapan saya – marilah bertemu secara nyata dan insyaALLAH saya akan berlapang dada untuk mendengarnya dan membetulkan apa jua kesalahan saya jika ada.
“Saya mohon ampun maaf pada semua. Saya serahkan diri saya, isteri dan anak2 kepada sebaik-baik tempat berlindung dan perlindungan Yang Maha Menyelamatkan – ALLAHhu Robbi,” akhirinya.
Suami Wawa Zainal itu bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana dia menemui objek khurafat dan siapa yang membantunya ‘mengesan’ dirinya dan keluarga hampir terkena sihir.
Perkongsian Aeril itu disambut dengan doa dari pengikutnya agar mereka sekeluarga terus dilindungi dari anasir jahat itu.
Antara komen yang menarik perhatian ialah dari pelakon Fendy Bakry yang mendakwa dirinya pernah sakit beberapa tahun lalu akibat perbuatan sihir.
Minta dijauhkan, Allahuakbar.