Zainal berkata, dia kecewa dengan komen-komen pedas yang diterima yang disifatkan sebagai satu hinaan.
“Peminat sekarang kurang ajar dan bodoh. Ramai antara mereka yang ‘post’ dulu baru fikir. Sepatutnya mereka fikir dulu baru ‘post’.
“Saya terima segala teguran atau kritikan kalau mereka menegur secara berhemah. Ini tidak, komen yang ditulis semuanya kurang ajar dan biadab seperti panggil saya dengan panggilan pakcik tua nak mampus serta kubur dah panggil,” .
Menurut Zainal, dia berharap setiap pengguna media sosial terutama peminat fanatik artis supaya beradab dan bijak menggunakan media sosial.
“Bagi saya, janganlah guna bahasa sedemikian. Daripada saya terbuka hati nak terima nasihat, saya jadi makin benci.
“Kita orang Melayu dan beragama Islam sepatutnya kaya dengan adab dan adat. Walaupun anda ustaz sekali pun, kalau tiada adab yang baik tetap saya tak boleh terima,”
Terdahulu Zainal dikecam teruk oleh peminat fanatik kepada seorang penyanyi wanita selepas tindakannya menegur gaya fesyen artis itu yang disifatkan keterlaluan.
Dalam pada itu, Konsert Tiba Masa Zainalabidin bakal berlangsung pada 30 September ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
Pelantun lagu Hijau itu dijangka akan membuat persembahan selama dua jam dengan diiringi barisan pemuzik tersohor antaranya Mac Chew dan Michael Veerapen.
Judul Konsert Tiba Masa Zainalabidin dipilih bersempena dengan pelancaran single terbaharunya yang berjudul Tiba Masa.