Malah menerusi kempen diperkenalkan dengan mengetengahkan deretan artis tempatan seperti Kilafairy, Nora Danish, Nelydia Senrose dan terbaru Amyra Rosli, jenama
itu terus menambat hati ramai penggemar bawal kain kapas.
Melihat kepada angka jualan semasa, sasaran untuk menjual dua juta tudung bukan sesuatu yang mustahil.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MINAZ Hijab, Hafiza Abd Hamid atau lebih dikenali dengan nama Pija MINAZ berkata mereka terus optimis memberikan variasi pilihan tudung mampu milik dengan kualiti premium kepada golongan wanita.
“Kami tidak pernah berputus asa memberi yang terbaik kepada penggemar dan pecinta legasi jenama ini.
“Koleksi tudung bawal ‘cotton’ harga ‘rakyat’ berharga RM29 sahaja ini masih berkualiti tinggi dengan pembungkusan setanding jenama premium.
“Pada masa sama, kami masih tegar meneruskan usaha bagi mencapai misi membantu lebih ramai suri rumah dan keluarga menjana pendapatan tambahan serta bangun meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya yang sudah membantu lebih 4,000 ejen dan stokis seluruh Malaysia.
Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut 10 Julai depan, jenama ini terus memperkasa pengaruh dan legasinya dengan mengetengahkan koleksi MINAZ Blooming Adha 2022, Kembara Cinta.
Pelakon dan pengacara jelita, Amyra pula dipilih menjadi wajah wakilan kempen terbabit.
“Ia akan dilancarkan pada 25 Jun ini jam 8 malam di www.minaz.com.my dan boleh dibeli dengan stokis serta ejen berdaftar seluruh negara.
“Inspirasi diambil dari negara Timur Tengah melalui kembara saya ke negara seperti Turki, Mekkah dan Madinah. Istimewanya koleksi ini dilengkapi dengan perincian utama yang diambil daripada bentuk struktur dan monumen di negara berkenaan yang digabungkan bersama bunga – bungaan melalui persekitaran dan suasana di sana.
“Pemilihan warna juga dipilih seiring dengan persekitaran di Timur Tengah yang lebih ‘earthy’ dan semulajadi. Koleksi kali ini juga hadir dalam edisi sedondon untuk ibu dan anak atas permintaan ramai,” katanya.
Memilih Amyra, jenama ini optimis dengan hala tuju dan konsep dipersembahkan.
“Kini, pertaruhan wajah dan personaliti Amyra pula dilihat bertepatan dengan konsep Kembara Cinta.
“Wajah manis ketimuran dimilikinya menambah pesona sisi kesopanan dan kesantunan.
“Koleksi diketengahkan kali ini juga lebih berkonsep semula jadi dan lakaran motif bunga luar kotak daripada kebiasaan,” katanya.
Sementara itu, Amyra pula menganggap rezeki disunting jenama terbabit sebagai hadiah bermakna.
Selepas kesihatan diri sendiri diuji gara-gara penyakit misteri, emosi isteri kepada Amar Baharin ini berlarutan terganggu apabila anak keduanya, Ayra Aryssa diuji penyakit keradangan saluran darah dikenali dengan nama Kawasaki.
“Di sebalik semua kepahitan dan pergelutan itu, saya beroleh kemanisan. Dalam kesibukan mengacara Nona dan memberi tumpuan keluarga, saya yang setahun jagung jadi pengacara diiktiraf di Reader’s Digest Trusted Brands and People Awards.
“Kemudian, rezeki menerpa apabila MINAZ menawarkan kerjasama untuk kempen ini,” kata Amyra.
Pemilik nama penuh, Nur Amira Izzati Rosli ini tertarik dengan tema diketengahkan jenama tudung itu.
“Kembara Cinta yang dipilih untuk kempen raya haji ini bagai tepat memberikan terjemahan apa yang saya lalui sejak lebih 13 tahun menceburi liga seni.
“Termasuk ketika diuji, saya sedar ramai sayang dan cinta diri ini,” kata Amyra.