Kisah arwah Zulfarhan turut mendapat perhatian pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew yang meluangkan masa menziarahi pusara arwah Zulfarhan dan ibu bapa arwah di Skudai, Johor. Lebih sayu, kunjungan Ebit Lew itu jatuh pada tarikh hari lahir Allahyarham Zulfarhan.
“Sebak sayu rasa ziarah mak ayah Arwah Zulfarhan UPNM. Selepas Subuh tadi saya terus ke Skudai Johor. Hari ini hari lahir arwah. 29 Nov,” tulisnya.
Menurut Ebit, sepanjang mereka berbual kedua ibu bapa arwah tidak henti mengalirkan air mata terkenangkan anak sulung mereka itu apatah lagi yang pergi dengan keadaan mengyayat hati.
Menerusi kunjungan tersebut, Ebit turut memberikan tiket dan pakej umrah buat ibu bapa arwah Zulfarhan sebagai hadiah sempena hari lahir arwah yang berniat untuk menghantar kedua ibu bapanya itu ke Mekah.
“Saya niat hadiahkan tiket dan pakej umrah buat mak ayahnya disember ini. Syukur mereka gembira menerimanya. Segala puji bagi Allah. Menangis gembira terutama hari lahir arwah Farhan. Terasa macam anaknya sentiasa ada dekat.
“Berat ujian mereka kehilangan anak tersayang. Arwah Zulfarhan rupanya sekolah menengah teknik johor bahru. Sekolah saya dulu. Maknanya junior saya dulu. Beliau anak yang baik. Anak sulung bercita-cita nak bawa keluarga pergi haji umrah,” tulisnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam penuntut UPNM yang didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat.
Manakala 12 lagi tertuduh yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham Zulfarhan dikenakan hukuman penjara tiga tahun.