in ,

Segmen Medley Ella & Awie Paling Lama Dalam Sejarah

MEREKA tidak pernah disatukan dalam sebuah persembahan bersama. Tidak pernah, walau ironi Ella dan Awie pernah ‘disandingkan’ di dalam filem Bayangan Maut pada tahun 1990. Sejak itu, mereka telah bersahabat, namun tidak pernah berjodoh untuk betul-betul berkongsi pentas bersama.

Namun pada malam 12 Januari 2012, ia menjadi satu tanggal bermakna buat Ratu Rock dan Raja Rock negara ini apabila dapat ‘bersanding’ di dalam sebuah konsert khusus mereka – Konsert Awie & Ella, Raja & Ratu Rock Malaysia yang membuka tirai di Istana Budaya pada tarikh keramat itu dan ia bakal berlangsung sehingga 15 Januari ini.

Banyak hal yang menarik mengenai konsert perdana mereka berdua. Ella dan Awie sahaja sudah menjadi faktor utama konsert ini wajib ditonton. Pemilihan lagu yang begitu memicu adrenalin juga menjadi faktor untuk semua peminat mereka berasa bersalah untuk tidak memenuhkan isi Lambang Sari, Istana Budaya. Dan lagi, apabila muzik malar segar mereka dikemas semula susunannya oleh Pengarah Muzik Edrie Hashim, ia membangkit gelora nostalgia yang membuak rasa.

Di atas pentas, dua figura dengan latar karakter berbeza sedang mempamer kredibiliti mereka. Hadir dalam persalinan hitam, Awie dan Ella memukau khalayak dengan vokal mantap dan persembahan yang tidak dibuat sambil lewa. Walau sudah melewati usia 40-an, baik Awie mahupun Ella mempunyai energi luar biasa.

Ella menggeletek hati khalayak dengan telatah manja dan bersahajanya. Begitu juga Awie yang mengikut rentak Ella dan melayan ‘kemanjaan’ Ella dalam selang-seli persembahan mereka. Namun apabila masing-masing mula melontar vokal, bagai ada satu magis yang membuat seluruh isi dewan terkesima.

Awie Ella

REKA bentuk pentas, pencahayaan dan permainan muzik menjadi antara penyumbang besar terhadap kejayaan Konsert Awie & Ella, Raja & Ratu Rock Malaysia.

Memulakan tirai konsert dengan memilih berkolaborasi menerusi sedikit bait lagu Baldu Biru, itu sudah cukup mengujakan seluruh isi dewan. Tidak mencuri banyak masa, mereka kemudian membuat persembahan secara berganti dengan Ella mengubat dahaga peminatnya menerusi untaian lagu hit seperti Teruja, Ala Amerika dan Layar Impian. Awie juga tidak mahu kalah, maka tersusun cantik lagu-lagu hitnya seperti Tinggal Satu Peluru, 1570, Iris dan Tragedi Oktober.

Segmen terbaik

Bergabung semula, Ella dan Awie memilih Dua Insan untuk membuat seluruh isi dewan berteriak dan menyanyi sama. Mereka kemudian menyanyi lagu antara satu sama lain. Awie mendendangkan lagu hit Ella, Permata Biru, manakala Ella mendendangkan hit Bernafas Dalam Lumpur.

Beralih kepada segmen medley, ia adalah segmen terbaik yang telah disusun Edrie. Susunan lagu yang dibuat sentiasa memberi momentum dan klimaks yang membuat khalayak tidak sempat bernafas dengan pemilihan untaian 14 buah lagu hit Ella dan Awie.

Dilabelkan sebagai medley paling panjang di dunia, mereka seperti berbalas ‘surat cinta’ dengan lagu-lagu yang disusun cantik. Dimulakan dengan Dibayang Awan oleh Awie, ia disambut Ella dengan Cinta Selembut Sutera sebelum mereka memuntahkan hit seperti Tiada Rahsia Antara Kita, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Ukiran Jiwa, Tiada Tangis Lagi, Nostalgia Cinta, Pengemis Cinta, Ratuku, Bara dan Gemilang.

Konsert kemudian ditutup dengan lagu Baldu Biru dan Terima Kasih yang menerima sorakan gemuruh daripada pencinta-pencinta mereka.

Bagi Awie yang ditemui semasa sidang akhbar usai persembahan selama dua jam mereka, kolaborasi bersama Ella adalah satu penghormatan buatnya. Mengaku merupakan peminat tegar Ella, biar tidak pernah satu pentas sebelum ini, namun mereka pantas beradaptasi bersama. Sementelah, Ella terlalu hebat dan ‘manis’ untuk dipersiakan.

Malah dia juga mengaku bahawa konsert tersebut mengimbau permulaan perjalanannya sebagai penyanyi solo pada tahun 1994. “Selain bersama Wings, saya juga mempunyai banyak lagu solo. Malam ini, saya telah dapat menyanyikan banyak lagu solo saya dengan susunan muzik yang baik dari Edrie,” ujarnya.

Ella juga seiring rasa teruja kerana berkolaborasi dengan Awie, yang antara dakwaannya secara humor di atas pentas, pernah mengajak dia keluar dating menaiki motor besar penyanyi dan pelakon itu ke Bukit Belacan, Ampang, Selangor sewaktu awal perkenalan mereka.

Awie Ella

Sukses
Secara kasar, Konsert Awie & Ella, Raja & Ratu Rock Malaysia telah berjalan dengan sukses. Ia juga boleh dilabelkan sebagai sebuah konsert pembuka tahun 2012 yang penuh integriti.

Menyaksikan Ella dan Awie menyanyi, ia memberi sejuta rasa bangga terhadap bakat luar biasa yang dimiliki penyanyi tempatan.

Tanyalah kepada peminat mereka yang hadir pada malam tersebut, tidak seorang pun pulang hampa dengan persembahan yang dipertontonkan. Kedua-dua penyanyi kesayangan ramai ini telah memberi komitmen dan membuktikan orang lama seperti mereka memang mampu menawan khalayak dengan berbekalkan karisma dan untaian lagu indah yang dicipta buat mereka.

Biar lahir seribu penyanyi baharu, tidak akan ada yang dapat menandingi personaliti dan bakat seperti Ella dan Awie. Hanya ada seorang Ella – si ratu rock yang tampak manja dan nakal di pentas, namun mempunyai personaliti yang cukup pemalu. Hanya akan ada seorang sahaja Awie – si rockers yang tampak ganas dan kasar namun mempunyai sisi hati yang cukup baik di dalam.

Untuk Tall Order Productions, syarikat milik Hans Isaac yang berani mempertaruh konsert rock dengan pelaburan yang agak besar, syabas diucapkan kerana yakin dengan bakat tempatan. Untuk Istana Budaya pula, terima kasih kerana sentiasa membuka pintu buat apa juga kasta persembahan waima ia rock atau teater berprestij demi menyokong industri tempatan.

dipetik dari Kosmo!

Awie Ella

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Simple Plan di Sidang Media Konsert Simple Plan

Budiey Mencari 40 Pembaca ke Malam Gala Filem AZURA