in

Sejarah Di Sebalik Cerita Lembing Awang Pulang Ke Dayang

Jajahan Padang  

Padang ialah salah sebuah jajahan yang tertua di negeri Johor. Pada zaman Kerajaan Melayu Melaka berkembang kuasanya, Muar telah  sedia ada. Tetapi nama “Padang” belum tersebut lagi.  Pada zaman dahulu nama “Bandar Maharani”, Muar itu hanya dikenal dengan sebutan “Teluk Dalam”, iaitu  kawasan sekarang di sekitar pasar bandar Muar. Pada masa itu juga Kesang dikenali dengan nama  “Beringin Songsang”.

Di sebelah hulu Muar pula, iaitu  Pagoh, Kota Buruk dan Biawak Busuk juga telah wujud sebelum Kerajaan Melayu Melaka terdiri, iaitu kira-kira antara TM 1300-1400.   Sebaliknya nama “Padang” yang bersejarah itu mula dinamakan “Padang”, apabila berlaku kebakaran pada jajahan itu selama beberapa hari sehingga menjadi padang terkukur.  Pada masa itu Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah yang  memerintah “Padang”. Semenjak kejadian tersebut jajahan itu disebut orang “Padang”.   

Pembukaan Padang   

Setelah Kerajaan Melayu Melaka dirobohkan oleh orang Portugis pada TM 1511, jajahan Padang dengan sendirinya termasuk di bawah pemerintahan Kerajaan Melayu Johor dengan  pusat pemerintahan yang sentiasa berpindah-randah, sekejap di Kampar, Johor (Hulu Johor) dan sekejap di Riau.  Pada zaman Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (Sultan Johor XII) memerintah Kerajaan Johor (TM 1717-1760), Padang diperintah oleh Tun Aris yang akhirnya bergelar “Orang Kaya Aris” dan berpenghulukan Penghulu Pabitah.

Menurut sejarah dan salasilah teras pembesar yang memerintah dan berkuasa di Padang dan masih ada dalam simpanan warisnya hingga  sekarang,   Orang Kaya Aris ialah cicit kepada Raja Champa (Bugis), iaitu Orang Kaya Aris bin Sulaiman bin Rapa Muhammad bin Seriwa bin Raja Champa.

Penghulu Pabitah itu pula ialah seorang daripada ahli majlis raja-raja Bugis.  Kedua-duanya (Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah) telah keluar dari negeri Bugis ke Melaka lebih kurang pada masa yang sama dengan anak-anak Raja Bugis (Raja Luwok) berlima saudara, iaitu Daeng Parani, Daeng Marewa, Daeng Manambong, Daeng Chalak dan Daeng Kemase keluar dari negeri Bugis ke Tanah Melayu dan Sumatera.  Dari Melaka, bersama-sama orang Bugis dan orang Melayu Melaka mereka datang dan membuka jajahan Padang.  Oleh sebab itulah sehingga sekarang kebanyakan penduduk sekitar Padang adalah daripada keturunan Bugis dan Melayu Melaka.

Selain daripada dua golongan yang menjadi tonggak atau teras Padang, iaitu golongan  Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah, ada satu lagi golongan  yang telah datang memerintah tidak jauh daripada jajahan Padang, iaitu golongan Daeng (Temenggung) Ahmad.  Daeng Ahmad yang memerintah di Bukit Mor Parit Jawa  juga daripada keturunan Raja Bugis, iaitu Daeng Ahmad bin Daeng Abd. Rahman bin Sintar Pulah bin Daeng Perpatah bin Indera Parma.  Daeng Perpatah pernah tinggal  di Melaka dan mendapat gelaran “Orang Kaya Patah” bersama-sama  dengan angkatan orang-orang Melayu berperang mempertahankan Melaka daripada serangan orang-orang Portugis pada TM 1511.  Akhirnya mereka berundur bersama-sama Sultan Mahmud Shah.  Cicit kepada Daeng Ahmad telah meninggalkan Bugis dengan sebuah padewa perahu besar Bugis menuju ke Bulang, Riau  untuk berjumpa dan bersahabat dengan  pemerintahnya yang bernama Temenggung Abd. Rahman (moyang kepada Sultan Johor sekarang).  Dari Bulang Daeng Ahmad belayar ke Batu Pahat dan ke Bukit Mor, Parit Jawa lalu memerintah di sini.  Pada masa itu, Padang telah lama dibuka  dan diperintah oleh  Orang Kaya Aris serta Penghulu Pabitah.

Patut diingat, ketiga-tiga teras Padang ini ada campur tangan yang memberikan khidmat baktinya kepada Kerajaan Johor untuk menghapuskan huru-hara yang dilakukan oleh perompak lanun sekitar Tanjung Tohor, Kuala Batu Pahat, Selat Kukup dan pulau-pulau di selatan Singapura.  Akhirnya Daeng Ahmad yang memerintah Bukit Mor meninggal dunia kerana sakit di laut.  Jenazahnya telah dikebumikan di Pontian Besar.

Menyimpan Kesusasteraan dan Sejarah Lama 

Hingga sekarang di sekitar kawasan Parit Bakar dan Parit Jawa ada menyimpan kesusasteraan dan sejarah lama yang indah-indah dan mengghairahkan.  Penduduknya sejak zaman berzaman telah biasa hidup berketua, bermasyarakat, bergotong-royong  dengan hidup dikandung adat dan mati dikandung tanah serta  mempunyai upacara yang diwarisi turun-temurun.  Oleh itu tidak hairanlah  jika penduduknya hingga  sekarang, terutama di kalangan angkatan tua  masih lagi mendendangkan beberapa buah pantun dan  syair yang bernas, padat serta elok bentuknya.  Pantun dan syair ini  dipusakai daripada ibu bapa dan datuk nenek mereka.

Antara anak jati atau teras Parit Raja yang masih menghidupkan amanah pusaka kesusasteraan  yang berbentuk puisi lama itu, ialah Tuan Hj. Abd. Hamid bin Ithnain bin Wahad.  Tuan Hj Abd. Hamid ialah seorang pawang Melayu Parit Raja yang  berumur hampir 80 tahun.  Menurut beliau,  penduduk Parit Raja dan Parit Bakar dahulu  kuat azam apabila berkehendakkan sesuatu benda, hendak menang perjuangan dan hendak berjaya dalam sesuatu pekerjaan yang sukar.  Maka di kalangan orang  tua-tua telah menggubah beberapa rangkap syair dan pantun yang menarik dan  bernilai. Satu daripada pantun itu ialah: 

“Nyior gading tinggi mahligai,

Sayang ketupat berisi inti;

Hancur daging tulang bercerai,

Belum dapat tidak berhenti.” 

Selain daripada ini, Orang Kaya Jusoh (Orang Kaya Parit Raja yang pertama) telah berpesanan kepada orang ramai supaya bersabar, bertenang dan jangan membuat rusuhan di mukimnya.  Mereka dikehendaki berkhidmat dengan  tulus ikhlas untuk kemajuan dan kemakmuran Padang pada amnya. Mari kita renungkan sebuah dari pusakanya itu:   

“Jangan mengamuk jangan merusuh

Jangan disebut sial celaka

Siapa mengamuk siapa merusuh

Dikutuk Allah ditimpa bala.”    

Pada zaman Orang Kaya Ringgit (anak Orang Kaya Jusoh) menjadi Orang Kaya di Parit Raja, anak buahnya telah memuji-muji kekuasaan, kebesaran dan kekayaan Orang Kaya itu dengan serangkap syair:

“Zaman Tok Kaya Ringgit * Badannya kecil lagi pendek

Perintah ia tiga ruang parit * Pakai pedang jalan mengeret.” 

Menurut Tuan Hj. Abd. Hamid lagi, iaitu yang didapatinya daripada orang-orang tua dahulu, Sultan Abu Bakar Johor selalu datang ke rumah Orang Kaya itu. Baginda telah berkahwin dengan salah seorang daripada kerabatnya yang bernama Cik Timah (Fatimah).  Penduduk Parit Bakar dan Parit Raja pada masa itu  kebanyakanya  senang-lenang dan kaya-raya hidupnya.  Sebab itu mereka beramai-ramai  telah memuji  kebesaran Sultan Abu Bakar dan kebahagian Cik Timah.  Di antara puji-pujiannya ialah:  

“Batu Pahat sungai Sarang Buaya,

Tiga dengan Parit Raja;

Orang besar daulat Seri Maharaja,

Orang miskin jadi kaya.”      

Nama Batu Pahat, Sarang Buaya dan Parit Raja selalu dijadikan pembayang atau penimbang dalam pantun kerana pada zamam itu, ketiga-tiganya tempat tersebut terkenal dan mashyur.  Di sini juga ramai penduduknya dan banyak hasil mahsulnya.  Ramai antara mereka yang  menjadi orang kaya, penghulu, ketua kampung.  Mereka yang dahulunya susah penghidupannya kini menjadi senang-lenang dan kaya-raya.

Tuan Hj. Abd. Hamid itu sebenarnya daripada keturunan jati tetapi telah bermukim di Parit Raja semenjak datuk neneknya lagi.  Wahad, nindanya datang  berkampung di Parit Raja dari Kelang bersama-sama Raja Mahadi yang berperang saudara melawan Tengku Kudin kerana berebutkan takhta Kerajaan  Selangor.  Ithnain, bapa beliau pula pernah beberapa tahun lamanya berkhidmat sebagai pengangkat  tepak sireh Sultan Abu Bakar semasa baginda  berangkat  ke Parit Raja dan Parit Bakar.  Beliau juga biasa bersama-sama dengan Orang Kaya Bakar pergi berperang di Lenga dan Jementah.

Selain daripada kesusasteraan lama, Parit Raja juga terkenal kerana mempunyai banyak dongeng atau sejarah yang  indah-indah.  Disebabkan tempat-tempat ini terkenal sebagai tempat yang tertua di Johor, maka hingga sekarang masih terdapat beberapa buah keramat.  Antara yang terkenal ialah Keramat Tok Imam dan Keramat  Mat Piah di Parit Raja Laut serta Keramat Lidah Hitam di Parit Sakai.

Parit Raja juga ada menyimpan sebuah riwayat tragedi yang sangat menyedihkan, iaitu “Kurang Sa (Satu ) Seratus Terbunuh” atau lebih dikenali dengan sebutan “Lembing Awang Pulang ke Dayang.” Peristiwa ini berlaku kira-kira 200 tahun yang lalu, iaitu pada  zaman Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah  memerintah jajahan Padang.  Ceritanya mengenai soal pertunangan dan  perkahwinan,  serta  adat yang diadat-adatkan, maka  sebatang lembing pusaka telah meminta korban darah lalu kurang sa seratus orang terbunuh.

Hendak mengetahui lebih jelas gambaran cerita yang sangat ngeri dan menyedihkan itu, silalah tatap isi kandungan buku ini selanjutnya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Saroja dan Pachaikiki Muthucharam di TV2

Program TV Sempena Deepavali di TV2