Katanya di satu sidang media yang diadakan di pejabatnya pada 24 Febuari lalu, dia tidak mahu memanjangkan isu kemelut dalaman keluarga Allahyarham Abam Bocey membabitkan Ali Puteh dan balu Abam serta dia tidak mahu terus dituduh menjadi penyebab hubungan keluarga Allahyarham berpecah belah. Katanya lagi, dia sebenarnya tidak mengetahui apakah kesalahan yang dilakukan.
Aliff menegaskan, video pertemuan dengan Hidayah yang disiarkan secara langsung di Facebok dan Instagram serta dimuat naik di YouTube adalah berdasarkan persetujuan ibu tunggal beranak seorang itu. Beliau tahu yang dia tidak berhak campur tangan, tapi Aliff tidak akan bertanya jika Hidayah tidak bercerita.
“Saya memohon maaf kepada Ali Puteh dan Hidayah… saya tak ada kena mengena dalam hal mereka. Sumpah dari awal saya tak tahu isu membabitkan mereka sekeluarga.
“Tapi saya malas nak panjang-panjang, saya pun tak rasa bersalah dalam hal ini sebab dia (Hidayah) yang bercerita dan saya hanya memberikan respon sahaja. Takkan orang nak bercerita kita buat tak tahu sahaja kan?
– Aliff Syukri
“Buat apa nak cari gaduh dengan orang, nanti mati mengejut. Ni dah nak dekat bulan puasa, biarlah saya mengalah. Jangan bercerita pasal saya, ceritalah pasal situasi dalam kerajaan sedang berlaku sekarang.
“Justeru, saya Aliff Syukri Kamarzaman mohon maaf. Saya tujukan kepada Ali Puteh, Nor Hidayah, keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia,”
“Demi Allah tak ada niat… kalau tahu jadi macam ini, yang hanya akan mengaibkan saya, baik tak buat!,”
– Aliff Syukri
Menerusi video kontroversi itu, Aliff bertanyakan tentang harta peninggalan arwah Abam sehingga mencetuskan kemarahan Ali yang melemparkan kata hinaan kepada kakak iparnya.
Ditanya mengenai sama ada dia ingin menurunkan video tersebut, Aliff berkata dia tidak akan berbuat demikian malah menafikan dakwaan mengatakan dia hanya mengejar keuntungan.
“Saya tidak buat duit pun dengan siarkan video itu. Bagi saya, kalau content itu memalukan saya sampai ramai mencerca saya itu bukan content yang bagus.
“Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak bersalah apabila bertanyakan soalan sebab dia ang bercerita. Sebagai manusia biasa, takkan saya tak respons bila orang dah bercerita sebegitu,”
– Aliff Syukri
Aliff Syukri ditemui semasa sidang media penjelasan berhubung penularan video temubualnya bersama balu arwah Abam, baru-baru ini.
Menerusi sidang media pada Jumaat lalu, Ali meminta Aliff bertaubat kerana telah memecah belahkan silaturrahim antara ahli keluarga mereka.
Ini berikutan tindakan Aliff bertanyakan soalan sensitif kepada Nor Hidayah berkenaan harta pusaka yang ditinggalkan arwah Abam.
Sementara itu, Aliff berkata dia bersedia bertemu Ali dan keluarga bagi menyelesaikan isu tersebut.
Bagaimanapun dia tetap dengan pendirian akan mengadakan siaran langsung di laman sosial semasa pertemuan mereka itu nanti.
“Saya bersedia berjumpa famili Ali termasuk ibunya… buat apa nak gaduh! Saya tak menyebelahi mana-mana pihak, saya mendengar kedua-duanya.
“Dalam hal ini saya mengalah sajalah, apa masalah mereka sedang lalui biarlah diselesaikan secara dalaman keluarga.
“Tapi permintaan Ali yang mahu saya berjumpa tanpa buat live, tak dapat saya penuhi. Saya seperti biasa akan tetap buat live dan tunjuk kepada pengikut,”
– Aliff Syukri
Aliff berkata, dia mempunyai bukti bahawa Nor Hidayah dengan rela hati sudi berkongsi masalah yang sedang dialami.
“Sebenarnya tanpa paksaan pun Hidayah sendiri ingin bercerita. Dia yang cakap nak bercerita sebab tak ada orang nak wawancara dia.
“Saya ada bukti video lain (kandungan wawancara), hampir tiga jam, macam drama sinetron, tapi biarlah saya simpan sebab tak mahu keruhkan lagi keadaan.
“Tapi jika terpaksa baru saya muat naik ke media sosial bagi mengelakkan saya terus dipersalahkan,”
Dalam pada itu, Aliff mendedahkan dia sudah mendapatkan kebenaran Hidayah sebelum memuat naik rakaman tersebut di laman YouTube.
Malah, Hidayah juga meminta dia tidak memadam rakaman yang tular itu.
“Selepas menjadi kecoh, saya terus menghubungi Hidayah bertanyakan sama ada mahu dipadam atau tidak, tetapi dia sendiri yang kata tak perlu.
“Walaupun saya tahu 1001 cerita (apa yang diceritakan Hidayah mengenai keluarga) biarlah saya simpan sendiri. Apa yang ditayangkan itu hanya 10 peratus sahaja,”
– Aliff Syukri
Arwah Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu akibat demam panas.
Balu dan anak arwah, Syed Uthman Hamzah kini menetap di kediaman ibu bapanya di Sabak Bernam selepas didakwa dihalau oleh ahli keluarga Abam seperti mana yang terkandung dalam video yang ditemu bual oleh Aliff.